Archive for 2015

Benarlah Sabda Voltaire !



Kopi hitam likat pekat disua ke mulut. Cafe C, lebih mempir dengan kolej kediaman. Perut yang membusung kekenyangan, lebih mudah dilabuhkan. Mendung. Hari itu hari yang malang. Kasut Converse kulit berharga dua ratus ringgit Malaysia hilang tanpa dihalau ketika solat di surau Al Amin, tugasan yang tidak siap akibat lelap memaksa Puan Maria (pensyarah Ekonomi) menengking dan menghalaunya keluar dewan kuliah, kekasihnya Rosalinda, tidak membalas teks sejak dua puluh dua jam. Entah selingkuh atau tidak, monolog bodoh melingkar organ otaknya.

Syahrul, ahli jawatankuasa (ajk) dalam Kelab Doraemon. Seorang yang aktif dan proaktif mencanang idea-idea baru demi mengukuhkan kelabnya dan mengumpul seramai mungkin ahli daripada seluruh fakulti yang ada di kampusnya, Universiti Sakralian. Sering bertarung dalam merebut ahli kelab terbanyak dengan kelab saingannya, Kelab Shin Chan. Zaman berzaman, aksi dan ritual itu terus rancak. Bagi mereka, ahli ramai itu tanda bersyurga.

"Takpayah bagi muka sangat Kelab Doraemon tu. Habis semua ahli kita satu persatu dia tarik. Dia bagi makan percuma Dorayaki sebagai penariklah konon. Puiikk !"

"Hmmmm"

Pendek. Jawapan tanpa aksara. Hanya mengemam mulut, menguncup bibir. Saleh, teman kepada Rodi yang juga Majlis Tertinggi Kelab Shin Chan. Mesyuarat Kelab Shin Chan siang itu hangat daripada terik mentari yang menyengat.

"Tapi, aku rasa, kita tidak perlu fikir sangat isu ahli ditarik oleh Kelab Doraemon. Perkara penting, kita kena mempelbagai mekanisma untuk menarik seberapa ramai ahli"

Pandangan yang berlegar dibenak, dimuntahkan. Habis gamam semua ahli jawatankuasa yang pada asalnya sebulat suara ingin melancarkan kempen Anti-Kelab Doraemon. Tamparan yang maha pedas akibat lontaran pendapat yang berbeza.

"Yang kau ni, dah kenapa Saleh? Kalau ahli kita terus berkurang, kau fikir kita tak malukah?"

"Bukan macam tu. Maksud aku..."

"Maksud apa lagi ?!"

Kalimah diputus. Terburai serangkap penjelasan yang mahu diungkapkan. Saleh tunduk. Dia mula rasa rimas dengan sikap ahli jawatankuasa kelabnya itu yang mula keras dan tidak menerima pendapat sesama ahli.

***

"Yang kau pegi bantah tadi tu apasal? Kau macam tak tau, ghairah diorang tu nak hapuskan Kelab Doraemon bukan main kepalang lagi"

Soal teman Saleh, Roy. Di hadapan kaca tv yang menyalak bercerita soal balak di negeri Kelamintun, mereka melabuh punggung di sofa yang lusuh. Masing-masing memegang secangkir nescafe 3 in 1 untuk diteguk perlahan-lahan. Biskut Cream Crackers yang tersidai di atas meja bakal diratah dengan santun.

"Aku tak tahan Roy. Aku tak nampak memboikot Kelab Doraemon itu sebagai solusi. Lebih-lebih lagi, kita dipaksa untuk memburuk-burukkan Kelab Doraemon kepada ahli supaya mereka tak pergi. Ini perjuangan kotor !"

"Perjuangan kotor?"

"Ya. Patutnya kita bersaing dari sudut mekanisma yang bervariasi. Kenapa perlu rasa tergugat dengan Kelab Doraemon?"

"Aku pun nampak macam tu, Saleh. Tapi apa boleh buat. Aku takut nak bantah, nanti tak pasal-pasal, aku yang kena pulau"

Kelu Roy. Percubaan demi percubaan telah pernah dilakukan untuk mengubah masalah dalaman Kelab Shin Chan. Namun layanan yang sama sering diberikan. Diboikot, dipulaukan, dipandang sinis dan bermacam lagi. Lebih-lebih lagi, kehilangan kawan. Mereka masih merasa, hidup berkawan lebih penting berbanding hidup bertuhan.

"Bodoh ! Bacul !"

Terpacul kalimah amarah daripada muut Saleh. Air yang ingin diteguk terpaksa ditangguhkan dan dibiarkan bersemayam di atas meja. Biskut masih belum digundah. Mata sekali sekala menjeling ke jam dinding yang berhabuk. Tepat jam sebelas malam.

***

Perpustakaan Romawi, Universiti Sakralian. Perpustakaan yang kaya dengan buku-buku Malaysiana dan kajian para sarjana semisal Harun Nasution, Hassan Hanafi, Hamzah Fansuri, Usman Awang, Soe Hok Gie, Kant, Rene Descartes, Hegel, Dr. Mahathir, Najib Rajak, dan ramai lagi. Rak rapi dan redha membiarkan buku-buku bertenggek tanpa upah. Seperti biasa, manusia setia di perpustakaan itu hanyalah Puan Saloma, penjaga perpustakaan. Selebihnya hanya buku-buku yang sepi. Tidak berlidah tidak bergigi. Sunyi.

Kadang-kadang bersesak juga. Namun hanya bingit dengan bualan kosong. Buku dibiar ternganga tanpa dibaca. Ya ! Mereka risau menjadi pandai. Kerana memelihara kebodohan itu sebuah keseronokan.

"Saleh, kau tengok ne"

Barangsiapa yang ingin mengetahui siapa yang menguasai dirinya, maka lihatlah siapa yang takut untuknya dikritik - Sabda Voltaire.

"Aku lama dah perati quote daripada voltaire ne. Kau faham tak apa yang aku cuba sampaikan?"

Dibalas angguk. Dengan kening terjungkit. Sebelum menjawab tanya, Saleh meliarkan mata dan kepala ke sekeliling. Risau-risau mereka dihalau seandainya suara melebihi had piawaian perpustakaan.

"Aku faham. Voltaire nak bagitau yang kau dan aku sebenarnya dikuasai. Dengan makna kata, dibodohi !"

"Tapi, Kelab Shin Chan kan masih memperjuangkan industi kekartunan. Aku masih percaya" ujar Roy keliru.

"Roy, Kelab Doraemon, Kelab Kluangman, Kelab Naruto, Kelab One Piece, Kelab Kiteretsu pun memperjuangkan industri kekartunan. Kenapa kau tak pegi sana?"

"Sebab kau dipaksa dan dihasut bahawa hanya Kelab Shin Chan yang memperjuangkan industri kekartunan. Selain daripadanya wajib dijauhi. Bahkan kalau berbeza, perlu dimusuhi" sambung bertubi Saleh.

Angguk. Tertunduk. Roy mula membiarkan benaknya hanyut memikir. Dalam lebih kurang 2 minit tunduk ala-ala tafakkur, Roy mengangkat wajahnya dengan iringan senyum sinis. Memacul bisik halus di hadapan wajah temannya Saleh;

"Benarlah sabda Voltaire !"

"Ha ha ha" mereka bergelak sakan lalu ditembak dengan senapang M16 oleh pengawal keselamatan perpustakaan. Habis berhamburan usus otak. Yang hanya tinggal sebuah keyakinan; Aku anti-pembodohan.

Abd Halim
Sunday 27 December 2015
Posted by Unknown

Tuhan Orang Miskin



Tuhan
Kami ini miskin
Bukan kerana Engkau lupa
Tapi diasak tapi dianiaya

Tuhan
Obat kami disekat
Leher kami dijerat
Saku kami disejat

Tuhan
Mereka menepek dahi kami
Lidah dikelar diberi anjing
Pundak kami dikencing-kencing

Tuhan
Kami adu pada yang berkitab
Sabar syukur kami disuap
Mereka tempel segala turap

Tuhan
Kami bungkam
Kami diam kami gamam

Politikus datang bawa bungkus
Lepas gambar mereka lolos
Mereka ini sampah
Melempias serakah
Pada kami yang miskin kedana

Abd Halim
Thursday 10 December 2015
Posted by Unknown

Kitab Sang Cupid

Review Buku
Tajuk : Kitab Sang Cupid
Penulis : Aziz Harun

Sebuah cerpen keluaran Buku Hitam Press ini cuba menggarap soal cinta secara jujur dan mendasar. Menggunakan dialek dan sinopsis cerita yang sangat santai dan secara tidak langsung cuba menyampaikan mesej yang sering berlegar dalam kehidupan seharian manusia.

Penulis mengetengahkan isu-isu seputar cinta dalam nada sedih, gembira, kecewa bahhkan dalam beberapa topik, penulis cuba menyampaikan signal bahawa manusia tanpa cinta adalah sia-sia. Aku membaca kitab cinta ini, tanpa sebarang kondem, mengabsahkan gagasan cinta yang diketengahkan walaupun tidak semua pernah dilalui secara pengalaman spiritual.

Manusia dan cinta adalah satu entiti yang tidak mampu dipisahkan. Manusia memerlukan nafas cinta yang tidak bersempadan. Cinta Tuhan misalnya.

Satu bab yang menarik, dan merenggut emosi adalah apabila penulis menceritakan kisah dua pasangan cinta yang tidak terlunas hingga ke jinjang pelamin, akibat kematian yang mendahului segalanya. Menjadi lebih sedih, sempat lelaki tersebut (si mati) menitipkan sebuah novel yang kononnya seakan cuba menceritakan keadaan yang bakal berlaku.

Cerpen ini bukanlah tulisan akademik. Cuma menyentuh rasa. Mereka yang pernah melalui mungkin akan terngadah. Sebuah peristiwa yang dicoret menggunakan pena.

Abd Halim
Tuesday 8 December 2015
Posted by Unknown

Teh O Panas dan Thiqoh

Sementara membiarkan runtuhan hujan yang menoreh kulit-kulit muka redah, aku dan Eman, teman se-kampusku yang menetap di sebuah daerah yang pernah mencatat sejarah pertumpahan darah antara tentera Tiram dengan tentera Malas-Ya. Hujan semakin menggila, sekali sekala meludah rintikannya ke lengan kami yang tersidai di atas meja gerai Mak Mah.

"Kenapa ramai orang jahat hari ini?"

