Showing posts with label Cerpen. Show all posts

Gadis Buku!

Pagi Sabtu, seperti minggu sebelum-sebelumnya, DisCanai (Diskusi Canai) di Restoran Mewangi, Jalan Estiqoma kami teruskan sebagai rutin dalam kalangan komrad. Membedah buku, lirik lagu, puisi-puisi, esei-esei sebagai intipati diskusi berkonsepkan sekolah jalanan dan bebas daripada atap kelas kuliah yang kering kontang. Aku, dan beberapa komrad yang berlatar belakangkan ideologi berbeza-beza, menggarap ruang diskusi ini dengan dada yang lapang. Anarki versi Punk, atheis, syiah ismailliyah, salafist, sufist, pejuang islamis, pejuang parti politik, free-hair, niqabis, kami tiada masalah untuk semeja. Dengan mengimani bahawa, kebenaran itu milik mutlak Tuhan dan tidak mungkin bertumpu di antara kami.

"Label-melabel sudah menjadi rencah dalam berbeza di Malaysia."

Picisan isi oleh Chong, ketika membedah buku Al Fadhil Ustaz Wan Ji Wan Hussin berjudul 'Ulama yang bukan Pewaris Nabi'. Kerap telinga kami setia dihala kepada suara pembentang. Dalam kerancakan diskusi yang lebih kurang 20 minit berlalu itu, aku yang duduk disudut meja tepi dinding, sambil menghirup secangkir Neskaffe menjeling ke sudut meja yang berdepan dengan mejaku. Seorang gadis, yang aku tidak pernah melihat wajahnya sebelum ini, khusyuk membelek buku yang dibedah sambil meliarkan jari seakan mencatat isi syarah oleh Chong.

Sekali sekala, mata kami berlaga. Mungkin dia sedar, aku memerhatikannya kerana kagum. Seorang gadis yang lingkungan 21 tahun meragakan hijab yang sempurna, menyantuni buku dengan kemas seperti sedang menyiapkan masakan di dapur untuk anak-anak di hening Subuh.

Aku sudah lama bergraduasi dari IPT di kota. Di kampus lagi, iman ku dengan buku ditahap kritikal. Hatta dalam disiplin mencari pasangan hidup, aku menetapkan bahawa gadis tersebut wajib menggilakan buku. Ya, Sabtu itu, Restoran Mewangi, aku rasa seperti aura baru, ketemu serpihan mutiara yang sudah lama tercicir.

"Sam, kau kenal gadis tu?" Sambil aku menuding ke arah gadis buku itu.

"Fatin. Dia pelajar tahun 2 sains politik di Universiti Meloya."

"Aku tertarik dengan personal dia Sam. Kau boleh bantu aku tak?"

"Tolong apa?" Tanya Sam, dalam suara berbisik.

"Tolong, risikkan."

Aku dan Sam serentak menoleh, kelibat gadis buku yang membuat aku khayal tadi hilang total tanpa jejak. Huru hara juga mataku meragut sema sudut ruang restoran. Rupanya, dia sudah pulang kerana ada hal yang hendak diselesaikan. Lebih-lebih lagi, esoknya, dia akan balik ke kampus untuk memulakan semester baru setelah 2 bulan menghabiskan sisa cuti.

"Takpelah. Dia gadis buku yang akan sentiasa aku buru."

"Bunga bukan sekuntum, Rin. Haha," ketawa kecil kami sambil menghunus bebola mata ke arah Chong yang sudah hampir 40minit membentangkan isi buku Ulama yang bukan Pewaris Nabi melalui sisi pandangnya yang ditohmah 'liberal sesat' padahal tidak pernah meninggalkan solat.

Abd Halim
Wednesday, 18 November 2015
Posted by Unknown

Pemuda 'Rebel'



Senja. Seperti hari sebelumnya,waktu-waktu redup cuaca begini diisi dengan riadah disudut taman perumahan Farid, Taman Marwi. Bersama dengannya teman rapatnya Syah, yang tinggal selorong dengan rumahnya di taman yang sama. Farid seorang pelajar Tahun dua di sebuah institusi pengajian tinggi di kota. Sudah hampir sebulan dia meninggalkan kampus kerana diminta bercuti akibat banjir yang meragut harta benda kolej. Kota Kelontar,  tempat dimana menara gading Farid terpacak. Menggemparkan, apabila tahun kedua pengajiannya di sana, sebuah fenomena banjir besar berlaku. Tanpa usul periksa samada ianya berpunca daripada kecuaian kerajaan kota kerana mengehadkan empangan ataupun tidak mendisiplinkan para pembalak, lantas mengisi kekosongan persoalan bahawa banjir kerana peringatan Tuhan kepada manusia sekaliannya.

"Terlalu banyak maksiat dan sesama muslim pun kerap berbalah, sebab tu Tuhan hantarkan bencana," monolog Farid yang sentiasa berlegar menjinakkan jiwanya yang malas merenung hakikat sebenar kejadian banjir besar tersebut.

"Farid, kau bila balik kampus? Lama lagikah kau cuti?"

