Showing posts with label Artikel. Show all posts

Surat Untuk Adik


Ke hadapan Adikku, yang dikasihi.

Sudah lama berkecamuk onar di dada untuk menulis surat ini sebagai tinta pertama yang menjadi bekal kepada adik dalam penjelajahan meneroka sebuah makna kehidupan. Abang yakin, belasan tahun yang berderet melingkari ruang hidup sudah sedikit memadai untuk melihat dengan waras kepelbagaian dan kerencaman selok belok kehidupan. Surat ini adalah susulan rasa peduli dan kasih agar perjalanan adik tidak bertakung di kantung yang lembik, malahan mampu memanifestasikan sebuah penemuan. Penemuan? Ya, menemukan sebuah kebenaran yang didahagakan oleh seluruh ruh dan jasad di dunia.

Adik,

Masa mudamu ini, masa emas yang nilainya tinggi. Mahar perjuanganmu diusia ini sukar dicagar dengan berlian yang berlonggok dipeti. Sedetik jarum masa merangkak ke hadapan, tidak mungkin ianya berganjak semula kebelakang. Justeru, abang berpesan, sinopsis hidupmu ini jangan kau biarkan mencangkung memperhambakan kebendaan dan keseronokan yang memberi kepuasan singkat. Bukan permit usiamu ini sekali bertandang untuk diisi dengan aktiviti sampah sebegitu. Maka, posisikan dirimu sebagai anak muda yang beda dari kebanyakannya. Mulalah biasakan diri berdiri dibawah terik mentari, tanpa sentiasa mengharap awan mengatapi.

Adik,

Abang beriman dengan perintah baca. Maka buku lebih berharga dari seisi dunia. Abang tidak melihat cambuk dan cemeti hanya senjata ampu melawan raksa durja. Melainkan buku yang melakar saku minda, dan mengarah jiwa mengobor mujahadah, sebagai senjata utama untuk menghalang musuh yang sentiasa mengotorkan bumi dengan darah dan air mata. Maka, berdampinglah dikau dengan buku. Janganlah hanya memilih tulisan Al Banna, Fathiyakan, Sayyid Qutb. Ya, mereka sarjana yang tidak kurang jasanya. Namun, dunia ini terlalu rumit untuk dicerna dalam zaman yang penuh kepalsuan. Selaklah jutaan buku. Kenalilah siapa yang bakal kau isytihar sebagai musuh sebelum leher mereka kau kelar satu persatu. Adillah adikku !

Adik,

Kau pernah ikrar jujur di hadapan wajah abangmu ini bahawa kau wakafkan jiwa dan usiamu untuk menjejak makna kebenaran yang menjadi rebutan para bangsawan, fakir dan strata manusia di dunia. Maka abang melihat, kebenaran yang kau cari hakikatnya milik Tuhan. Janganlah kau pacak jasad dalam zon "pasti benar" sehingga kau melihat insan sekelilingmu tiada potensi untuk mendapat rahmat dan keampunan. Kritislah (semak dan timbang) ke atas kronologi hidupmu. Letakkan dirimu dalam posisi mengkaji. Mazhab, jemaah yang kau anuti hari ini tiada jaminan benar daripada Tuhan dan nabi. Gelisahlah. Daripada gelisah kau menemui kebenaran. Poin abang, janganlah kau sentiasa merasa benar.

Adik,

Lunaskan benakmu, dengan jawapan yang sarat berkaitan tujuan penciptaanmu oleh Tuhan di dunia ini. Tidak cukup ala kadar, mengikut-ikut sosok yang kau kagumi. Mereka sendiri bakal dihisab oleh Tuhan yang maha kuasa. Tidak cukup kau hafaz dalil penciptaanmu sebagai khalifah, untuk beribadah lalu diratib setiap saat di halaqah-halaqah tanpa kau mengerti mesej tersirat yang cuba Tuhanmu sampaikan. Lalu, kau hidup dengan mencetak hierarki kehidupan manusia lain yang kau kagumi tanpa mendesak akalmu untuk berkisar menyelongkar makna mesej Tuhanmu. Seperti yang abang katakan diatas, kau terlalu selesa. Keluar dari gelanggang itu. Jangan siram api yang marak di dadamu. Tiup ia sehingga memenuhi balang jiwamu. Arahkan ia sebagai kompas pencarian tujuan penciptaanmu.