Sambil memegang segelas teh o panas yang masih berwap dengan deras, hampir tanganku menggelupur menjatuhkan gelas kerana kaget dengan soalan Eman yang aku kira tidak sesuai dengan tema ketika ini; hujan dan sebuah kesejukan.

"Sebab..."

"Sebab apa, Rin?"

"Sebab, ramai orang baik yang diam. Penakut" jawabku bertubi melemaskan temanku yang masih setia meluncurkan air teh panas yang ditiup sayup-sayup bagi menenangkan dingin yang menggetar sendi-sendi.

"Kalau kau baik, maka kau di kategori mana? Berdiam atau melawan?" Soalnya lagi seakan sengaja menghangatkan dingin embun suasana. Dia sebelum ini pernah menyapa kegilaan ku membeli buku. Slamba aku jawab; aku tak mahu bodoh.

"Aku taklah baik sangat. Tapi aku benci orang baik yang penakut. Mereka berkira-kira untuk menyondol orang jahat" balasku

Kami yang pada mulanya hanya beradu punggung untuk mengeringkan baju T-Shirt yang basah dan memberat akibat sapaan bengis hujan ketika bertonggeng di atas motorsikal kapchai kepunyaan Eman bertukar kepada sebuah wacana kedai kopi. Jarum jam menghala setia ke angka 5. Hujan masih berhentak galak pada atap gerai Mak Mah.

"Apa pula pendapat kau dengan orang baik yang tersendiri?"

"Aku benci. Aku benci manusia yang berkepentingan" sahutku dengan dada yang sedikit membuak naik turun tanpa diundang bertandang.

Aku masih mendendami banyak episod kehidupan yang menyaksikan ramai manusia di wilayah ini berkepentingan dan memiliki agenda tertentu sambil meng-atasnamakan ritual mereka itu dengan nama Tuhan, wang, agama dan kesenangan. Tidak lekang, dalam kalangan mereka yang berheret pakaian masyhur agama, meraga kemeja seakan Presiden Dunia. Tipudaya !

Kesumat ini sukar diredahkan kerana ianya satu kerosakan yang bagiku tiada pernah berakhir. Penipuan, pembodohan ini terus menggentel pundak manusia selagi tiada yang berani membidas dan menghambat tengkuk mereka dengan cambuk. Ya, orang baik ramai yang tidak peduli, bahkan bersekongkol meniagakan manusia. Aku tidak baik, lidahku tidak melazimi zikir juta-juta. Namun aku punya nurani manusia. Tidak pernah redha dengan pembinatangan dan pembodohan ke atas spieses ku di alam ini.

"Kau kena buat buku. Tulis kerancuan itu dengan pena mu yang tajam" rempah tambahan temanku.

"Manuskrip aku dalam proses. Kalau Mahathir kata Bangsa Membaca, Bangsa Berjaya, aku kata, Bangsa Membaca, Bangsa Melawan" balasku sambil menjeling air hujan yang segan-segan bertitik dihujung atap gerai Mak Mah.

"Jom, hujan dah berhenti. Bayarkan Teh O Panas aku"

"Kau minta aku bayar? Di mana thiqoh kau kepada aku?"

Abd Halim
Friday 27 November 2015
Posted by Unknown

Puisi Untuk Dinda



Dinda
Bukan kanda khuatir dunia
Bukan mahal intan permata
Bukan gayat Kinabalu diredah
Bukan picu peluru menyergah
Tapi kanda punya musababnya

Dinda
Waktu lafaz cinta semati sehidup
Waktu janji ditabur membujur
Waktu siang terbayang malam
Waktu malam terbayang siang
Riak mu menguasai merusuh
Kanda kata: Oh Cintaku !

Dinda
Kanda tahu makna cinta
Semahunya kanda dinda mengerti jua
Cinta bukan bersuka-suka
Ia janji ikat setia

Dinda
Cinta itu tiada asalnya Kanda yakin ia dicipta
Dicipta oleh satu kuasa

Dinda
Kuasa itu kuasa cinta
Tiada terdaya kanda menung dan mangu
Kerana kanda sedar
Kanda dan dinda hanya; pelanggan cinta

Abd Halim

Wednesday 25 November 2015
Posted by Unknown

Surat Untuk Adik


Ke hadapan Adikku, yang dikasihi.

Sudah lama berkecamuk onar di dada untuk menulis surat ini sebagai tinta pertama yang menjadi bekal kepada adik dalam penjelajahan meneroka sebuah makna kehidupan. Abang yakin, belasan tahun yang berderet melingkari ruang hidup sudah sedikit memadai untuk melihat dengan waras kepelbagaian dan kerencaman selok belok kehidupan. Surat ini adalah susulan rasa peduli dan kasih agar perjalanan adik tidak bertakung di kantung yang lembik, malahan mampu memanifestasikan sebuah penemuan. Penemuan? Ya, menemukan sebuah kebenaran yang didahagakan oleh seluruh ruh dan jasad di dunia.

Adik,

Masa mudamu ini, masa emas yang nilainya tinggi. Mahar perjuanganmu diusia ini sukar dicagar dengan berlian yang berlonggok dipeti. Sedetik jarum masa merangkak ke hadapan, tidak mungkin ianya berganjak semula kebelakang. Justeru, abang berpesan, sinopsis hidupmu ini jangan kau biarkan mencangkung memperhambakan kebendaan dan keseronokan yang memberi kepuasan singkat. Bukan permit usiamu ini sekali bertandang untuk diisi dengan aktiviti sampah sebegitu. Maka, posisikan dirimu sebagai anak muda yang beda dari kebanyakannya. Mulalah biasakan diri berdiri dibawah terik mentari, tanpa sentiasa mengharap awan mengatapi.

Adik,

Abang beriman dengan perintah baca. Maka buku lebih berharga dari seisi dunia. Abang tidak melihat cambuk dan cemeti hanya senjata ampu melawan raksa durja. Melainkan buku yang melakar saku minda, dan mengarah jiwa mengobor mujahadah, sebagai senjata utama untuk menghalang musuh yang sentiasa mengotorkan bumi dengan darah dan air mata. Maka, berdampinglah dikau dengan buku. Janganlah hanya memilih tulisan Al Banna, Fathiyakan, Sayyid Qutb. Ya, mereka sarjana yang tidak kurang jasanya. Namun, dunia ini terlalu rumit untuk dicerna dalam zaman yang penuh kepalsuan. Selaklah jutaan buku. Kenalilah siapa yang bakal kau isytihar sebagai musuh sebelum leher mereka kau kelar satu persatu. Adillah adikku !

Adik,

Kau pernah ikrar jujur di hadapan wajah abangmu ini bahawa kau wakafkan jiwa dan usiamu untuk menjejak makna kebenaran yang menjadi rebutan para bangsawan, fakir dan strata manusia di dunia. Maka abang melihat, kebenaran yang kau cari hakikatnya milik Tuhan. Janganlah kau pacak jasad dalam zon "pasti benar" sehingga kau melihat insan sekelilingmu tiada potensi untuk mendapat rahmat dan keampunan. Kritislah (semak dan timbang) ke atas kronologi hidupmu. Letakkan dirimu dalam posisi mengkaji. Mazhab, jemaah yang kau anuti hari ini tiada jaminan benar daripada Tuhan dan nabi. Gelisahlah. Daripada gelisah kau menemui kebenaran. Poin abang, janganlah kau sentiasa merasa benar.

Adik,

Lunaskan benakmu, dengan jawapan yang sarat berkaitan tujuan penciptaanmu oleh Tuhan di dunia ini. Tidak cukup ala kadar, mengikut-ikut sosok yang kau kagumi. Mereka sendiri bakal dihisab oleh Tuhan yang maha kuasa. Tidak cukup kau hafaz dalil penciptaanmu sebagai khalifah, untuk beribadah lalu diratib setiap saat di halaqah-halaqah tanpa kau mengerti mesej tersirat yang cuba Tuhanmu sampaikan. Lalu, kau hidup dengan mencetak hierarki kehidupan manusia lain yang kau kagumi tanpa mendesak akalmu untuk berkisar menyelongkar makna mesej Tuhanmu. Seperti yang abang katakan diatas, kau terlalu selesa. Keluar dari gelanggang itu. Jangan siram api yang marak di dadamu. Tiup ia sehingga memenuhi balang jiwamu. Arahkan ia sebagai kompas pencarian tujuan penciptaanmu.

Adik,

Akhir sekali, sebagai abang yang mencicipi picisan pengalaman yang lebih berbanding adik, ingin mengingatkan pesanan-pesanan ini sebagai alat berguna sepanjang perjalanan meneroka kehidupan yang ranjaunya kaya dengan onak dan tribulasi. Terpulang andai tidak menerima pesan ini. Sememangnya, pesan ini untuk semua lensa mata yang menekuni ketika ini. Atas dasar saudara dan tiket "berpesan pada kebenaran dan kesabaran" maka abang ragut pena, dan meliarkannya dengan tinta massa untuk disemadi dalam hati dan jiwa kepemudaanmu.

Sekian.

Yang Benar,
Abd Halim
Saturday 21 November 2015
Posted by Unknown

Sekolah atau Kandang?


Kongkongan
Meyakini akan kemajuan sesebuah tamadun dan bangsa manusia adalah melalui pendidikan yang deras dan bebas daripada kongkongan, maka sudah menjadi sinonim perkataan "sekolah" ataupun "madrasah" sebagai salah satu badan atau entiti yang mengambil peranan untuk menggagaskan pendidikan kepada anak watan berdasarkan fasa-fasa yang telah disusun atur oleh pihak berkepentingan. Malaysia adalah antara negara yang sering dicanang sebagai negara yang rancak bersaing di persada pendidikan. Namun apakah ini benar?

Sekolah, sebagai alat ataupun medium arus perdana yang menyediakan fasiliti pendidikan secara formal dan memiliki sistem peperiksaan sebagai metod untuk memantau tanda aras pencapaian para pelajar. Pendisiplinan ini wajar dipuji dalam beberapa sudut. Namun, halnya berbeza apabila hari ini, pada konteks massa modenisasi ini, maka menjadi satu kemestian untuk semua pihak merenung semula kedudukan sekolah kepada anak-anak muda khususnya samaada masih berfungsi sebagai teratak menceduk ilmu ataupun kandang yang menyediakan ruang kepada kerbau-kerbau setelah berpagian mencari makanan di ladang?