Tanya Syah, temannya yang juga pelajar di sebuah institusi pengajian tinggi tetapi di kota yang berbeza. Syah, seorang yang berpendirian tegas dan prinsipnya sukar dicantas. Petah, lincah dalam berbicara. Pelajar tahun dua, kos Syariah ini memiliki pemikiran yang unik berbanding temannya Farid yang sentiasa bermudah dalam menjawab soalan yang berlegar di corong minda.

"Dua minggu lagi, aku balik dah. HEP bagitahu, air dah mula surut. Hmm, masuk penjara semulalah nampaknya aku."

"Haha. Takpe. Penjara yang melayakkan kau bergraduasi dan menjadi kiblat masyarakat di luar sana."

Bergelak dua sekawan sambil meregang-regang kaki dan pinggang setelah letih berlari keliling taman. Bersetuju dengan mengemas-kini nama menara gading kepada penjara yang melayakkan graduasi. Syah, antara pelajar yang sentiasa menggiat diri beraktivis dalam akademik yang bersifat publik, jalanan dan bebas tanpa birokrasi. Dia berpendapat bahawa anak watan yang dicanang untuk menjadi bahu negara, tidak boleh dirantai pundaknya agar akur tanpa bertanya dan menganggukkan semua yang disuapkan seakan para pensyarah mewakili Tuhan yang tidak boleh dipertikaikan dan pelajar sebagai keldai yang perlu sentiasa diam.

"Aku bercadang untuk membuat buku untuk menggeledah ketempangan sistem menara gading yang diagung-agungkan oleh kebanyakan mahasiswa ini. Aku tidak nampak, kalau-kalau kebenaran itu boeh terzahir tanpa menyahkan kepalsuan dan kerancuan," sampuk Syah semula.

"Aku nak ajak kau jadi rakan projek aku, Farid. Kita menulis bersama."

"Aku tiada masalah untuk itu. Cuma.."

"Cuma apa?"

"Aku risau kalau kita mula menjadi perhatian dan dinafikan banyak hal sehingga membawa kepada kecaman dan ugutan," kelu Farid yang lebih lemah lembut berbanding Syah yang lebih garang dan 'rebel'.

"Alaa, kau tak perlu risaulah Farid. Tiada siapa boleh halang kita. Idea yang kita beri, kena dilawan dengan idea yang baru. Tak bolehlah main kecam. Oya, lagi satu, kau tak perlulah nak takut dengan makhluk dibumi ni," sinis Syah kepada Farid diiringi gelak kecil. Dua sekawan ini bertekad untuk menyiapkan manuskrip buku yang bertemakan "pemberontakan dan melawan" dalam masa yang telah disepakati.

"Kau baca buku apa sekarang, Syah?"

"Mahasiswa Bangkit, Hasbie Muda."

Abd Halim
Wednesday, 11 November 2015
Posted by Unknown

Tiada Langit

Suram langit dengan awan yang seakan burung terpaksa pulang ke sangkar kerana senja kunjung tiba. Kabur. Retina mata pedih tekak mula memekak bertelegah. Kening menghimpit mata sehingga terpaksa tersembam dan memberi ruangan kecil untuk meratap jalan yang aku lalui. Jerebu yang bukan lagi datang dan pergi, tapi bertalu-talu memcengkam hela nafasku dan teman-teman yang berkemeja dan berseluar hitam seragam menuju ke dewan kuliah.

"Rakyat Pemalasia diminta untuk mengurangkan aktiviti luar dan meminum air putih dalam kuantiti yang mencukupi."

Pesan-pesan semisal ini rancak mengisi kekosongan iklan antara sinetron-sinetron yang ditayang di kaca TV oleh pihak betanggungjawab dalam negeri yang aku huni; negeri Pemalasia. Aku siswa di sebuah institusi pengajian tinggi yang setia di pagi-pagi buta, menggalas kertas-kertas tugasan yang kemas ditekap daripada sesawang-sesawang. Meriuh-rendahkan kelas pengajian dengan carut marut sambil berbangga meragakan nama mahasiswa dipundak leher dan mengalungkan rantai terpelajar sebagai figura-figura yang berjenamakan "aset negara".

11:00 pagi

Matahari tersorok di sebalik kepulan jerebu yang mula mengisytiharkan konfrontasi aman dengan alam. Jalan raya yang biasanya mampu aku tenung sejauh 500 meter sudah mula surut dan beransur hilang. Teman-teman sekuliah, yang popular dengan aneka raga, tiada berasa apa-apa. Mungkin sebab mata mereka jarang dikhidmat kepada alam melainkan mensyahadahkan gajet sebagai Tuhan aduan tiap-tiap permasalahan. Terpulanglah, itu hak mereka sebagai rakyat negeri Pemalasia.

Dikhabarkan dalam satu laman sosial yang aku kunjungi, fenomena ngeri ini turut melempiaskan bahangnya ke negeri jiran Pancasila. Aku tidak khuatir sangat dengan penduduk sana, kerana mereka punya otak dan lidah untuk bertempur hingga ke hujung nyawa. Aku risau dengan rakyat negeriku yang merapikan lidah mereka hanya untuk hal yang memberi habuan lumayan kepada peti simpanan. Otak mereka sudah lama dilanda jerebu yang menggusarkan sehingga mereka hanyut dalam buaian dan khayalan. Mereka tidak endah akan melayangnya nyawa saudara di negeri sendiri. Bagi mereka; babak itu hanya bersilih ganti. Bila sudah yang mati, maka gajet akan berfungsi menyeru sekalian anak negeri bersedekah Al Fatihah dan hashtag sepuas serakah, #prayforPemalasia.