Adik,

Akhir sekali, sebagai abang yang mencicipi picisan pengalaman yang lebih berbanding adik, ingin mengingatkan pesanan-pesanan ini sebagai alat berguna sepanjang perjalanan meneroka kehidupan yang ranjaunya kaya dengan onak dan tribulasi. Terpulang andai tidak menerima pesan ini. Sememangnya, pesan ini untuk semua lensa mata yang menekuni ketika ini. Atas dasar saudara dan tiket "berpesan pada kebenaran dan kesabaran" maka abang ragut pena, dan meliarkannya dengan tinta massa untuk disemadi dalam hati dan jiwa kepemudaanmu.

Sekian.

Yang Benar,
Abd Halim
Saturday, 21 November 2015
Posted by Unknown

Sekolah atau Kandang?


Kongkongan
Meyakini akan kemajuan sesebuah tamadun dan bangsa manusia adalah melalui pendidikan yang deras dan bebas daripada kongkongan, maka sudah menjadi sinonim perkataan "sekolah" ataupun "madrasah" sebagai salah satu badan atau entiti yang mengambil peranan untuk menggagaskan pendidikan kepada anak watan berdasarkan fasa-fasa yang telah disusun atur oleh pihak berkepentingan. Malaysia adalah antara negara yang sering dicanang sebagai negara yang rancak bersaing di persada pendidikan. Namun apakah ini benar?

Sekolah, sebagai alat ataupun medium arus perdana yang menyediakan fasiliti pendidikan secara formal dan memiliki sistem peperiksaan sebagai metod untuk memantau tanda aras pencapaian para pelajar. Pendisiplinan ini wajar dipuji dalam beberapa sudut. Namun, halnya berbeza apabila hari ini, pada konteks massa modenisasi ini, maka menjadi satu kemestian untuk semua pihak merenung semula kedudukan sekolah kepada anak-anak muda khususnya samaada masih berfungsi sebagai teratak menceduk ilmu ataupun kandang yang menyediakan ruang kepada kerbau-kerbau setelah berpagian mencari makanan di ladang?

"Guru bukan dewa, murid bukan kerbau". Slogan ini saya temui pada lembaran buku yang pernah dibaca dan ianya memiliki sisipandang yang wajar dianggukkan. Peranan guru adalah sebagai pemudah cara kepada pelajar untuk memahami naskah dan silibus pengajian dan bukannya sebagai malaikat ataupun dewa yang tidak boleh disanggahi apatah lagi dipersoalkan. Memahami bahawa tunjang kepada sebuah kefahaman adalah setelah lunasnya persoalan. Maka budaya bertanya bahkan mempertikai bukan suatu sindiket yang perlu ditangani secara radikal melainkan ianya sebuah fitrah manusia yang menuntut kepada sebuah kepastian dan kefahaman. Murid bukan kerbau pada analoginya membawa kita kepada sebuah mesej bahawa, para pelajar bukanlah kerbau yang hanya wajib taat dan patuh atas tiket adab dan sahsiah sehingga memandumkan fungsi akal untuk berfikir dan kritis (semak dan timbang) ke atas teks yang dipelajari. Beralasankan adab dan akhlak, maka budaya debat, dan mempersoalkan dibunuh dan ditanam di tanah yang paling dalam.

Peranan sekolah telah beransur mati, dan tidak mendapat kesegaran apabila ianya hanya berfungsi sebagai pengisi masa. Pelajar menjadi bongkok di pagi hari, menggalas beg yang berkilo berat kerana diwajibkan membawa buku teks yang kekadang tidak pun diselak dalam kelas namun hanya kerana untuk "memujahadahkan" pelajar kononnya. Mata yang layu, bahu yang kendur, perut yang berkeroncong, bergegas tanpa perut di alas, kerana takut dikenakan tindakan disiplin yang tidak memberi kesan panjang bahkan melahirkan lebih ramai pelajar yang memberontak dengan sistem sekolah.

Pelajar tidak didedahkan dengan persoalan-persoalan seputar kehidupan semisal "Apa hikmah belajar?", "Apa fungsi ilmu ini dan ini kepada masyarakat?", "Bagaimana ia berfungsi?", dan antara soalan yang saya kira perlu didasari setiap pagi hari pelajar dengan mengingatkan mereka memo penting iaitu "Untuk apa kalian hidup?". Soalan-soalan ini sebagai nilai tambah selain daripada hanya menyembah kertas-kertas lusuh buku teks yang bertahun lama ditinggalkan di setor sekolah.