"Guru bukan dewa, murid bukan kerbau". Slogan ini saya temui pada lembaran buku yang pernah dibaca dan ianya memiliki sisipandang yang wajar dianggukkan. Peranan guru adalah sebagai pemudah cara kepada pelajar untuk memahami naskah dan silibus pengajian dan bukannya sebagai malaikat ataupun dewa yang tidak boleh disanggahi apatah lagi dipersoalkan. Memahami bahawa tunjang kepada sebuah kefahaman adalah setelah lunasnya persoalan. Maka budaya bertanya bahkan mempertikai bukan suatu sindiket yang perlu ditangani secara radikal melainkan ianya sebuah fitrah manusia yang menuntut kepada sebuah kepastian dan kefahaman. Murid bukan kerbau pada analoginya membawa kita kepada sebuah mesej bahawa, para pelajar bukanlah kerbau yang hanya wajib taat dan patuh atas tiket adab dan sahsiah sehingga memandumkan fungsi akal untuk berfikir dan kritis (semak dan timbang) ke atas teks yang dipelajari. Beralasankan adab dan akhlak, maka budaya debat, dan mempersoalkan dibunuh dan ditanam di tanah yang paling dalam.

Peranan sekolah telah beransur mati, dan tidak mendapat kesegaran apabila ianya hanya berfungsi sebagai pengisi masa. Pelajar menjadi bongkok di pagi hari, menggalas beg yang berkilo berat kerana diwajibkan membawa buku teks yang kekadang tidak pun diselak dalam kelas namun hanya kerana untuk "memujahadahkan" pelajar kononnya. Mata yang layu, bahu yang kendur, perut yang berkeroncong, bergegas tanpa perut di alas, kerana takut dikenakan tindakan disiplin yang tidak memberi kesan panjang bahkan melahirkan lebih ramai pelajar yang memberontak dengan sistem sekolah.

Pelajar tidak didedahkan dengan persoalan-persoalan seputar kehidupan semisal "Apa hikmah belajar?", "Apa fungsi ilmu ini dan ini kepada masyarakat?", "Bagaimana ia berfungsi?", dan antara soalan yang saya kira perlu didasari setiap pagi hari pelajar dengan mengingatkan mereka memo penting iaitu "Untuk apa kalian hidup?". Soalan-soalan ini sebagai nilai tambah selain daripada hanya menyembah kertas-kertas lusuh buku teks yang bertahun lama ditinggalkan di setor sekolah.

Akhirnya, perkara sebatas ini sekiranya tidak dibendung, maka ia akan mengabsahkan lagi kekandangan sekolah. Fasiliti pendidikan dan pengajian yang mampu melahirkan watan yang berdaya saing, petah berhujah, berfikiran kritis dan kritikal, berani mencabar diri akan bungkam dan akhirnya mati menyembah bumi. Strata masyarakat, lebih-lebih lagi masyarakat struktural iaitu para penguasa, golongan elitas, autoriti dan dewa dewi negara seharusnya merumuskan semula peranan sekolah agar ia tidak berfungsi sebagai kandang menternak kerbau, tapi sebagai sekolah yang melahirkan graduasi insaniah yang cemerlang. Pemberdayaan ilmu, menghidupkan ruh cabar mencabar dalam gelanggang ilmiah, kritis ke atas teks, dan pelbagai aneka lagi rumus yang boleh dijadikan pemangkin kepada pengekalan fungsi sekolah tanpa membingaikannya sebagai kandang menternak kerbau.

Abd Halim
Friday 20 November 2015
Posted by Unknown

Mulanya Dulu



Mulanya dulu
Saku anak kecil kau rembat
Hari ini serakah kau lempias ke zakat

Mulanya dulu
Kau janji sifar miskin rakyat
Hari ini omong kosong serupa keparat

Mulanya dulu
Saku kami kau jaga rapi
Hari ini kau jadikan kami tambatan berahi

Mulanya dulu
Kau cakap soal kalimah Allah
Hari ini kau songlap dengan basmallah

Mulanya dulu
Potpet potpet soal perpaduan
Cina bangsat cina bangsat juga kau slogankan

Mulanya dulu
Istimewa Melayu di tanah sendiri
Hari ini Melayu seperti bangsa Tuhan
Tidak boleh disanggahi?

Mulanya dulu
Rakyat berkira-kira menulis ini
Hari ini kau datangkan militan
Rakyat tetap berdiri

Abd Halim
Thursday 19 November 2015
Posted by Unknown

Gadis Buku!

Pagi Sabtu, seperti minggu sebelum-sebelumnya, DisCanai (Diskusi Canai) di Restoran Mewangi, Jalan Estiqoma kami teruskan sebagai rutin dalam kalangan komrad. Membedah buku, lirik lagu, puisi-puisi, esei-esei sebagai intipati diskusi berkonsepkan sekolah jalanan dan bebas daripada atap kelas kuliah yang kering kontang. Aku, dan beberapa komrad yang berlatar belakangkan ideologi berbeza-beza, menggarap ruang diskusi ini dengan dada yang lapang. Anarki versi Punk, atheis, syiah ismailliyah, salafist, sufist, pejuang islamis, pejuang parti politik, free-hair, niqabis, kami tiada masalah untuk semeja. Dengan mengimani bahawa, kebenaran itu milik mutlak Tuhan dan tidak mungkin bertumpu di antara kami.

"Label-melabel sudah menjadi rencah dalam berbeza di Malaysia."

Picisan isi oleh Chong, ketika membedah buku Al Fadhil Ustaz Wan Ji Wan Hussin berjudul 'Ulama yang bukan Pewaris Nabi'. Kerap telinga kami setia dihala kepada suara pembentang. Dalam kerancakan diskusi yang lebih kurang 20 minit berlalu itu, aku yang duduk disudut meja tepi dinding, sambil menghirup secangkir Neskaffe menjeling ke sudut meja yang berdepan dengan mejaku. Seorang gadis, yang aku tidak pernah melihat wajahnya sebelum ini, khusyuk membelek buku yang dibedah sambil meliarkan jari seakan mencatat isi syarah oleh Chong.

Sekali sekala, mata kami berlaga. Mungkin dia sedar, aku memerhatikannya kerana kagum. Seorang gadis yang lingkungan 21 tahun meragakan hijab yang sempurna, menyantuni buku dengan kemas seperti sedang menyiapkan masakan di dapur untuk anak-anak di hening Subuh.

Aku sudah lama bergraduasi dari IPT di kota. Di kampus lagi, iman ku dengan buku ditahap kritikal. Hatta dalam disiplin mencari pasangan hidup, aku menetapkan bahawa gadis tersebut wajib menggilakan buku. Ya, Sabtu itu, Restoran Mewangi, aku rasa seperti aura baru, ketemu serpihan mutiara yang sudah lama tercicir.

"Sam, kau kenal gadis tu?" Sambil aku menuding ke arah gadis buku itu.

"Fatin. Dia pelajar tahun 2 sains politik di Universiti Meloya."

"Aku tertarik dengan personal dia Sam. Kau boleh bantu aku tak?"

"Tolong apa?" Tanya Sam, dalam suara berbisik.

"Tolong, risikkan."

Aku dan Sam serentak menoleh, kelibat gadis buku yang membuat aku khayal tadi hilang total tanpa jejak. Huru hara juga mataku meragut sema sudut ruang restoran. Rupanya, dia sudah pulang kerana ada hal yang hendak diselesaikan. Lebih-lebih lagi, esoknya, dia akan balik ke kampus untuk memulakan semester baru setelah 2 bulan menghabiskan sisa cuti.

"Takpelah. Dia gadis buku yang akan sentiasa aku buru."

"Bunga bukan sekuntum, Rin. Haha," ketawa kecil kami sambil menghunus bebola mata ke arah Chong yang sudah hampir 40minit membentangkan isi buku Ulama yang bukan Pewaris Nabi melalui sisi pandangnya yang ditohmah 'liberal sesat' padahal tidak pernah meninggalkan solat.

Abd Halim
Wednesday 18 November 2015
Posted by Unknown

Pejuang Tumpul

Buku di peti dibeku
Mata pena mula tumpul
Akal dan jiwa biol
Hal kebenaran pula dingobrol

Duhai anak watan!
Kantung minda berhabuk bersarang
Subversif berbeza di parang-parang
Atas nama islam dan pejuang?

Curang dengan lembar ilmu
Buas dan bias sehingga berseteru
Dengan mazhab hanya sekufu
Lain daripadanya wajib ditinju

Masanya ini sudah tiba
Selak cadar tidur selesa
Semayam atas duri
Sengat raksa dan durja
Atas tahu dan upaya
Bukan hanya pekat semangat

Abd Halim

Sunday 15 November 2015
Posted by Unknown

Lebai dan Candu

Kau raga baju besi
Sepatu tajam berjeriji besi
Di ubun bertonggeng lebai putih
Di tangan kanan candu basi
Kau beri mereka yang kebulur di malam hari

Kalau Marx kata agamamu mencandu
Kau biol bengang melulu
Kalau Nietzsche kata tuhanmu mati
Kau menengking menyengat ala kalajengking
Padahal kau tidak peduli
Candu kau suap dengan basmallah
Agar ia mirip ibadah

Hentikan mencandu ummah
Kau jadikan berhala bermata tiga
Diam bisu taat tanpa segan
Kau kata itu mandat Tuhan?

Mereka ampu kau raja
Kau punya anggota berjuta
Kau khabar kepada dunia
Ramai itu tanda bersyurga?

Selagi lembar itu kau baca
Selagi omongmu busuk serupa bangkai
Dengan pelebai hanya kau semeja
Jangan mimpi belantara kau ubah

Abd Halim
Thursday 12 November 2015
Posted by Unknown

Pemuda 'Rebel'



Senja. Seperti hari sebelumnya,waktu-waktu redup cuaca begini diisi dengan riadah disudut taman perumahan Farid, Taman Marwi. Bersama dengannya teman rapatnya Syah, yang tinggal selorong dengan rumahnya di taman yang sama. Farid seorang pelajar Tahun dua di sebuah institusi pengajian tinggi di kota. Sudah hampir sebulan dia meninggalkan kampus kerana diminta bercuti akibat banjir yang meragut harta benda kolej. Kota Kelontar,  tempat dimana menara gading Farid terpacak. Menggemparkan, apabila tahun kedua pengajiannya di sana, sebuah fenomena banjir besar berlaku. Tanpa usul periksa samada ianya berpunca daripada kecuaian kerajaan kota kerana mengehadkan empangan ataupun tidak mendisiplinkan para pembalak, lantas mengisi kekosongan persoalan bahawa banjir kerana peringatan Tuhan kepada manusia sekaliannya.