Bapa-bapa menteri hari ini pula tidak kurang tidak sibuk bertikam lidah, bertarung antara kabilah mempertahan takhta yang melapik mulus punggung mereka. Ada yang sibuk mengumpul ratus ribu manusia, untuk menjerit ke langit "aku pejuang di bumi". Bumi yang dihuni pun bosan dengan kehipokritan anak watan yang mengguna lidahnya hanya untuk zikir dan doa, namun segan silu menghentak ubun kepala pak penguasa dengan cemeti daripada sekalian penduduk negeri.

Mungkin, kematian dalam kalangan raja-raja dan menteri-menteri akan menjadi solusi kepada langit gelap ini. Pesan-pesan akan terus berlegar di kaca tv yang dipelopor tirani, memaksa anak kecil untuk menggigil dan mengangguk kepala berahi. Aku harap negeri ini sampai ke satu tahap diuji hujan batu. Maka matilah pelahap-pelahap durja, yang bereleter berpesan "Jaga keselamatan anda. Anda mampu mengubahnya."

Abd Halim
Thursday, 22 October 2015
Posted by Rijal Ilmu

Jerebu Yang Bengis !

Bingit juga air hujan berantakan menghentak deras atap masjid tempatku duduk ketika ini. Sebelum keluar bilik kediaman tadi, sempat membawa buku notaku yang sudah layu dan remuk muka hadapannya mungkin akibat culasku memanjakannya ditempat yang selesa. Cuaca yang sebelumnya bertukar menjadi bengis ini, sekadar kekaburan akibat jerebu berkepul-kepul memenuhi ruang udara. Kalau di kota sudah keluar perintah tutup sebahagian sekolah, aku yakin parasnya bukan lagi ditahap yang boleh dikompromi sambil berselfie dan mengkhabarkan dunia, "aku dan jerebu". Aku bertambah yakin lagi, bahawa menteri-menteri yang diimani daripada demokrasi liar Negara ini, tahu jelas akan tugas, lalu bingkas dan tidak lagi menganyam wang-wang berlonggok di peti simpanan.

"Mana ustaz ni?"

Sapa temanku, Ajizul yang sekelas dengan aku untuk subjek Bahasa Arab. Rutin kami, sepetang hari-hari begini, memang menggeledah ilmu Bahasa Arab daripada seorang ustaz, graduan Universiti Al Azhar, Mesir. Kipas yang buas melempias ke hadapan wajah kami, memaksa kepalaku berdenyut seakan pening dan pusing.

"Ustaz tak jadi buat kelas kot, Zul."

Balasku spontan seraya hujan diluar sana semakin garang menjerit memecah suasana hening mendatar sebelumnya. Tapi aku, aku minat suasana begini. Sempat aku mengelamun, berteman secangkir kopi bersama buku 'Aku Kafir, Kau Siapa?' tulisan bebelan Ooi Kok Hin, anak muda yang segar bugar dengan idea dan wacana.

"Kau rasa, apa yang Allah nak tunjuk dengan fenomena jerebu kali ni, Rin?"

"Aku mahu berbeza dengan kau, Zul. Aku melihat fenomena ini di rangka norma hidup manusia. Selain mungkin peringatan ritual daripada Tuhan, ianya satu peringatan kepada kita bahawa perlu sedar, dilingkari oleh pembunuh-pembunuh alam diluar sana."

"Apa maksud kau pembunuh alam?"

Tanya temanku yang serba kebingungan kerana baginya jerebu ini hukuman mutlak daripada Tuhan tanpa melihat sisi lain. Di kota, yang sesak dengan plural kehidupan itu dihuni oleh sekelompok manusia yang kerjanya pagi ke senja membuat kerosakan terbuka kepada alam. Asap kumbahan daripada faktori, pembakaran yang menggila, kumbahan asap daripada jutaan kenderaan. Bagiku, semua ini penyebab kebengisan alam. Jauh daripada itu, kelonglaian penguasa di kerusi takhta daripada bertindak berpencak menyelamatkan nyawa para keldainya yang pernah mencagar percaya sehingga dia di angkat di istana.

"Ada betulnya kau, Rin."

"Ya aku kekadang betul."

Ketawa aku sambil menyahut kenyataan serius temanku yang mengikuti bualan pandanganku tentang alam. Ya, aku tahu, Tuhan cuba beri peringatan sambil merungkai sesuatu. Sudah pasti, Tuhan bukan hanya benci kerosakan tapi juga para perosak.

Abd Halim
Monday, 5 October 2015
Posted by Rijal Ilmu

Kisah Chenta

Malam yang mula surut membuatku larut dalam kolam bayangan, sambil terlentang di ranjang dengan mata yang liar mencabul siling bilik yang mula berhabuk akibat kemalasanku membersihkannya. Teringat juga aku, akan kesah chenta dengan seorang gadis perawan menawan, Melor. Seorang gadis sebayaku yang ayunya mencandu mataku khayal, sentiasa menjaga gaulnya bagai sebuah akta yang tidak boleh dilanggar. Terkenal dengan kepandaian, kesolehahan, dan keaktifan yang memukau jiwaku yang galau gemilau.