Akhirnya, perkara sebatas ini sekiranya tidak dibendung, maka ia akan mengabsahkan lagi kekandangan sekolah. Fasiliti pendidikan dan pengajian yang mampu melahirkan watan yang berdaya saing, petah berhujah, berfikiran kritis dan kritikal, berani mencabar diri akan bungkam dan akhirnya mati menyembah bumi. Strata masyarakat, lebih-lebih lagi masyarakat struktural iaitu para penguasa, golongan elitas, autoriti dan dewa dewi negara seharusnya merumuskan semula peranan sekolah agar ia tidak berfungsi sebagai kandang menternak kerbau, tapi sebagai sekolah yang melahirkan graduasi insaniah yang cemerlang. Pemberdayaan ilmu, menghidupkan ruh cabar mencabar dalam gelanggang ilmiah, kritis ke atas teks, dan pelbagai aneka lagi rumus yang boleh dijadikan pemangkin kepada pengekalan fungsi sekolah tanpa membingaikannya sebagai kandang menternak kerbau.

Abd Halim
Friday, 20 November 2015
Posted by Unknown

Antara Ritual dan Maqasid

Islam adalah agama yang mewajibkan hubungan baik antara manusia dengan Tuhan (hablum minallah) dan hubungan baik antara manusia dengan manusia (hablum minannas). Islam turut menyediakan ritual-ritual dengan bantuan wahyu yang sakral dan konkrit untuk difahami. Ritual-ritual ini sebagai mekanisma untuk menjalinkan hubungan baik antara manusia dengan Tuhan. Sejarah membuktikan, pertarungan dengan Tuhan adalah perkara yang sia-sia. Bahkan menafikan kewujudan Tuhan adalah satu kejanggalan kerana ianya mampu diabsahkan hanya dengan bantuan akal sekalipun tiada risalah nubuwwah dan anbiya yang diutuskan. Naluri sedia ada dalam diri manusia itu adalah bertuhan. Ini antara pendapat sebahagian besar Teolog (Ahli Teologi) Islam semisal Harun Nasution.

Malaysia, antara benua yang kaya dan sarat dengan polemik, isu, sentimen berkaitan hal keberagamaan. Malaysia sebuah negara yang dicanang sebagai negara Islam ini telah diviralkan sebuah ritual yang agak asing namun bukanlah perkara baru kepada Malysia, di dalam sebuah portal akhbar tempatan.

KUALA TERENGGANU: Tindakan pelajar dan guru sebuah sekolah agama dari bandar raya ini mengadakan bacaan yasin dan solat hajat di tepi Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2), semalam boleh mengundang bahaya. Rujuk www.bharian.com.my/node/93693?m=1

Ritual ini telah dipromisikan oleh sebuah sekolah agama yang mengkalugkan Islam sebagai pelengkap nama. Sedia maklum, entiti-entiti Islam di dunia ini bukanlah mewakili Islam 100% dan bertindak sebagai entiti yang menyambung mandat Tuhan. Agama yang anjal ini sentiasa terdedah kepada penafsiran yang beraneka. Lalu, selagi mana penafsiran itu dilakukan oleh manusia biasa, maka ianya sentiasa terdedah kepada silap dan salah. Walaupun diakui, bahawa entiti-entiti Islam ini menguasai disiplin ilmu dalam bertutur dalam hal agama, namun itu bukan prasyarat untuk mereka bersifat sakral dan sifar salah dalam berbicara dan berijtihad.

Ritual di atas dalam simbolik kepada kedangkalan dalam memahami maqasid syariah dan ritual agama yang sedia ada. Di samping kedangkalan melihat agama dalam ruangan yang sempit. Bahaya yang mengundang itu adalah tegahan besar agama dan bercanggah dengan maqasid (tujuan) syariah yang salahsatunya adalah agama turun untuk menjaga nyawa. Seperti kisah seorang sahabat, Amru bin al-Ass yang memahami ayat Quran;

"Janganlah kamu membunuh diri sendiri, sesungguhnya Allah amat menyayangimu"

Dengan tafsiran sendiri apabila dikhabarkan dalam sebuah hadis riwayat Abu Daud bahawa Amru bin al-Ass bertindak untuk tidak mandi junub akibat kesejukan yang dirasakannya mampu mendatangkan mudarat. Bahkan menggantikan dengan tayamum lantas mengimami solat. Sesampai berita ini kepada Nabi saw, maka Nabi saw taqrir dan tidak memarahi Amru kerana caranya memahami dalil tadi bahawa kesejukan = memudaratkan diri = membunuh diri.