"Terlalu banyak maksiat dan sesama muslim pun kerap berbalah, sebab tu Tuhan hantarkan bencana," monolog Farid yang sentiasa berlegar menjinakkan jiwanya yang malas merenung hakikat sebenar kejadian banjir besar tersebut.

"Farid, kau bila balik kampus? Lama lagikah kau cuti?"

Tanya Syah, temannya yang juga pelajar di sebuah institusi pengajian tinggi tetapi di kota yang berbeza. Syah, seorang yang berpendirian tegas dan prinsipnya sukar dicantas. Petah, lincah dalam berbicara. Pelajar tahun dua, kos Syariah ini memiliki pemikiran yang unik berbanding temannya Farid yang sentiasa bermudah dalam menjawab soalan yang berlegar di corong minda.

"Dua minggu lagi, aku balik dah. HEP bagitahu, air dah mula surut. Hmm, masuk penjara semulalah nampaknya aku."

"Haha. Takpe. Penjara yang melayakkan kau bergraduasi dan menjadi kiblat masyarakat di luar sana."

Bergelak dua sekawan sambil meregang-regang kaki dan pinggang setelah letih berlari keliling taman. Bersetuju dengan mengemas-kini nama menara gading kepada penjara yang melayakkan graduasi. Syah, antara pelajar yang sentiasa menggiat diri beraktivis dalam akademik yang bersifat publik, jalanan dan bebas tanpa birokrasi. Dia berpendapat bahawa anak watan yang dicanang untuk menjadi bahu negara, tidak boleh dirantai pundaknya agar akur tanpa bertanya dan menganggukkan semua yang disuapkan seakan para pensyarah mewakili Tuhan yang tidak boleh dipertikaikan dan pelajar sebagai keldai yang perlu sentiasa diam.

"Aku bercadang untuk membuat buku untuk menggeledah ketempangan sistem menara gading yang diagung-agungkan oleh kebanyakan mahasiswa ini. Aku tidak nampak, kalau-kalau kebenaran itu boeh terzahir tanpa menyahkan kepalsuan dan kerancuan," sampuk Syah semula.

"Aku nak ajak kau jadi rakan projek aku, Farid. Kita menulis bersama."

"Aku tiada masalah untuk itu. Cuma.."

"Cuma apa?"

"Aku risau kalau kita mula menjadi perhatian dan dinafikan banyak hal sehingga membawa kepada kecaman dan ugutan," kelu Farid yang lebih lemah lembut berbanding Syah yang lebih garang dan 'rebel'.

"Alaa, kau tak perlu risaulah Farid. Tiada siapa boleh halang kita. Idea yang kita beri, kena dilawan dengan idea yang baru. Tak bolehlah main kecam. Oya, lagi satu, kau tak perlulah nak takut dengan makhluk dibumi ni," sinis Syah kepada Farid diiringi gelak kecil. Dua sekawan ini bertekad untuk menyiapkan manuskrip buku yang bertemakan "pemberontakan dan melawan" dalam masa yang telah disepakati.

"Kau baca buku apa sekarang, Syah?"

"Mahasiswa Bangkit, Hasbie Muda."

Abd Halim
Wednesday 11 November 2015
Posted by Unknown

La Adri




Tajuk Buku : La Adri
Penulis : Zahiruddin Zabidi

Buku yang agak santai ini telah dimuatkan dengan beberapa catatan kisah benar yang dilalui penulis sendiri seperti pada bahagian bertajuk “Bagaimana isteri saya mengurat suaminya”. Buku keluaran DuBook Press ini turut sedaya upaya menggarap beberapa sudut penting yang harus diketahui oleh para pembaca. 

Menarik pada buku ini (menurut saya) apabila penulis cuba menyentuh isu Monarki Feudal yang kurang mendapat perhatian ramai. Sistem demokrasi yang mengambil tempat pada majoriti wilayah hari ini memungkinkan sistem Monarki Feudal yang masih digunapakai di beberapa wilayah semakin diendahkan. 

Menyentuh hal-hal berkaitan keberagamaan dengan approach yang santai dan ringkas memudahkan pembaca memahami beberapa ranting penting dalam beragama.

Tajuk buku La Adri merupakan bab akhir pada buku ini pada mukasurat 117; iaitu penulis cuba menyampaikan sebuah mesej penting kepada semua manusia bahawa tidak semua persoalan di dunia ini mampu dijawab dengan sempurna. Maka berkata La Adri (Aku tidak tahu) adalah sebahagian daripada ilmu. Memetik hadis Rasulullah saw yang dipersembah oleh penulis; Ilmu itu ada tiga bahagian. Kitab yang berbicara, sunnah yang berdiri tegak dan La Adri (aku tidak tahu) – Hadis yang direkodkan oleh Abu Daud dan Ibnu Majah daripada Abdullah bin Umar iaitu Hadis Marfu’

Abd Halim

Antara Ritual dan Maqasid

Islam adalah agama yang mewajibkan hubungan baik antara manusia dengan Tuhan (hablum minallah) dan hubungan baik antara manusia dengan manusia (hablum minannas). Islam turut menyediakan ritual-ritual dengan bantuan wahyu yang sakral dan konkrit untuk difahami. Ritual-ritual ini sebagai mekanisma untuk menjalinkan hubungan baik antara manusia dengan Tuhan. Sejarah membuktikan, pertarungan dengan Tuhan adalah perkara yang sia-sia. Bahkan menafikan kewujudan Tuhan adalah satu kejanggalan kerana ianya mampu diabsahkan hanya dengan bantuan akal sekalipun tiada risalah nubuwwah dan anbiya yang diutuskan. Naluri sedia ada dalam diri manusia itu adalah bertuhan. Ini antara pendapat sebahagian besar Teolog (Ahli Teologi) Islam semisal Harun Nasution.

Malaysia, antara benua yang kaya dan sarat dengan polemik, isu, sentimen berkaitan hal keberagamaan. Malaysia sebuah negara yang dicanang sebagai negara Islam ini telah diviralkan sebuah ritual yang agak asing namun bukanlah perkara baru kepada Malysia, di dalam sebuah portal akhbar tempatan.

KUALA TERENGGANU: Tindakan pelajar dan guru sebuah sekolah agama dari bandar raya ini mengadakan bacaan yasin dan solat hajat di tepi Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2), semalam boleh mengundang bahaya. Rujuk www.bharian.com.my/node/93693?m=1

Ritual ini telah dipromisikan oleh sebuah sekolah agama yang mengkalugkan Islam sebagai pelengkap nama. Sedia maklum, entiti-entiti Islam di dunia ini bukanlah mewakili Islam 100% dan bertindak sebagai entiti yang menyambung mandat Tuhan. Agama yang anjal ini sentiasa terdedah kepada penafsiran yang beraneka. Lalu, selagi mana penafsiran itu dilakukan oleh manusia biasa, maka ianya sentiasa terdedah kepada silap dan salah. Walaupun diakui, bahawa entiti-entiti Islam ini menguasai disiplin ilmu dalam bertutur dalam hal agama, namun itu bukan prasyarat untuk mereka bersifat sakral dan sifar salah dalam berbicara dan berijtihad.

Ritual di atas dalam simbolik kepada kedangkalan dalam memahami maqasid syariah dan ritual agama yang sedia ada. Di samping kedangkalan melihat agama dalam ruangan yang sempit. Bahaya yang mengundang itu adalah tegahan besar agama dan bercanggah dengan maqasid (tujuan) syariah yang salahsatunya adalah agama turun untuk menjaga nyawa. Seperti kisah seorang sahabat, Amru bin al-Ass yang memahami ayat Quran;

"Janganlah kamu membunuh diri sendiri, sesungguhnya Allah amat menyayangimu"

Dengan tafsiran sendiri apabila dikhabarkan dalam sebuah hadis riwayat Abu Daud bahawa Amru bin al-Ass bertindak untuk tidak mandi junub akibat kesejukan yang dirasakannya mampu mendatangkan mudarat. Bahkan menggantikan dengan tayamum lantas mengimami solat. Sesampai berita ini kepada Nabi saw, maka Nabi saw taqrir dan tidak memarahi Amru kerana caranya memahami dalil tadi bahawa kesejukan = memudaratkan diri = membunuh diri.

Asal agama adalah mudah dan terbina atas golden-rule yang telah dimaterai oleh Tuhan dalam risalah agung. Apabila umat Islam berinteraksi dengan Islam dalam juzu' (bahagian) tertentu, maka Islam dilihat tempang bukan akibat Islam itu memang tempang, tapi akibat mereka yang meragakan baju Islam itu sendiri.

Abd Halim
Monday 2 November 2015
Posted by Rijal Ilmu

Diagnosis


Tajuk Buku : Diagnosis 
Tulisan : Dr. Anwar Faizal & Dr. Aizzat & Dr. Azah

Buku yang pernah laris sekitar PBAKL pada tahun 2014 ini sarat dengan penceritaan dan pengalaman langsung daripada tiga orang insan yang berkarier dalam bidang kedoktoran. Pengalaman yang segar serta penceritaan yang berkisar kehidupan sehari-hari masyarakat kini menarik dan mudah difahami.

Mengetengahkan sikap sebahagian masyarakat yang lebih terarah kepada nilai-nilai negatif dan pentingkan diri sendiri. Sikap masyarakat yang dengki (dalam bab Denggi vs Dengki), masyarakat yang tidak bersahsiah ketika berurusan dengan perkhidmatan hospitaliti. Maka, para penulis memberi sisi pandang yang kemas dalam merawat kerancuan masyarakat ini. 

Balik kepada ajaran Islam yang asal, mengangkat nilai dan sahsiah sebagai inti risalah para anbiya di era awal perjuangan mereka. 

Selain itu, para penulis menyampaikan ringkar profession kedoktoran sebagai profession yang turut memberi sumbangan besar dalam menjaga keberlangsungan masyarakat dalam berkehidupan. Beberapa bab, para penulis mengesyorkan profession ini sebagai lapangan bakti kepada sekalian umat.

Saya melihat, buku ini sewajarnya dimiliki oleh para pelajar perubatan dan kedoktoran yang akan berkecimpung dalam bakti yang besar agar dapat mendapat gambaran awal yang lebih praktikal dan lebih bersedia berhadapan dengan banyak ragam yang tidak ditemui pada kertas-kertas silibus kuliah.