"Halim, aku impikan seorang wira yang prinsipnya sukar ditebas. Bengisnya meraih kelunakan dan yang paling penting, dia berilmu dan penggila buku."

"Sukar syaratmu itu Melor, nampaknya aku kena kerja keras."

Usikku deras kepadanya ketika kami selesai mengadakan rehlah bersama Kelab Rehlah Sekolah Menengah Chempaka. Aku dan dia yang ketika itu memaksa keringat tersejat sakti, kerana letih. Mulanya, aku bertanya ciri wira impiannya, dengan nada usikan. Lebih-lebih lagi, kami memang rapat dan terbuka kerana tiada apa kepentingan tersembunyi. Lamunku itu makin merancak memperkotak emosi yang membuak. Aku mengalihkan posisi badan yang tadinya terlentang, agar menikmati nikmatnya empuk dan mengimbau kesah chenta yang dialbumkan pada benak jiwa itu.

"Kalau kamu Halim, wirawati yang bagaimana kiranya kau angan-angankan?"

Terkebil telinga, terpinga ternganga mulut, membundar mata. Ibarat petir yang melintas getir mendobrak dada yang tadinya tenang mula mengobor-obor. Aku sebenarnya, minat dengan Melor, cuma rasa itu aku kunci dalam-dalam di peti hati. Bagi memberi laluan dengan karier dan pendidikan yang masihku depani 5-6 tahun mendatang.

"Aku... Aku minat wirawati yang berjiwa pertiwi. Tangannya bukan hanya ligat di kuali, tapi juga meliarkan pena bertari. Jiwanya diisi dengan inti yang mencerahkan langit pendidikan untuk anak-anak ku"

Agak serius juga aku berpidato poyo ketika itu, sedang tanpa disedari, Melor mula membahak sopan kerana melihat kesungguhanku menerangkan seakan ahli politik di pentas parlimen.

"Wah, aku pun kena kerja keraslah kalau macam ni."

Sambut Melor sambil beriring ketawa kecilnya yang manis, namun masih dalam kerangka kemuslimahannya. Aku kira, Melor memang tidak suka aku. Ya, memang tidak ada tanda-tanda untuk itu. Kesah chenta dalam konversasi yang singkat dan penuh bersejarah itu tersentak ketika suara syahdu menyapa, menapak didasar telingaku,

"Abang belum tidur? Saya baru selesai bantu anak-anak tadi siapkan kerja rumah mereka"

"Abang tak dapat tidurlah. Abang diganggu histeria kesah chenta kita dahulu kala"

Usikku manja kepada isteriku, Melor. Kini, kesah chenta kami sudah menemui penghujung angannya. Tidak hanya membuak dengan serakah menggila, namun disalur dengan jalan yang sah. Aku bersyukur, kerana Tuhan pelihara daripada episod ngeri menuju pengakhiran kesah chenta dibangku sekolah. Kini aku lega, rupanya Melor, isteriku, dulu dibangku sekolah yang aku rasa tidak menaruh rasa suka, sedang menjadi pendamping setia untuk sebuah kesah chenta ku. Terima kasih Tuhan, menghantarnya untukku.

Abd Halim

Wednesday, 23 September 2015
Posted by Rijal Ilmu

Bukit Itu!


"Dah lewat kita ni. Jom berangkat."

Suara bertenaga daripada Karim, ketua ekspedisi kami menjejaki artifak yang menurut Prof. Mark berlambak. Bukit Qubu itu sudah mencecah ratusan tahun namun masih teguh setia membumi sekali sekala terpaksa berhujan dan berpanas terik sendiri. Kasihan. Aku, Rodi, Haikal dan Stephen bersiap sedia dengan alat mendaki yang bergayut di setiap permukaan badan demi sebuah keselamatan. Selesai taklimat laluan dan keselamatan, kami menapak di kaki bukit sambil mencuit tinta yang berdansa beriring degup yang sukar didiamkan di hati,

"Semoga kami selamat sampai ke puncak."

Keringat yang ligat meluncur pada wajah mulus kami, sekali sekala terik panas yang memekik seakan-akan mencarik dan menoreh dahi putih dan pipi gebu ku yang sentiasa ku jaga rapi ketika di universiti. Aku minat kepada kekemasan walau ramai saudaraku disana yang comot kerana ditindas oleh penguasa shaitan. Aku ikhtiar, tiada lagi manusia comot di dunia. Lebih-lebih lagi, Tuhan suka kepada kecantikan. Empat puluh lima minit pendakian yang membingkaikan pluraliti emosi telah hampir kepada penghujungnya. Puncak sudah kelihatan terpacak setia dihujung sana.

"Ayuh, sedikit lagi kita akan sampai."

Suara syahdu keletihan Karim itu telah menjadi obor peniup api semangat kami untuk terus bernafas agar sampai ke puncak. Kekadang tersadung, dan melakar luka kecil, namun tidak menjadi ramuan yang mampu memudarkan sungguh kami sampai ke destinasi.

"Eh, lihat tu! Kasihannya."