Asal agama adalah mudah dan terbina atas golden-rule yang telah dimaterai oleh Tuhan dalam risalah agung. Apabila umat Islam berinteraksi dengan Islam dalam juzu' (bahagian) tertentu, maka Islam dilihat tempang bukan akibat Islam itu memang tempang, tapi akibat mereka yang meragakan baju Islam itu sendiri.

Abd Halim
Monday, 2 November 2015
Posted by Rijal Ilmu

Gerakan Islam Dan Ideologi-Ideologi

Artikel ringkas ini adalah maklum balas dan penilaian semula kepada sebuah catatan kuliah berkisar Arkanul Baiah (Rukun Baiah) oleh Al Imam Hassan Al banna rahimahullah. Selepas melihat beberapa poin perbahasan dan huraian ke atas tiap rukun tersebut, maka saya terpanggil untuk membuat penilaian  semi-konkrit ke atas salah satu rukun iaitu rukun ke-8 iaitu Tajarrud dengan huraian;

"Menjauhkan kefahaman yang bertentangan dengan ajaran Islam wajib dijauhkan seperti liberal, sosialism, sekularism dan seumpamanya"

Pertama, haruslah diimani oleh sekalian orang beriman bahawa agama ini bukan hanya premis yang menggalakkan hubungan baik manusia dengan Tuhannya, namun juga hubungan baik manusia sesama manusia. Islam datang membawa solusi untukmenyembuhkan kerencaman struktur masyarakat dan membina jaringan teguh atas kasih sayang dan persaudaraan. Gerakan-gerakan Islam sudah pasti meletakkan ini sebagai prinsip perjuangan selaras dengan perjuangan para anbiya yang tidak hanya membawa zikir dan doa, namun merawat kesakitan masyarakat. Sosialisme adalah pemikiran yang bersangkut paut dengan tatanan hubungan sesama masyarakat. Menurut bahasa, sosial adalah hubungan antara individu atau kelompok ke atas kelompok lain. Berimbuhkan "isme" menunjukkan ianya merupakan satu premis perjuangan yang memiliki dasar tertentu. Gerakan-gerakan Islam, antaranya di Malaysia, banyak yang terkesan dengan perjuangan Ikhwan Muslimin di Mesir. Antara tokoh yang menjadi rujukan gerakan-gerakan ini ialah Imam Hassan Al Banna, Sayyid Qutb, Mustafa Masyhur dan lain-lain.


Tanpa disedari, gerakan-gerakan konservatif islamis yang membenci dan mengherdik fahamam sosialisme ini sebenarnya pernah diperjuangkan oleh tokoh rujukan mereka iaitu Sayyid Qutb. Selepas jatuhnya Raja Faruq (1936-1952) yang korup, maka Sayyid Qutb tampil menyelamatkan bangsa Mesir dengan memperkenalkan gagasan sosialisme untuk merawat ketempangan sosial masyarakat dan kecacatan ekonomi. Walaupun mendapat tentangan negatif beralasankan bahawa sosialisme ini daripada atap fahaman Barat, segala hujah negatif turut di tepis oleh Sheikh Mahmud Syaltut (Rektor Al Azhar) ketika itu bahawa sosialisme bukan ancaman kepada Islam. Sosialisme Islam lebih dikenali dengan pembelaannya ke atas opressod (golongan tertindas),

وَنُرِيدُ أَنْ نَمُنَّ عَلَى الَّذِينَ اسْتُضْعِفُوا فِي الْأَرْضِ وَنَجْعَلَهُمْ أَئِمَّةً وَنَجْعَلَهُمُ الْوَارِثِينَ

Dan Kami hendak memberi kurnia kepada kaum yang tertindas di negeri itu, dan hendak menjadikan mereka pemimpin-pemimpin, serta hendak menjadikan mereka orang-orang yang mewarisi (bumi)
(Al-Qasas: 5)


Kedua, Islam adalah sebuah kemerdekaan dan pembebasan. Tiada paksaan dan cacian ke atas manusia lain. Keadilan sosial yang diperkenalkan oleh Islam adalah sejagat dan tidak hanya tertumpu kepada orang muslim, tetapi semua umat manusia.