Abd Halim
Wednesday 28 October 2015
Posted by Rijal Ilmu

Mahasiswa dan Sangkar

Mahasiswa
Pemuka bijaksana
Jangan bungkam lidah berbisa
Menjadi tali kepada manusia
Yang dianiaya yang diludah

Gulung ijazahmu tiada harga
Andai ideamu tiada berguna
Kau ampu kau puja
Pencucuk hidung diluar sana

Waktunya telah tiba
Bangkit dari lelap lena
Dengan otak bertarung satria
Sarat akal dengan inti bicara

Temani pena dan hitam tinta
Riwayat alkisah rencam dunia
Jangan berkhayal dengan candu manusia
Yang mengkeldai mengguna-guna

Usiamu bukan gari
Mengikat tangan dan buku lali
Hindar dari singa lapar
Keluar dari tagarnya sangkar
Lawanlah, atas nama Tuhan maha besar


Abd Halim
Monday 26 October 2015
Posted by Rijal Ilmu

Tiada Langit

Suram langit dengan awan yang seakan burung terpaksa pulang ke sangkar kerana senja kunjung tiba. Kabur. Retina mata pedih tekak mula memekak bertelegah. Kening menghimpit mata sehingga terpaksa tersembam dan memberi ruangan kecil untuk meratap jalan yang aku lalui. Jerebu yang bukan lagi datang dan pergi, tapi bertalu-talu memcengkam hela nafasku dan teman-teman yang berkemeja dan berseluar hitam seragam menuju ke dewan kuliah.

"Rakyat Pemalasia diminta untuk mengurangkan aktiviti luar dan meminum air putih dalam kuantiti yang mencukupi."

Pesan-pesan semisal ini rancak mengisi kekosongan iklan antara sinetron-sinetron yang ditayang di kaca TV oleh pihak betanggungjawab dalam negeri yang aku huni; negeri Pemalasia. Aku siswa di sebuah institusi pengajian tinggi yang setia di pagi-pagi buta, menggalas kertas-kertas tugasan yang kemas ditekap daripada sesawang-sesawang. Meriuh-rendahkan kelas pengajian dengan carut marut sambil berbangga meragakan nama mahasiswa dipundak leher dan mengalungkan rantai terpelajar sebagai figura-figura yang berjenamakan "aset negara".

11:00 pagi

Matahari tersorok di sebalik kepulan jerebu yang mula mengisytiharkan konfrontasi aman dengan alam. Jalan raya yang biasanya mampu aku tenung sejauh 500 meter sudah mula surut dan beransur hilang. Teman-teman sekuliah, yang popular dengan aneka raga, tiada berasa apa-apa. Mungkin sebab mata mereka jarang dikhidmat kepada alam melainkan mensyahadahkan gajet sebagai Tuhan aduan tiap-tiap permasalahan. Terpulanglah, itu hak mereka sebagai rakyat negeri Pemalasia.

Dikhabarkan dalam satu laman sosial yang aku kunjungi, fenomena ngeri ini turut melempiaskan bahangnya ke negeri jiran Pancasila. Aku tidak khuatir sangat dengan penduduk sana, kerana mereka punya otak dan lidah untuk bertempur hingga ke hujung nyawa. Aku risau dengan rakyat negeriku yang merapikan lidah mereka hanya untuk hal yang memberi habuan lumayan kepada peti simpanan. Otak mereka sudah lama dilanda jerebu yang menggusarkan sehingga mereka hanyut dalam buaian dan khayalan. Mereka tidak endah akan melayangnya nyawa saudara di negeri sendiri. Bagi mereka; babak itu hanya bersilih ganti. Bila sudah yang mati, maka gajet akan berfungsi menyeru sekalian anak negeri bersedekah Al Fatihah dan hashtag sepuas serakah, #prayforPemalasia.


Bapa-bapa menteri hari ini pula tidak kurang tidak sibuk bertikam lidah, bertarung antara kabilah mempertahan takhta yang melapik mulus punggung mereka. Ada yang sibuk mengumpul ratus ribu manusia, untuk menjerit ke langit "aku pejuang di bumi". Bumi yang dihuni pun bosan dengan kehipokritan anak watan yang mengguna lidahnya hanya untuk zikir dan doa, namun segan silu menghentak ubun kepala pak penguasa dengan cemeti daripada sekalian penduduk negeri.

Mungkin, kematian dalam kalangan raja-raja dan menteri-menteri akan menjadi solusi kepada langit gelap ini. Pesan-pesan akan terus berlegar di kaca tv yang dipelopor tirani, memaksa anak kecil untuk menggigil dan mengangguk kepala berahi. Aku harap negeri ini sampai ke satu tahap diuji hujan batu. Maka matilah pelahap-pelahap durja, yang bereleter berpesan "Jaga keselamatan anda. Anda mampu mengubahnya."

Abd Halim
Thursday 22 October 2015
Posted by Rijal Ilmu

Proletar Dua Menara

Tajuk Buku : Proletar Dua Menara
Penulis : Fdaus Ahmad

Permulaan kisah buku ini menceritakan tentang kehidupan penulis (Fdaus Ahmad) sebagai jurutera lojistik dan perkapalan di bawah Syarikat Petronas. Kisahnya sebagai jurutera ringkas apabila beliau meletak jawatan sebagai jurutera yang gajinya lebih RM5000 sebulan. Alasannya mudah, untuk menikmati kebebasan.

Penulisan gaya indie yang bebas tanpa merisaukan penggunaan Bahasa Melayu Rendah (BMR) ini menarik hati apabila penulis mampu melahirkan pemikiran di luar kotak dan berani melontarkan pendapatnya sendiri. Di dalam buku ini juga diselitkan status Facebook yang ditulisnya dan kritikan-kritikan peribadi mengenai sesetengah isu. Salah satu status Facebooknya yang menimbulkan kelucuan di dalam kepedihan,

"Membaca jambatan ilmu, tidak membaca jambatan bangang".

Pelbagai tajuk diketengahkan seperti Prinsip vs Survival, Prebet Kapitalis, Bangla, Indon dan Paki, dan banyak lagi tajuk yang tepat dengan isu Malaysia mahupun dunia. Penulisan berani ini mencabar emosi, fikiran dan pendirian pembaca tentag pelbagai isu serta pandangan terhadap manusia dan dunia amnya. Akhir buku ini, penulis memasukkan dialog dengan anaknya yang mencuit hati. Bagi aku sebagai pembaca, buku ini amat santai tapi berisi. Isinya disaluti lawak namun tepat mengenai hati. Buka minda dan bacalah.

Asnawi
Wednesday 21 October 2015
Posted by Rijal Ilmu

Gerakan Islam Dan Ideologi-Ideologi

Artikel ringkas ini adalah maklum balas dan penilaian semula kepada sebuah catatan kuliah berkisar Arkanul Baiah (Rukun Baiah) oleh Al Imam Hassan Al banna rahimahullah. Selepas melihat beberapa poin perbahasan dan huraian ke atas tiap rukun tersebut, maka saya terpanggil untuk membuat penilaian  semi-konkrit ke atas salah satu rukun iaitu rukun ke-8 iaitu Tajarrud dengan huraian;

"Menjauhkan kefahaman yang bertentangan dengan ajaran Islam wajib dijauhkan seperti liberal, sosialism, sekularism dan seumpamanya"

Pertama, haruslah diimani oleh sekalian orang beriman bahawa agama ini bukan hanya premis yang menggalakkan hubungan baik manusia dengan Tuhannya, namun juga hubungan baik manusia sesama manusia. Islam datang membawa solusi untukmenyembuhkan kerencaman struktur masyarakat dan membina jaringan teguh atas kasih sayang dan persaudaraan. Gerakan-gerakan Islam sudah pasti meletakkan ini sebagai prinsip perjuangan selaras dengan perjuangan para anbiya yang tidak hanya membawa zikir dan doa, namun merawat kesakitan masyarakat. Sosialisme adalah pemikiran yang bersangkut paut dengan tatanan hubungan sesama masyarakat. Menurut bahasa, sosial adalah hubungan antara individu atau kelompok ke atas kelompok lain. Berimbuhkan "isme" menunjukkan ianya merupakan satu premis perjuangan yang memiliki dasar tertentu. Gerakan-gerakan Islam, antaranya di Malaysia, banyak yang terkesan dengan perjuangan Ikhwan Muslimin di Mesir. Antara tokoh yang menjadi rujukan gerakan-gerakan ini ialah Imam Hassan Al Banna, Sayyid Qutb, Mustafa Masyhur dan lain-lain.


Tanpa disedari, gerakan-gerakan konservatif islamis yang membenci dan mengherdik fahamam sosialisme ini sebenarnya pernah diperjuangkan oleh tokoh rujukan mereka iaitu Sayyid Qutb. Selepas jatuhnya Raja Faruq (1936-1952) yang korup, maka Sayyid Qutb tampil menyelamatkan bangsa Mesir dengan memperkenalkan gagasan sosialisme untuk merawat ketempangan sosial masyarakat dan kecacatan ekonomi. Walaupun mendapat tentangan negatif beralasankan bahawa sosialisme ini daripada atap fahaman Barat, segala hujah negatif turut di tepis oleh Sheikh Mahmud Syaltut (Rektor Al Azhar) ketika itu bahawa sosialisme bukan ancaman kepada Islam. Sosialisme Islam lebih dikenali dengan pembelaannya ke atas opressod (golongan tertindas),

وَنُرِيدُ أَنْ نَمُنَّ عَلَى الَّذِينَ اسْتُضْعِفُوا فِي الْأَرْضِ وَنَجْعَلَهُمْ أَئِمَّةً وَنَجْعَلَهُمُ الْوَارِثِينَ

Dan Kami hendak memberi kurnia kepada kaum yang tertindas di negeri itu, dan hendak menjadikan mereka pemimpin-pemimpin, serta hendak menjadikan mereka orang-orang yang mewarisi (bumi)
(Al-Qasas: 5)


Kedua, Islam adalah sebuah kemerdekaan dan pembebasan. Tiada paksaan dan cacian ke atas manusia lain. Keadilan sosial yang diperkenalkan oleh Islam adalah sejagat dan tidak hanya tertumpu kepada orang muslim, tetapi semua umat manusia.