Mata kami dipaksa menoleh sesuatu dicelahan batu-batu besar yang ketika itu masih samar-sama akibat suhu matahari yang sangat terik menganggu retina mata untuk menjamah benda yang ditunjuk oleh Stephen tadi. Setelah jelas, aku kaget. Rupanya seekor khinzir yang sedang terpuruk seakan kelaparan dan dahaga yang gawat akibat terik matahari mencengkam saliva yang menjadi bekal dalam mulutnya. Aku pada mulanya takut bercampur benci melihatnya. Mungkin kerana falsafah peribumi ketika itu yang sering mengaitkan khinzir ataupun babi sebagai sebuah gambaran negatif dan buruk. Tapi aku menganyam satu falsafah segar ketika itu walaupun lutut kaki sudah mencapai semaksima letih,

"Haiwan ini juga perlu pembelaan. Ya, seperti manusia yang dinafikan kemanusiaan."

Khinzir yang aku kira masih muda itu, telah kami kerumuni walau kekadang kami terpaksa berhati-hati kerana risau disondol akibat ketidakselesaannya dikerumuni oleh manusia yang sering meratibkan namanya dengan sandaran sebuah babak kejahatan.

Mujur, ada Stephen, Katolik. Temanku yang mengambil jurusan Account and Management menyantuni khinzir tersebut, memberikannya minum sedikit air daripada bekalan yang kami galas tadi. Mujur juga, khinzir itu tidak menyondol, bahkan seakan memahami bahawa kami membawa satu misi kehaiwanan kepadanya. Selesai itu, kami membiarkannya berada dicelah batu-batu besar, mungkin melindungi dirinya daripada sebarang hukum alam.

Kami yang sudah hampir ke puncak, terus berpencak meneruskan pendakian. Tidak sampai 10 minit, kami berada di puncak Bukit Qubu. Sunnah apabila sampai ke tempat yang tinggi, melaungkan Allahuakbar. Aku pun meratib kalam mulia itu sebagai tanda syukur sambil tenang. Helaan nafasku bercampur senyum terukir manis melihat indahnya alam, warna warni tumbuhan, haiwan yang masing-masing dengan habitatnya.

Sekali-sekala aku tenung awan yang mula mendung berarak melintasi ubun kepala kami seraya berkata,

"Kalau khinzir tadi diratib dengan sebuah babak kejahatan oleh manusia Khalifah di bumi, maka aku sedia menjadi khinzir, kerana dia tidak dihisab dan tidak pula pernah ingkar kepada Tuhannya. Sedang manusia? Yang melakukan kerosakan dan kefasadan dengan bertuhan amarah. Menyandarkan pula babi sebagai mangsa sindiket mereka."


Abd Halim
Sunday, 13 September 2015
Posted by Rijal Ilmu

Kau Menteri Pasola

Redup bayu meludah rintikan hujan di halaman rumah. Aku mendagu di beranda jendela memujuk jiwa melihat senja di ufuk yang sudah mula merah-merah seperti delima di belakang rumah Mak Timah. Sekali sekala, kerdip mataku menghentikan perkhidmatannya sambil membundar melihat burung di awangan yang seperti menteri bagi haiwan di daratan dan lautan. Dia kuasai semesta dan buana, sambil kepaknya khusyuk berkipasan. Televisyen berleter memaparkan serba serbi gelagat yang lebat dilakonkan oleh penghikayat di luar desa sana. Aku malas membuas jiwa memikir jalan pulih untuk negara, kerana bagiku itu tugas Pasola.

"Mahu jadi apa dewasa nanti?"

"Mahu jadi manusia," aku jawab sesegera yang mampu soal tanya 6 bulan yang lalu diruang tamu rumahku oleh Liza, kakak ku yang tingginya lebih kurang pokok rambutan dihalaman rumah. Bertudung, wajahnya tidak pernah mendung. Kini, dia sedang mengkelaskan benaknya di sebuah IPT dalam wilayah kota yang menggila dengan Pasola dan bala tenteranya.

"Manusia, macam Pasola?" Tanyanya lagi yang seingatku sekitar waktu menunggu solat Isya' berjemaah dengan adik beradik yang lain. Nada guraunya itu memaksa lidah ku menjawab,

"Apa salahnya, Pasola yang adil dan amanah. Bolehlah aku hantar beribu gandum dan gula untuk penduduk kampung kita ini, Kampung Durian." Aku senyum sinis menepis agenda pembejatan kakak tadi.

Aku belek cermat lembaran naskah perihal ketokohan dan kepimpinan tokoh-tokoh wilayah kota dan desa. Mereka seingatku, deras di kaca television membebel, sebab itu jugalah mungkin naskah juga terpampang wajah mereka. Aku dulu giat berpersatuan, dengan teman-teman aku memakmalkan seni kepimpinan. Aku pernah pimpin seratus ahli dalam persatuan, kadang letih sebab bukan semudah membelai kucing di pangkuan, tetapi mendepani ragam yang mengecam suka. Pernah aku rakam cita, menjadi menteri muda dikota metropolitan. Aku kuasai jalan, pekerjaku tadah tangan kepadaku minta sesuap makanan, tengkingan ku tiada yang berani lawan. Hujan boleh aku hentikan dengan menampal kebocoran pada langit biru.

"Hahaha, kau mahu jadi menteri? Tambah rosaklah negeri. Menteri yang satu di kota itu pun sudah jadi dewa, memperkotak katik kami yang dari desa mencari sebutir upah untuk sepagi hingga ke senja."