إِنَّ اللَّهَ يَأْمُرُكُمْ أَنْ تُؤَدُّوا الْأَمَانَاتِ إِلَىٰ أَهْلِهَا وَإِذَا حَكَمْتُمْ بَيْنَ النَّاسِ أَنْ تَحْكُمُوا بِالْعَدْلِ ۚ
Sesungguhnya Allah menyuruh kamu supaya menyerahkan segala jenis amanah kepada ahlinya (yang berhak menerimanya), dan apabila kamu menjalankan hukum di antara manusia, (Allah menyuruh) kamu menghukum dengan adil.
(An-Nisa: 58)

Menurut Qaradhawi, bahawa Islam memperkenal teori kebebasan iaitu kebebasan bersuara, beragama dan berfikir. Sesuai dengan firman Tuhan,

لَا إِكْرَاهَ فِي الدِّين
Tiada paksaan dalam beragama
(Al-Baqarah: 256)

Liberal adalah satu gagasan politik yang menekankan kemerdekaan dan kesetaraan. Fahaman yang muncul di Eropah ini telah menganugerahkan satu sistem kontrak sosial dalam urusan kenegaraan iaitu demokrasi. Tanpa disedari, sebahagian gerakan konservatif islamis yang mengherdik liberal sebagai fahaman songsang telah mensyahadahkan sistem yang diperkenal oleh liberalis dalam metodologi politik mereka. John Stuart Mill antara yang memperjuangkan sosial liberalism untuk menolak ketidakadilan sosial. Walaupun liberal ini memiliki versi radikal seperti JIL, QEK, Hermeunatika, namun beberapa advantagenya masih relevan dan cocok dengan Islam yang murni itu sendiri. Antaranya, bengis kepada penindasan majoriti kepada minoriti, dan melawan ketidakadilan sehabis mungkin. Sedia maklum, adil itu ranting Islam. Bagaimana menurut Ali Asghar Engineer;

"Keadilan itu keimanan, kezaliman itu kekufuran."

Firman;

وَلَا يَجْرِمَنَّكُمْ شَنَآنُ قَوْمٍ عَلَىٰ أَلَّا تَعْدِلُوا ۚ اعْدِلُوا هُوَ أَقْرَبُ لِلتَّقْوَى
..dan jangan sekali-kali kebencian kamu terhadap sesuatu kaum itu mendorong kamu kepada tidak melakukan keadilan. Hendaklah kamu berlaku adil (kepada sesiapa jua) kerana sikap adil itu lebih hampir kepada taqwa.
(Al-Maedah: 8)

Ketiga, seperti sejarah yang biasa dihadam dan sepatutnya pendokong-pendokong gerakan Islam sudah hafaz dan mahir, sekularisme munculnya ketika kebangkitan gerakan reformasi renaissance dan humanisme pada akhir abad ke-15 di Eropah. Gagasan ini telah mewujudkan aliran baru dalam gereja yang merupakan kuasa dominan ketika itu, iaitu Kristen Protestan oleh Marthin Luther. Gerakan rasionalisme ketika itu menempatkan manusia di tahap untuk mengenali kehidupan cukup dengan akal sambil ingin bebas daripada cengkaman gereja. Namun hari ini, sekular bukan hanya versi seperti dulu, sekular sudah bertindak sebagai equalizer (penyeimbang) dalam sesebuah pemerintahan dalam sesebuah Negara. Saya membuat analogi ringkas, misalnya; di Amerika, yang umat Islam disana dalam kuantiti minoriti. Seandainya umat Kristian atau Jew yang ingin memasuki Islam namun dihalang oleh kerajaan tertinggi, bagaimana reaksi anda? Maka disini, sekular mengambil tempat untuk mengasingkan kuasa politik (Amerika) dengan kehendak keberagamaan rakyat. Ringkasnya, negara sekular yang pada hari ini, telah menjadi kiblat dan tunjang harapan negara Islam tertindas iaitu Turki. Syabas Recep Tayyip Erdogan dengan taktik politik yang menarik.