إِنَّ اللَّهَ يَأْمُرُكُمْ أَنْ تُؤَدُّوا الْأَمَانَاتِ إِلَىٰ أَهْلِهَا وَإِذَا حَكَمْتُمْ بَيْنَ النَّاسِ أَنْ تَحْكُمُوا بِالْعَدْلِ ۚ
Sesungguhnya Allah menyuruh kamu supaya menyerahkan segala jenis amanah kepada ahlinya (yang berhak menerimanya), dan apabila kamu menjalankan hukum di antara manusia, (Allah menyuruh) kamu menghukum dengan adil.
(An-Nisa: 58)

Menurut Qaradhawi, bahawa Islam memperkenal teori kebebasan iaitu kebebasan bersuara, beragama dan berfikir. Sesuai dengan firman Tuhan,

لَا إِكْرَاهَ فِي الدِّين
Tiada paksaan dalam beragama
(Al-Baqarah: 256)

Liberal adalah satu gagasan politik yang menekankan kemerdekaan dan kesetaraan. Fahaman yang muncul di Eropah ini telah menganugerahkan satu sistem kontrak sosial dalam urusan kenegaraan iaitu demokrasi. Tanpa disedari, sebahagian gerakan konservatif islamis yang mengherdik liberal sebagai fahaman songsang telah mensyahadahkan sistem yang diperkenal oleh liberalis dalam metodologi politik mereka. John Stuart Mill antara yang memperjuangkan sosial liberalism untuk menolak ketidakadilan sosial. Walaupun liberal ini memiliki versi radikal seperti JIL, QEK, Hermeunatika, namun beberapa advantagenya masih relevan dan cocok dengan Islam yang murni itu sendiri. Antaranya, bengis kepada penindasan majoriti kepada minoriti, dan melawan ketidakadilan sehabis mungkin. Sedia maklum, adil itu ranting Islam. Bagaimana menurut Ali Asghar Engineer;

"Keadilan itu keimanan, kezaliman itu kekufuran."

Firman;

وَلَا يَجْرِمَنَّكُمْ شَنَآنُ قَوْمٍ عَلَىٰ أَلَّا تَعْدِلُوا ۚ اعْدِلُوا هُوَ أَقْرَبُ لِلتَّقْوَى
..dan jangan sekali-kali kebencian kamu terhadap sesuatu kaum itu mendorong kamu kepada tidak melakukan keadilan. Hendaklah kamu berlaku adil (kepada sesiapa jua) kerana sikap adil itu lebih hampir kepada taqwa.
(Al-Maedah: 8)

Ketiga, seperti sejarah yang biasa dihadam dan sepatutnya pendokong-pendokong gerakan Islam sudah hafaz dan mahir, sekularisme munculnya ketika kebangkitan gerakan reformasi renaissance dan humanisme pada akhir abad ke-15 di Eropah. Gagasan ini telah mewujudkan aliran baru dalam gereja yang merupakan kuasa dominan ketika itu, iaitu Kristen Protestan oleh Marthin Luther. Gerakan rasionalisme ketika itu menempatkan manusia di tahap untuk mengenali kehidupan cukup dengan akal sambil ingin bebas daripada cengkaman gereja. Namun hari ini, sekular bukan hanya versi seperti dulu, sekular sudah bertindak sebagai equalizer (penyeimbang) dalam sesebuah pemerintahan dalam sesebuah Negara. Saya membuat analogi ringkas, misalnya; di Amerika, yang umat Islam disana dalam kuantiti minoriti. Seandainya umat Kristian atau Jew yang ingin memasuki Islam namun dihalang oleh kerajaan tertinggi, bagaimana reaksi anda? Maka disini, sekular mengambil tempat untuk mengasingkan kuasa politik (Amerika) dengan kehendak keberagamaan rakyat. Ringkasnya, negara sekular yang pada hari ini, telah menjadi kiblat dan tunjang harapan negara Islam tertindas iaitu Turki. Syabas Recep Tayyip Erdogan dengan taktik politik yang menarik.

Kesimpulannya, gerakan-gerakan Islam konservatif seharusnya tidak gopoh gapah membakul sampah ideologi yang dilihat berbeza dengan warna dan teks yang dianuti. Para anbiya turun adalah untuk menggagaskan banyak hal. Berdamping dengan ramai manusia. Toleransi dengan golongan ingkar bahkan. Saya melihat, gerakan Islam yang memfobiakan pendokongnya dengan menelaah ideologi-ideologi seperti diatas akan memandumkan kreativiti berjuang dan mematikan suis akal mereka sehingga membenci dan menerakakan ideologi yang dibingkaikan salah dimata mereka. Sudah masanya dialog, halaqah-halaqah disegarkan dengan perbahasan sebegini rupa. Biar ahli menilai berdasarkan hujah. Agama ini adalah argumen (hujah), bukan premis paksa dan memotong lidah daripada bersuara. Saya memohon, agar artikel ini tidak disalah erti sebagai menjatuh-jatuhkan, bahkan atas kasih kepada Islam, kita mahukan pembaikan dan pembaharuan. Biar Islam yang dinikmati itu dengan ketulenan bukan kepalsuan.


Seandainya ada kesilapan dan kritikan pada artikel ini, sila sediakan artikel/teks baru agar kita boleh sama-sama mengambil iktibar dan menyegarkan wacana Islam di Malaysia.


Rujukan;
1. Al Quran
2. Islam Holistik, Dr. Yusuf Al Qaradhawi terjemahan Dr. Juanda Jaya
3.Thesis Konsep Sosialism Islam Sayyid Qutb, PSS Institut Agama Islam Ar Raniry Polkema Darussalam Bandar Acheh
4. Islam Menentang Sekularism, H. Oemar Bakry


Abd Halim


Tuesday 20 October 2015
Posted by Rijal Ilmu

Mahasiswa Tanpa Buku

Kini aku bergelar mahasiswa. Sepertimana mahasiswa di kampus lain, gelaran ini diberi sama kepada semua yang berjaya mendaftarkan diri ke senarai peserta program pengajian mana-mana kursus yang ditawarkan oleh sesebuah institusi pengajian tinggi. Pendek kata, mahasiswa adalah gelaran bagi mereka yang sedang belajar di universiti. Aku yakin bahawa makna mahasiswa tidaklah sesempit ini.

Manakan tidak,menyandang title ini membawa seakan sebuah kebanggaan buat diri. Mahasiswa adalah gabungan dua kata, maha dan siswa. Jika diteliti, 'maha' membawa impak ketinggian, kebesaran, dan keagungan kepada kata siswa yang terletak sesudahnya. Siswa sendiri pula adalah pelajar. Maka pasti ada beza sifat Tuhan yang pengampun, dengan Tuhan yang Maha Pengampun. Oleh itu, seorang mahasiswa semestinya mempunyai nilai tambah yang membezakannya dengan seorang pelajar biasa. Membezakan mahasiswa universiti dengan pelajar sekolah!


Namun melalui pengamatan aku, aku sendiri kurang menemui nilai yang membezakan mahasiswa dengan pelajar biasa. Dalam konteks Malaysia mungkin tidak salah kalau disimpulkan majoriti mahasiswa tidak jauh ibarat pelajar sekolah yang belajar dengan silibus pengajian yang lebih berat memenat otak. Juga dengan peraturan kod pemakaian yang lebih longgar.

Sebagai kelompok yang hidup di sebuah institut intelektual, mahasiswa dilihat kurang berjaya menonjolkan keilmuan dalam kehidupan domestiknya yang mereka (baca: kami) gelarkan campus life. Faktanya, ramai mahasiswa lebih mesra dengan hedon (hiburan) berbanding untuk bersungguh mencintai keilmuan. Bukti, lebih ramai mereka yang memilih gadjet sebagai teman rapat pendamping hidup berbanding buku! Rasanya ramai maklum tentang penyakit malas membaca yang menular dalam kalangan masyarakat Malaysia. Seharusnya, kelompok maha pelajar yang dikelilingi kegiatan keilmuan dalam gedung ilmu menjadi penimbang tara menampung wabak kemalasan menghadap buku yang dihidapi masyarakat. Tapi menyakitkan apabila mereka sendiri menjadi penyumbang kepada kesedihan kerana turut sama terjebak sekali.

Mahasiswa alaf baru kini semakin mandum dengan kegiatan keilmuan. Universiti tampaknya menghasilkan ramai graduan yang rapuh dari wacana dialog. Perbincangan dan perbahasan ilmiah amat sukar dilihat sebagai kebudayaan mahasiswa. Kalau ada pun, hanya sedikit dan lebih banyak yang cuma bertumpu kepada pembelajaran yang diajarkan di dalam kuliah. Jarang sekali membincangkan isu-isu di luar kebiasaan yang mengangkat keilmuan tanpa menilai skop dan bidang sekaligus menaikkan nilai kemahasiswaan mereka sendiri.

Lebih lesu, terdapat mahasiswa robot yang hanya hadir ke kuliah dengan kosong dan balik juga dengan kekosongan. Kehidupan mereka ranggi, melayan norma dan dogma 'darah muda' yang mencintai hiburan dan keseronokan. Analoginya seperti kehidupan pendosa yang kotor, namun mengetahui bila tarikh matinya, lantas mudah mengatur bila masa taubatnya. Bila semakin dekat dengan tarikh peperiksaan, barulah pencabul ilmu ini bersungguh menghadam apa yang diajarkan sebelumnya.

Oleh itu di manakah nilai intelektual dan ketinggian keilmuan mahasiswa?

Sebab itu aku simpulkan mahasiswa kini tidak jauh bezanya dengan budak sekolah. Mereka asyik dalam dunia sendiri bermatlamatkan segulung ijazah setelah bergraduasi dan kerja yang boleh menampung hidup setelah itu. Maka seterusnya menjadi sebahagian daripada masyarakat dan bakal berputar lagi kitaran ini pada generasi seterusnya. Mahasiswa sepatutnya menjadi anggota masyarakat yang yang berada pada kelas elit kerana kelebihan yang ada pada mereka. Dengan identiti mahasiswa juga mereka sekaligus mempunyai tanggungjawab intelektual, sosial dan moral.


Aku suka mengimbau sejarah lalu yang menceritakan ketinggian kelas mahasiswa dalam komuniti rakyat. Mereka sering diangkat sebagai jurucakap masyarakat. Di Malaysia ini, pada era 70-an, mahasiswa telah menjadi penghubung antara kerajaan di atas dengan rakyat marhaen di bawah. Ini telah melahirkan nama-nama hebat seperti Anwar Ibrahim, Saifuddin Abdullah , Zahid Hamidi, Ibrahim Ali, dan ramai lagi mahasiswa yang kini merupakan pemimpin masyarakat.