Gelak Taufiq yang berngiang ditelingaku saat aku perihalkan kepadanya citaku sebulan yang lalu, sebelum dia meninggalkan desa, hijrah ke kota yang katanya boleh memenuhkan balang simpanan wangnya untuk melanjutkan pelajaran.

"Belum cuba, belum tahu. Aku tidak sama dengan Pasola di kota."
Ya. Semenjak beberapa purnama berlalu ini, langit dengan lebatnya mencurah khabar berita samaada di kota ataupun desa berkaitan kerencaman Pasola. Pelbagai tindakannya merimaskan, tidak kira penjual nasi lemak di tepi lebuh raya, peniaga syarikat mega, pelabur saham dan bursa, pelajar di bangku sekolah, mahasiswa di kampus gah. Semua rasa rimas dengan buasnya Pasola. Ramai tidak suka dengan Pasola, namun dengan keramaian bala tenteranya, menjadi perisai daripada luka.

"Dia tibai jiwa yang meronta pertikai. Dia penjara luncai-luncai, dia pelihara macai-macai," bentak temanku dengan nada yang bengis ketika kami melepak di Kopitiam mengisi masa cuti minggu lalu.

Pasola ini, kerap juga mengheret jasad ke desa-desa beralaskan rumpunan helaian duit, menambat hati. Kampung Durian, teratak yang aku huni tidak terlepas daripada tapak kaki Pasola. Dia mengerah segala macam warna warni temu serta meragakan penduduk kampung dengan berkampit-kampit gandum dan keperluan dapur yang lain. Mungkin juga menjaga kepentingannya.

Pasola kuat menderma, sehingga dikhabarkan derma juta-juta jadi balasan jasa oleh negara kerjasama. Dia kata derma, tapi ramai kata rasuah. Aku bingung, sambil berdegup jantung. Kalau rasuah, jahatnya Pasola yang pernah mengukir tawa di desa dihadapan ibu dan ayah. Dia Pasola yang menghisap darah penduduk kota dan desa bak Dracula. Membuak amarah, aku mahu Pasola setia dengan takhta yang kami pilih untuk dimahkotakan di kepala. Dia bukan siapa-siapa kalau bukan penduduk kota dan desa cagar percaya. Dia hanya petani di sawah yang berlumpur.

Aku yang ketika ini di ranjang, terlentang sambil mata meliar, sendi seakan ditiup ruh aura sehingga ingin bangkit menyarung baju besi melawan dogma. Aku yang dulunya bercita menjadi menteri muda, mula kabur kerana sandaran Pasola untuk setiap yang menjadi kepala telah meragut selesa.

"Aku mesti lawan Pasola, supaya Ah Chong, Muthusami, dan Pak Samad terbela"

Abd Halim
Saturday, 5 September 2015
Posted by Rijal Ilmu

Kalau Tiada Baca, Mahu Wacana Apa?

"Baca buku apa sekarang?" Aku memecah kesunyian yang sepi di perpustakaan daerah. "Aku baca buku rujukan Kimia," usik Sam kepadaku yang tadinya bersungguh seperti singa yang memaksa rusa tunduk dan patuh. Terik yang memekik diluar tingkap lut sinar perpustakaan itu telah memaksa cahayana memamah kulit mulus kami yang sengaja dihidang di tepi tingkap. Aku biarkan, aku tahu cahaya itu tidak membunuhku. Kami yang merancang untuk mengulangkaji pelajaran kerana peperiksaan yang mampir, khusyuk seperti pelanduk yang melihat musuh tanpa kerdipan mata kerana risau tersilap langkah.

"Aku _______, maka aku ada" Faisal Tehrani

"Buku apa ini Faz?" Kagetnya kerana aku keluarkan daripada bagasi kecilku yang berat berisi alat yang kurang bermanfaat. "Kau bacalah, aku dah habis baca. Kenyang aku bersendawa," gurauku menoreh nafsu berahinya agar menyelak selembar sekurangnya agar klimaks cintanya pada aksara yang dinaskah Dr. Faizal Musa.

"Tuhan untuk Ultraman, Isa Seorang Atheist, kenapa isi kandungannya nampak seperti tidak menghormati makruf aksara?" Dia tanya kerana jiwanya meronta melihat isi kandungan yang baginya mengecam Islam yang dia faham. Teman aku ini seorang aktivis yang Islamis. Biasalah, usrah mereka sentiasa mengkhatamkan naskah-naskah berbaur juang dan petualang.

"Don't judge the book by its cover," aku mengusik menjentik hatinya yang seakan mahu membara tidak selesa kerana isi kandungan yang tidak mengenakkan mata. "Kau kena baca dulu, jangan gelojoh seperti algojoh, kerana tajuk kau merajuk," jawabku spontan garang.

"Aku tak berapa nak layan buku-buku macam ni Faz. Bagi aku, isinya berat, melangit, teknikal dan perbincangannya berkisar kemanusiaan, politik, kritikan dan hasutan," bebel Sam yang seperti ingkar dengan pelawaanku agar membaca terlebih dahulu sebelum menterjemah abjad yang membuatku bejat. "Sam, kau bercita-cita jadi apa?" Tanyaku yang memotong amarahnya untuk menjatuh-jatuhkan tunas tinta yang ada dalam naskah Faizal Musa.