Kesimpulannya, gerakan-gerakan Islam konservatif seharusnya tidak gopoh gapah membakul sampah ideologi yang dilihat berbeza dengan warna dan teks yang dianuti. Para anbiya turun adalah untuk menggagaskan banyak hal. Berdamping dengan ramai manusia. Toleransi dengan golongan ingkar bahkan. Saya melihat, gerakan Islam yang memfobiakan pendokongnya dengan menelaah ideologi-ideologi seperti diatas akan memandumkan kreativiti berjuang dan mematikan suis akal mereka sehingga membenci dan menerakakan ideologi yang dibingkaikan salah dimata mereka. Sudah masanya dialog, halaqah-halaqah disegarkan dengan perbahasan sebegini rupa. Biar ahli menilai berdasarkan hujah. Agama ini adalah argumen (hujah), bukan premis paksa dan memotong lidah daripada bersuara. Saya memohon, agar artikel ini tidak disalah erti sebagai menjatuh-jatuhkan, bahkan atas kasih kepada Islam, kita mahukan pembaikan dan pembaharuan. Biar Islam yang dinikmati itu dengan ketulenan bukan kepalsuan.


Seandainya ada kesilapan dan kritikan pada artikel ini, sila sediakan artikel/teks baru agar kita boleh sama-sama mengambil iktibar dan menyegarkan wacana Islam di Malaysia.


Rujukan;
1. Al Quran
2. Islam Holistik, Dr. Yusuf Al Qaradhawi terjemahan Dr. Juanda Jaya
3.Thesis Konsep Sosialism Islam Sayyid Qutb, PSS Institut Agama Islam Ar Raniry Polkema Darussalam Bandar Acheh
4. Islam Menentang Sekularism, H. Oemar Bakry


Abd Halim


Tuesday, 20 October 2015
Posted by Rijal Ilmu

Mahasiswa Tanpa Buku

Kini aku bergelar mahasiswa. Sepertimana mahasiswa di kampus lain, gelaran ini diberi sama kepada semua yang berjaya mendaftarkan diri ke senarai peserta program pengajian mana-mana kursus yang ditawarkan oleh sesebuah institusi pengajian tinggi. Pendek kata, mahasiswa adalah gelaran bagi mereka yang sedang belajar di universiti. Aku yakin bahawa makna mahasiswa tidaklah sesempit ini.

Manakan tidak,menyandang title ini membawa seakan sebuah kebanggaan buat diri. Mahasiswa adalah gabungan dua kata, maha dan siswa. Jika diteliti, 'maha' membawa impak ketinggian, kebesaran, dan keagungan kepada kata siswa yang terletak sesudahnya. Siswa sendiri pula adalah pelajar. Maka pasti ada beza sifat Tuhan yang pengampun, dengan Tuhan yang Maha Pengampun. Oleh itu, seorang mahasiswa semestinya mempunyai nilai tambah yang membezakannya dengan seorang pelajar biasa. Membezakan mahasiswa universiti dengan pelajar sekolah!


Namun melalui pengamatan aku, aku sendiri kurang menemui nilai yang membezakan mahasiswa dengan pelajar biasa. Dalam konteks Malaysia mungkin tidak salah kalau disimpulkan majoriti mahasiswa tidak jauh ibarat pelajar sekolah yang belajar dengan silibus pengajian yang lebih berat memenat otak. Juga dengan peraturan kod pemakaian yang lebih longgar.

Sebagai kelompok yang hidup di sebuah institut intelektual, mahasiswa dilihat kurang berjaya menonjolkan keilmuan dalam kehidupan domestiknya yang mereka (baca: kami) gelarkan campus life. Faktanya, ramai mahasiswa lebih mesra dengan hedon (hiburan) berbanding untuk bersungguh mencintai keilmuan. Bukti, lebih ramai mereka yang memilih gadjet sebagai teman rapat pendamping hidup berbanding buku! Rasanya ramai maklum tentang penyakit malas membaca yang menular dalam kalangan masyarakat Malaysia. Seharusnya, kelompok maha pelajar yang dikelilingi kegiatan keilmuan dalam gedung ilmu menjadi penimbang tara menampung wabak kemalasan menghadap buku yang dihidapi masyarakat. Tapi menyakitkan apabila mereka sendiri menjadi penyumbang kepada kesedihan kerana turut sama terjebak sekali.