Memikul tanggungjawab intelektual, sosial dan moral mahasiswa berfungsi sebagai agen semak dan imbang (check and balance) menyuarakan hasrat dan permasalahan masyarakat. Sejarah telah membuktikan buah daripada kewibawaan mahasiswa telah berjaya membawa impak positif kepada masyarakat dan negara amnya seperti pembelaan terhadap kemiskinan penduduk Baling, Kedah 1974, cadangan menujudkan Dasar Belia Negara pada 1985, idea penubuhan Universiti Kebangsaan Malaysia, dll. Di serata dunia juga dapat kita saksikan penglibatan watak mahasiswa dalam pelbagai sejarah penting seperti peristiwa Gwangju Uprising 1980 di Korea Selatan dan Tragedi Trisakti 1998 di Indonesia.

Peranan mahasiswa seperti ini pasti akan lebih subur berkembang pada hari ini dan dihormati massa sekiranya wujud pembudayaan ilmu dalam kalangan mahasiswa bagi mendapatkan serta menghayati ilmu dalam menggerak perubahan masyarakat. Dalam kata mudah, pembudayaan ilmu akan melahirkan mahasiswa yang mampu berfikir secara kreatif dan kritis.

Bagi aku mahasiswa tidak suka kuliah masih lagi mahasiswa. Asalkan dia cintai buku.

Chong Muslim

Monday 19 October 2015
Posted by Rijal Ilmu

Lagenda Firaun


Berderet Quran berbicara
Mengheret jasad penghenyak umat
Menekap nama yang dicela-cela
Pembodoh umat firaun terlaknat

Kalamnya memaksa-maksa jelata
Soal hamba tengkuk dipukulnya
Raja dia dengan jelata setia
Bertangga-tangga mencabar Esa
Cakapnya wajib didakap
Bersiul-siul memperhamba bendul
Meraga ia baju besi pembela
Kabur mata hamba digundah

Firaun moden !
 
Henti rencana membodoh umat
Jangan diterus zaman zulmat
Dihias bicara dengan lidah anbiya
Agar dilanggan pagi ke senja?
Jangan agama dilacur-lacur
Khemah buatan bunga ditabur
Menyadur mata dari leluhur
Tiada lagi pertikai, wajib akur

Bukan niaga kitab Tuhan
Bukan perjuangan akal-akalan
Menyerah taqwa pada sebilah lidah
Menentu kau syurga neraka

Abd Halim
Sunday 18 October 2015
Posted by Rijal Ilmu

Sekolah; Penyembahan atau Pencerahan ?

Perkataan “SEKOLAH” berasal daripada Bahasa Greek σχολεῖον – scholeion yang membawa maksud sebuah bangunan atau tempat yang berfungsi untuk memberikan pendidikan kepada pelajar, yang merujuk sesiapa yang belajar di situ. Struktur sekolah moden mungkin dilengkapi dengan kemudahan teknologi maklumat (IT) atau sekadar bilik darjah sahaja.[i] Menurut Pusat Rujukan Persuratan Melayu Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) sekolah ialah satu tempat proses pembelajaran dan pengajaran berlangsung[ii].

Berdasarkan definisi dan asal daripada perkataan sekolah itu sendiri jelas menunjukkan bahawa sekolah merupakan satu lembaga yang memang dirancang khusus untuk pengajaran murid di bawah pengawasan dan penyeliaan guru.  Setiap negara mempunyai model dan pelaksanaan Sistem Pendidikan yang tersendiri.  Jika kita melihat kepada peranan sekolah di Malaysia pada dasarnya ialah berpandukan kepada Akta Pendidikan 1996 (pindaan 2002) yang mewajibkan semua warganegara Malaysia untuk belajar di sekolah secara formal . Hal ini berdasarkan Surat Pekeliling Ikhtisas Bil 14/2001: Pendidikan Wajib mengikut seksyen 29A (2)[iii].  Selain itu peranan sekolah juga berteraskan kepada Falsafah Pendidikan Kebangsaan iaitu Pendidikan di Malaysia adalah suatu usaha berterusan ke arah memperkembangkan lagi potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu untuk mewujudkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani berdasarkan kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan. Usaha ini adalah bagi melahirkan rakyat Malaysia yang berilmu pengetahuan, berketerampilan, berakhlak mulia, bertanggungjawab dan berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri, serta memberi sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran keluarga, masyarakat dan negara.

Hitam putih peranan sekolah di Malaysia menunjukkan satu teori yang sangat baik.  Namun realitinya jika kita lihat pada dewasa ini peranan sekolah bukan lagi sebagai satu tempat pencerahan dan penyampaian maklumat segar kepada pelajar. Tapi kita lihat kini sekolah sebagai tempat doktrinisasi minda pelajar.  Pelajar dan guru terpaksa melaksanakan Pengajaran dan Pembelajaran (P&P) semata-mata untuk menghabiskan sukatan mata pelajaran dan untuk memastikan pelajar LULUS dan CEMERLANG di dalam peperiksaan sama ada di peringkat sekolah mahupun peperiksaan awam.  Pelajar Malaysia kini seakan-akan dipaksa untuk menyembah teks dan skema pemarkahan kerana pendidikan kita yang berorentasikan peperiksaan. Kesan daripada perkara ini akhirnya pelajar Malaysia menjadi pelajar yang hanya menjadi penghafal dan malas untuk berfikir yang menjadikan otak mereka usang serta kering kontang.  Perkara ini sangat berbeza dengan teori yang ideal di dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan.

Keputusan Programme for International Student Assessment (Pisa) dan Trends in International Mathematics and Science Study (TIMSS) yang menunjukkan pencapaian Malayasia yang berada di tangga ke 52 daripada 65 negara yang menyertai peperiksaan ini pada tahun 2012[iv]. Kebolehan pelajar-pelajar cemerlang di Malaysia tidak sampai 50% yang mempunyai perkembangaan diri yang holistik.  Hal ini berlaku disebabkan tumpuan sekolah sebagai satu tempat penyembahan teks yang memaksa pelajar untuk mengehadkan idea dan minda mereka untuk berfikir dan mempersoalkan sesuatu. Tambahan pula ia menunjukkan sekolah di Malaysia menghasilkan pelajar yang kurang berfikir dan hanya menghafal fakta semata. 
Sejak kebelakangan ini sahaja pihak yang bertanggungjawab mula sedar bahawa sekolah sepatutnya dijadikan sebagai satu tempat pencerahan ilmu pengetahuan mula mengubah beberapa perkara dalam bidang pendidikan di Malaysia.  Contohnya dengan pengenalan soalan-soalan High Order Thingking Skils (HOTS) iaitu penambah baikan bagi soalan-soalan Kemahiran Berfikir Kreatif dan Kritis (KBKK) yang memerlukan pelajar membuat analisis dan berfikir untuk mencari jawapan .   Namun begitu disebabkan corak peperiksaan itu masih tidak diubah kemahiran insaniah pelajar masih dilihat terkapai-kapai.  Marilah sama-sama kita menilai kembali adakah sekolah di Malaysia ini satu tempat PENYEMBAHAN atau satu pusat PENCERAHAN?





[i] https://ms.wikipedia.org/wiki/Sekolah
[ii] http://prpm.dbp.gov.my/Search.aspx?k=sekolah
[iii] Kamarudin Hj. Husin, Siti Hajar Hj. Abdul Aziz. 2003.  Pedagogi:Asas Pendidikan Kuala Lumpur: Kumpulan Budiman Sdn Bhd
[iv] http://www.themalaysianinsider.com/malaysia/article/muhyiddin-shocked-by-local-students-poor-scores-in-global-tests
Friday 16 October 2015
Posted by Rijal Ilmu

Terima Kasih Si Babi Hutan (Tuhan Kini Aku Datang)

Tajuk Buku : Terima Kasih Si Babi Hutan (Tuhan Kini Aku Datang)
Penulis : Ismail Ariffin

Buku ini berkisar tentang Lepat atau Ismail Ariffin iaitu bagaimana dia menghadapi seharian hidupnya yang ditekan dengan keadaan sekeliling. Dengan keadaan hidupnya yang hampir kehilangan nyawa ketika berada di Kota British demi mencari anaknya yang telah dibawa lari.

Sehinggalah apabila dia dapat membawa anaknya ke Tanah Air semula hak penjagaan terhadap anaknya yang dinafikan oleh pihak yang seharusnya membela dia.

Keadaan ini telah menyebabkan anaknya dibawa lari sekali lagi. Disebabkan keadaan ini, lepat hampir hilang akal, dirinya bagaikan sudah kehilangan Tuhan akan tetapi hero yang menyelamatkanya adalah ayahnya sendiri serta sahabat karibnya Maliki.

Apa yang hebat tentang buku ini adalah watak ayah yang ada dalam buku ini telah mengajar insan agar tidak jatuh dan lemah dengan cercaan yang menimpa. Sentiasa mengikat dan mendekat diri kepada Tuhan sekalian alam, kerana Tuhan tidak pernah membiarkan hambanya bersendirian.

Buku ini juga mengajar bahawa babi yang sentiasa diratib oleh masharakat kita sebagai bahan makian dan celaan mampu menyedarkan tentang penciptaan kita di atas muka bumi ini. Sesungguhnya Allah tidak menciptakan
sesuatu itu sia-sia melainkan ada ibrah (pengajaran) yang perlu dipetik daripada penciptaannya.

Babi itu bukan sekadar babi , dia juga merupakan makhluk yang dicipta untuk membezakan antara dirinya dengan manusia. Berfikirlah tentang keadaan sekeliling, suasana yang ada ini pasti ada sesuatu yang Tuhan ingin sampaikan. Cari dan gali.

Ardy
Monday 12 October 2015
Posted by Rijal Ilmu

Jerebu Yang Bengis !

Bingit juga air hujan berantakan menghentak deras atap masjid tempatku duduk ketika ini. Sebelum keluar bilik kediaman tadi, sempat membawa buku notaku yang sudah layu dan remuk muka hadapannya mungkin akibat culasku memanjakannya ditempat yang selesa. Cuaca yang sebelumnya bertukar menjadi bengis ini, sekadar kekaburan akibat jerebu berkepul-kepul memenuhi ruang udara. Kalau di kota sudah keluar perintah tutup sebahagian sekolah, aku yakin parasnya bukan lagi ditahap yang boleh dikompromi sambil berselfie dan mengkhabarkan dunia, "aku dan jerebu". Aku bertambah yakin lagi, bahawa menteri-menteri yang diimani daripada demokrasi liar Negara ini, tahu jelas akan tugas, lalu bingkas dan tidak lagi menganyam wang-wang berlonggok di peti simpanan.