"Aku mahu jadi pejuang agama Allah, yang mendaulat syariat dan membela rakyat," jawabnya dengan semangat dan suara yang berintonasikan patroitisme. Pengawal keselamatan yang diarahkan untuk mengawal kebisingan mula menoleh kami yang duduk di tepi tingkap. "Cukupkah untuk menjadi seorang pajuang baca buku La Tahzan Innallaha Ma'ana?" Tegasku sambil menjentik buku karangan Dr. 'Aidh Al Qarni yang menjadi keminatan ramai ketika itu walaupun aku juga ada meletakkan di rak rumah.

"Kau akan berhadapan dengan ramai manusia. Ada yang puji ada yang keji. Kau kena jawab setiap tanya. Jangan suap mulut yang ternganga dengan helaian kertas habuan dunia. Kau kena ada isi di dada ketika itu, Sam," pidatoku yang menggeluti kesepian dan suara yang perlahan dan kurembeskan kehadapan Sam yang betul-betul berhadapan denganku.

"Kau lupa sejarah pejuang yang kalian bentang dalam usrah-usrah sepetang?" Sayyid Qutb, Hassan Al-Banna, semua pernah bermuarakan jeriji besi. Di dalam mereka tidak tidur lena melainkan melonggokkan timbunan karya untuk diwacana dan meruntuhkan istitusi kezaliman pemerintah ketika itu," aku tanya dia yang mula terkebil dan terpinga seperti melihat Neelofa berada dihadapannya.

"Tapi di rumah tu, buku-buku perjuangan berlambak, belum semua aku habis baca. Tak larat aku nak tambah lagi bahan baca," keluhnya yang tidak mengeluarkan keringat tetapi membuatku ingat dengan makalah yang pernah ditulis tokoh akademik Ustaz Hasrizal dengan pesannya, jangan hanya banyak bahan baca, tapi tingkatkan kualiti bahan baca.

"Idea-idea kena diterjemah daripada kebanyakan bahan baca, Sam. Baca sekadar baca tiada makna. Kau kena terjemah idea yang bermanfaat untuk maslahat ummah," tegurku kepada keluhannya yang perlu dikoreksikan.

"Sam, bagaimana kau ingin mengenali hidup ini andai kau sendiri lari daripada realiti? Realitinya kau kena berani. Hidup ini bukan andaian-andaian, tekaan-tekaan sehingga kita hanya perlu duduk di sofa rumah bermain gajet dari pagi ke senja baca post rakan alam maya yang tidak mengembangkan minda?" Aku tambah perisa agar delam keluhannya ada hamasah yang hadir menerpa.

"Baik, pinjamkan aku buku ini. Bagi aku masa seminggu untuk habiskannya. Aku akan adil dengan ilmu kerana konsepnya yang universal. Siapapun dan agama apapun, adil tetap adil," balasnya semangat seperti syarahan ahli politik dari Parti Keadilan Rakyat sambil meramas naskah buku tadi dan membelek selembar dua isinya.

Aku senyum menenangkan hatinya yang bakal meronta dengan perintah baca. Aku tahu, dia tinggi bercita-cita dan ianya tiada makna kalau hanya berperisaikan semangat tapi tiada yang mahu diwacanakan kepada ummah yang dahagakan hujah adil dan saksama serta penerangan yang tiada korupsi pada lidah. Semoga aku dan dia istiqomah dalam menjejak Tuhan daripada perintah Baca.

"Aku berfikir, maka aku ada" aku melantun suara merdu memenuhi ruangan kosong pada tajuk utama buku tulisan Faisal Therani yang merupakan kata-kata seorang ahli falsafah, Rene Descartes. Jangan takut berfikir.

Abd Halim
Sunday, 23 August 2015
Posted by Rijal Ilmu

Jangan Paksa Aku Ikut Kamu, Lim !

Di senja itu, yang matahari dipaksa membenam kerana malam kelam yang bakal meragam, aku bersandar ditepi tingkap, mataku karau meninjau di halaman yang berselerak dengan daun kering mencacatkan pemandangan bagiku. Aku petik gitar, sambil di mindaku sesuatu terapung berlegar memaksa aku menoleh ke pagar. "Ah, sampai pun kau Lim," bebelku kepada temanku Salim yang sejak tadi kutunggu sampai.

Bingkas, kuangkat punggung menyambut Salim yang wajahnya putih seakan krim, sempat kuherdik menjentik kerana ketelatannya yang membuaskan masaku. Kami pun duduk di pondok usang bikinan atok yang berhiaskan keringat dan payah getir membina untuk keselesaan kami semua sebelum dia meninggal dunia. "Lama kau tunggu aku Din?" tanyanya spontan tanpa risau kemarau emosiku meragut ketenangan senja. "Tidaklah, aku sudah biasa," balasku santun gurau berbaur nada yang pesimis. Dia gelak kerana mengusik emosiku yang sedang redah dek wap kopi cap lampu berteman kuih karipap yang terhidang di dada lantai pondok.