"Mana ustaz ni?"

Sapa temanku, Ajizul yang sekelas dengan aku untuk subjek Bahasa Arab. Rutin kami, sepetang hari-hari begini, memang menggeledah ilmu Bahasa Arab daripada seorang ustaz, graduan Universiti Al Azhar, Mesir. Kipas yang buas melempias ke hadapan wajah kami, memaksa kepalaku berdenyut seakan pening dan pusing.

"Ustaz tak jadi buat kelas kot, Zul."

Balasku spontan seraya hujan diluar sana semakin garang menjerit memecah suasana hening mendatar sebelumnya. Tapi aku, aku minat suasana begini. Sempat aku mengelamun, berteman secangkir kopi bersama buku 'Aku Kafir, Kau Siapa?' tulisan bebelan Ooi Kok Hin, anak muda yang segar bugar dengan idea dan wacana.

"Kau rasa, apa yang Allah nak tunjuk dengan fenomena jerebu kali ni, Rin?"

"Aku mahu berbeza dengan kau, Zul. Aku melihat fenomena ini di rangka norma hidup manusia. Selain mungkin peringatan ritual daripada Tuhan, ianya satu peringatan kepada kita bahawa perlu sedar, dilingkari oleh pembunuh-pembunuh alam diluar sana."

"Apa maksud kau pembunuh alam?"

Tanya temanku yang serba kebingungan kerana baginya jerebu ini hukuman mutlak daripada Tuhan tanpa melihat sisi lain. Di kota, yang sesak dengan plural kehidupan itu dihuni oleh sekelompok manusia yang kerjanya pagi ke senja membuat kerosakan terbuka kepada alam. Asap kumbahan daripada faktori, pembakaran yang menggila, kumbahan asap daripada jutaan kenderaan. Bagiku, semua ini penyebab kebengisan alam. Jauh daripada itu, kelonglaian penguasa di kerusi takhta daripada bertindak berpencak menyelamatkan nyawa para keldainya yang pernah mencagar percaya sehingga dia di angkat di istana.

"Ada betulnya kau, Rin."

"Ya aku kekadang betul."

Ketawa aku sambil menyahut kenyataan serius temanku yang mengikuti bualan pandanganku tentang alam. Ya, aku tahu, Tuhan cuba beri peringatan sambil merungkai sesuatu. Sudah pasti, Tuhan bukan hanya benci kerosakan tapi juga para perosak.

Abd Halim
Monday 5 October 2015
Posted by Rijal Ilmu

Politikus, Wakil Rakyat atau Wakil Tuhan?

Hari ini, dunia bersesak dengan rumpunan manusia samaada yang berkepentingan dan tidak berkepentingan dengan figura-figura yang pelbagai. Ada yang berbaju peladang berterik di tengah sawah, ada yang berkemeja dihidangkan pendingin hawa yang setia, ada yang meraga baju di Raja tapi nasi yang dijamah hak milik jelata. Inilah realiti rumpunan manusia yang terbit dalam dunia moden hari ini. Sistem hidup hari ini, selain lebat dibahaskan isu keberagamaan, tidak kurang tidak, isu ahli politik (baca: politikus) menjadi rencah lincah dalam hal negara dan politik pemerintahan.


Dalam sistem demokrasi yang sedia maklum diimani di Malaysia hari ini, telah memberi ruang dan peluang kepada pemuka-pemuka politik untuk meragakan baju besi membela rakyat jelata dengan rembesan manifesto-manifesto sakti dan kalam-kalam keramat sebagai slogan yang perlu disorak bersama rakyat kepada keparat. Tidak kurang tidak, politikus yang menggunakan ramuan agama, bermuarakan lidah Nabi saw untuk menjamin buntutnya dan kelompoknya statik di atas kerusi kepercayaan rakyat. Pendustaan sebegini, telah mencacatkan fitrah agama sebagai pemelihara kepada benteng mengukuh takhta.

Politikus sebagai wakil rakyat adalah satu elemen penting dalam sistem demokrasi. Mereka mewakili kerongkong para proletar, buruh tertindas,gelandangan kebuluran, peniaga yang dirantai cukai, pengguna digula-gula. Namun, halnya berbeza apabila politikus yang mencampuri hal agama ataupun menjadikan agama bahan campuran dalam kertas-kertas manifestonya. Politikus semisal ini, akan menganiaya sistem demokrasi yang sepatutnya menempatkan mereka sebagai wakil rakyat kepada wakil Tuhan. Bias dan buas dalam hal agama. Bersifat argumentatif apabila berleter dalam hal agama dengan berhiaskan belon-belon kepentingan.

Menentukan hukum seputar isu lakonan liar di atas ranjang, kepada isu "cina babi" (walaupun lebih kepada perkauman, namun yang berbaju merah ala tentera itu majoritinya Melayu-Islam). Tidak kurang, sebahagian politikus dalam aliran konservatif yang meragakan baju-baju masyhur agama. Berfatwa berdasarkan meja politik dengan bengis dan garang menjentik-jentik. Mereka lebih lancang, menetapkan keislaman seseorang itu seandainya tidak berdiri sekaki dengan parti politik mereka. Campurtangan mereka yang melampau-lampau dalam hal agama ini, telah mewajahkan politik seakan agama. Apa-apa yang ditutur oleh politikus tidak kira yang berkemeja atau berjubah, wajib dianggukkan kerana mereka mewakili suara Tuhan. Persepsi ini perlukan solusi.

Politikus yang cermat, mereka tidak akan melebatkan isu agama dengan menggelutinya mengikut kepentingan partinya, tapi bercakap atas kapasiti rakyat yang bajunya tidak berlogokan mana-mana kelompok. Lidah yang seharusnya menjadi mandat rakyat, bersuara atas kapasiti rakyat dan tidak meluncur lebih sehingga mengatur jadual hidup agama rakyat, harus buat ini dan jangan buat itu. Sokong kami masuk syurga, sokong mereka masuk neraka. Wacana segar, dengan penglibatan politikus-politikus Malaysia seharusnya ligat agar tiada berlaku pertempuran kesumat dan syok sendiri dalam kalangan mereka (baca: wakil rakyat)


Abd Halim

Thursday 1 October 2015
Posted by Rijal Ilmu

Kisah Chenta

Malam yang mula surut membuatku larut dalam kolam bayangan, sambil terlentang di ranjang dengan mata yang liar mencabul siling bilik yang mula berhabuk akibat kemalasanku membersihkannya. Teringat juga aku, akan kesah chenta dengan seorang gadis perawan menawan, Melor. Seorang gadis sebayaku yang ayunya mencandu mataku khayal, sentiasa menjaga gaulnya bagai sebuah akta yang tidak boleh dilanggar. Terkenal dengan kepandaian, kesolehahan, dan keaktifan yang memukau jiwaku yang galau gemilau.

"Halim, aku impikan seorang wira yang prinsipnya sukar ditebas. Bengisnya meraih kelunakan dan yang paling penting, dia berilmu dan penggila buku."

"Sukar syaratmu itu Melor, nampaknya aku kena kerja keras."

Usikku deras kepadanya ketika kami selesai mengadakan rehlah bersama Kelab Rehlah Sekolah Menengah Chempaka. Aku dan dia yang ketika itu memaksa keringat tersejat sakti, kerana letih. Mulanya, aku bertanya ciri wira impiannya, dengan nada usikan. Lebih-lebih lagi, kami memang rapat dan terbuka kerana tiada apa kepentingan tersembunyi. Lamunku itu makin merancak memperkotak emosi yang membuak. Aku mengalihkan posisi badan yang tadinya terlentang, agar menikmati nikmatnya empuk dan mengimbau kesah chenta yang dialbumkan pada benak jiwa itu.

"Kalau kamu Halim, wirawati yang bagaimana kiranya kau angan-angankan?"

Terkebil telinga, terpinga ternganga mulut, membundar mata. Ibarat petir yang melintas getir mendobrak dada yang tadinya tenang mula mengobor-obor. Aku sebenarnya, minat dengan Melor, cuma rasa itu aku kunci dalam-dalam di peti hati. Bagi memberi laluan dengan karier dan pendidikan yang masihku depani 5-6 tahun mendatang.

"Aku... Aku minat wirawati yang berjiwa pertiwi. Tangannya bukan hanya ligat di kuali, tapi juga meliarkan pena bertari. Jiwanya diisi dengan inti yang mencerahkan langit pendidikan untuk anak-anak ku"

Agak serius juga aku berpidato poyo ketika itu, sedang tanpa disedari, Melor mula membahak sopan kerana melihat kesungguhanku menerangkan seakan ahli politik di pentas parlimen.

"Wah, aku pun kena kerja keraslah kalau macam ni."

Sambut Melor sambil beriring ketawa kecilnya yang manis, namun masih dalam kerangka kemuslimahannya. Aku kira, Melor memang tidak suka aku. Ya, memang tidak ada tanda-tanda untuk itu. Kesah chenta dalam konversasi yang singkat dan penuh bersejarah itu tersentak ketika suara syahdu menyapa, menapak didasar telingaku,

"Abang belum tidur? Saya baru selesai bantu anak-anak tadi siapkan kerja rumah mereka"

"Abang tak dapat tidurlah. Abang diganggu histeria kesah chenta kita dahulu kala"

Usikku manja kepada isteriku, Melor. Kini, kesah chenta kami sudah menemui penghujung angannya. Tidak hanya membuak dengan serakah menggila, namun disalur dengan jalan yang sah. Aku bersyukur, kerana Tuhan pelihara daripada episod ngeri menuju pengakhiran kesah chenta dibangku sekolah. Kini aku lega, rupanya Melor, isteriku, dulu dibangku sekolah yang aku rasa tidak menaruh rasa suka, sedang menjadi pendamping setia untuk sebuah kesah chenta ku. Terima kasih Tuhan, menghantarnya untukku.

Abd Halim

Wednesday 23 September 2015
Posted by Rijal Ilmu

Visitors

Followers

Labels

Komrad Otak Usang©. Powered by Blogger.

Webmaster

Tentang Kami

Otak Usang adalah perkumpulan aktivis non-partisan yang akan mengkritik dan merumus ide malar segar untuk agama dan dunia dengan revolusi ilmu.

- Copyright © Otak Usang -Metrominimalist- Powered by Blogger - Designed by Johanes Djogan -