"Din, kau kena ikut aku. Geng kami sangat berpengalaman dalam bab dakwah. Bayangkan, tahun lalu hanya aku, Abang Saleh dan tujuh orang yang menggeluti kerja dakwah ini, sekarang kami sudah ramai, siapa boleh tibai?" Pujuknya kepadaku dengan nada hamasah anak muda yang mahu aku agar mengikuti geng tarbiahnya di kampung sebelah. Disitu, ada Abang Saleh yang tegar dengan ilmu dan pengalaman, disukai oleh keramaian orang. "Aku kena pertimbangkan permintaan kau ni Lim," balasku tersipu-sipu seakan mahu seakan tidak. Cawan yang berisi kopi sudah hampir setengah aku ratah tanpa peduli Salim yang lembab melayaninya. "Pertimbangkan apa lagi Din? Kami ini membawa agenda dakwah yang murni, mendidik manusia kembali kepada Allah, tidak mahukan dunia melainkan untuk menguntungkan agama. Agama dan bangsa lain yang melawan hukum yang kita perjuangkan, kita lawan. Inilah masanya kita atur langkah. Lupakah kau kepada sabda? Islam itu tertinggi dan tidak ada yang lebih tinggi daripadanya!" balasnya dengan nada yang garang berbaur hujah, agar aku akur dengan setiap yang ditutur. Aku tunduk menganyam jari ditikar mengkuang yang ibuku anyam beberapa minggu lalu. Dia menerjah melihatku, seakan singa yang melihat mangsa dek kerana ternanti-nanti aksara yang bakal ku rembes setelah omelan panjangnya memujukku.

"Lim, aku bukan tak mahu ikut kau. Kau temanku sejak kecil. Kau dan aku beratapkan langit biru, berbumikan dedaun hijau. Berdindingkan teman seperjuangan. Butiran nasi dijamah di talam yang sama, rintikan nirmala kita harungi bersama. Tapi, aku tidak suka dipaksa. Ini prinsipku setelah ayah pergi meniggalkan kami sekeluarga. Ayahku seorang panas baran, kerap memaksa ibu dengan rakus, menoreh kulit mulus ibu kerana mahukan wang untuk bergembira bersama teman-temannya dikota. Aku benci paksa! Bukankah agama ini kemerdekaan disamping keterikatan kepada Tuhan?" tanyaku berbisik kepada Salim yang kulihat seakan mendung wajahnya dan memaksa untuk menelan aksaraku masuk melimpasi kerongkongnya.

"Kau lupa Lim? Dakwah Nabi memenuhi benak para sahabat dengan hujah yang mampat, meraih jiwa dengan pujukan firman dan sabda? Itulah Nabi yang pemula risalah. Dia sendiri tiada memaksa," jawabku dengan nada yang tegas tetapi menghormati ketenangan senja tanpa mencacatkannya.

"Din, aku mahu kau merasa perjuangan dakwah yang sebenar. Mencari semata-mata redha Allah. Tiada lain yang kita cari Din," dia memutus kalimahku yang lentur dengan menghulur pujukan manjanya agar aksara yang tadi ku tarik semula. "Ya, aku tahu. Bahkan aku tiada masalah soal itu," balasku. "Aku cuma tidak suka dipaksa dengan segala poin argumen agar aku perlu membisu lidah kerana disogok fakta yang ditumpangkan nama Nabi dan Allah," tegasku membalas. "Lim, ini bukan caranya. Lepas ini, bukan hanya aku. Hurairah, Nawi, semua akan terasa terpaksa andai begini menuturkan hujah. Bagi aku masa, tanpa perlu memaksa," tenangku membayar kemusykilan dimindanya.

Petang yang hening, langit kemerah-merahan menandakan sebentar lagi azan mahgrib dikumandang, aku menepuk bahu Salim yang tadi penuh berisi hamasah tapi sudah mula kendur kerana aksaraku tidak menyebelahinya sepenuhnya melainkan hanya separa. "Lim, sudahlah. Aku tidak mahu ukhuwah kita yang sudah deras ini, terhenti hanya kerana batu kecil menghalang arus sehingga terpisah dua kerana batu tidak pecah melainkan menggila ditengah derasnya," pujukku menenangkannya. Dia mengangguk namun pada riak wajahnya masih ada satu ketidakpuasan seakan ingin merancang metod lain agar lidahku boleh dibisukan setelah dia memberi penerangan. Azan berkumandang, kami mengayuh basikal masing-masing meninggalkan cawan kopi untuk ke surau Al-Amin menunaikan solat Maghrib bersama. Sewaktu mengayuh, peluh kusapu sambil kubisik memujuk hatiku sayu,

"Din, kau kena berani berpendirian. Prinsip tidak mampu dilunturkan hanya sekadar hormat dan segan," aku mengukir senyum sinis menyindir malam yang kelam kerana memerhati ragamku yang sukar didiamkan.

Abd Halim
Saturday, 22 August 2015
Posted by Rijal Ilmu

Visitors

Followers

Labels

Komrad Otak Usang©. Powered by Blogger.

Webmaster

Tentang Kami

Otak Usang adalah perkumpulan aktivis non-partisan yang akan mengkritik dan merumus ide malar segar untuk agama dan dunia dengan revolusi ilmu.

- Copyright © Otak Usang -Metrominimalist- Powered by Blogger - Designed by Johanes Djogan -