Mahasiswa alaf baru kini semakin mandum dengan kegiatan keilmuan. Universiti tampaknya menghasilkan ramai graduan yang rapuh dari wacana dialog. Perbincangan dan perbahasan ilmiah amat sukar dilihat sebagai kebudayaan mahasiswa. Kalau ada pun, hanya sedikit dan lebih banyak yang cuma bertumpu kepada pembelajaran yang diajarkan di dalam kuliah. Jarang sekali membincangkan isu-isu di luar kebiasaan yang mengangkat keilmuan tanpa menilai skop dan bidang sekaligus menaikkan nilai kemahasiswaan mereka sendiri.

Lebih lesu, terdapat mahasiswa robot yang hanya hadir ke kuliah dengan kosong dan balik juga dengan kekosongan. Kehidupan mereka ranggi, melayan norma dan dogma 'darah muda' yang mencintai hiburan dan keseronokan. Analoginya seperti kehidupan pendosa yang kotor, namun mengetahui bila tarikh matinya, lantas mudah mengatur bila masa taubatnya. Bila semakin dekat dengan tarikh peperiksaan, barulah pencabul ilmu ini bersungguh menghadam apa yang diajarkan sebelumnya.

Oleh itu di manakah nilai intelektual dan ketinggian keilmuan mahasiswa?

Sebab itu aku simpulkan mahasiswa kini tidak jauh bezanya dengan budak sekolah. Mereka asyik dalam dunia sendiri bermatlamatkan segulung ijazah setelah bergraduasi dan kerja yang boleh menampung hidup setelah itu. Maka seterusnya menjadi sebahagian daripada masyarakat dan bakal berputar lagi kitaran ini pada generasi seterusnya. Mahasiswa sepatutnya menjadi anggota masyarakat yang yang berada pada kelas elit kerana kelebihan yang ada pada mereka. Dengan identiti mahasiswa juga mereka sekaligus mempunyai tanggungjawab intelektual, sosial dan moral.


Aku suka mengimbau sejarah lalu yang menceritakan ketinggian kelas mahasiswa dalam komuniti rakyat. Mereka sering diangkat sebagai jurucakap masyarakat. Di Malaysia ini, pada era 70-an, mahasiswa telah menjadi penghubung antara kerajaan di atas dengan rakyat marhaen di bawah. Ini telah melahirkan nama-nama hebat seperti Anwar Ibrahim, Saifuddin Abdullah , Zahid Hamidi, Ibrahim Ali, dan ramai lagi mahasiswa yang kini merupakan pemimpin masyarakat.

Memikul tanggungjawab intelektual, sosial dan moral mahasiswa berfungsi sebagai agen semak dan imbang (check and balance) menyuarakan hasrat dan permasalahan masyarakat. Sejarah telah membuktikan buah daripada kewibawaan mahasiswa telah berjaya membawa impak positif kepada masyarakat dan negara amnya seperti pembelaan terhadap kemiskinan penduduk Baling, Kedah 1974, cadangan menujudkan Dasar Belia Negara pada 1985, idea penubuhan Universiti Kebangsaan Malaysia, dll. Di serata dunia juga dapat kita saksikan penglibatan watak mahasiswa dalam pelbagai sejarah penting seperti peristiwa Gwangju Uprising 1980 di Korea Selatan dan Tragedi Trisakti 1998 di Indonesia.

Peranan mahasiswa seperti ini pasti akan lebih subur berkembang pada hari ini dan dihormati massa sekiranya wujud pembudayaan ilmu dalam kalangan mahasiswa bagi mendapatkan serta menghayati ilmu dalam menggerak perubahan masyarakat. Dalam kata mudah, pembudayaan ilmu akan melahirkan mahasiswa yang mampu berfikir secara kreatif dan kritis.

Bagi aku mahasiswa tidak suka kuliah masih lagi mahasiswa. Asalkan dia cintai buku.

Chong Muslim

Monday, 19 October 2015
Posted by Rijal Ilmu

Sekolah; Penyembahan atau Pencerahan ?

Perkataan “SEKOLAH” berasal daripada Bahasa Greek σχολεῖον – scholeion yang membawa maksud sebuah bangunan atau tempat yang berfungsi untuk memberikan pendidikan kepada pelajar, yang merujuk sesiapa yang belajar di situ. Struktur sekolah moden mungkin dilengkapi dengan kemudahan teknologi maklumat (IT) atau sekadar bilik darjah sahaja.[i] Menurut Pusat Rujukan Persuratan Melayu Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) sekolah ialah satu tempat proses pembelajaran dan pengajaran berlangsung[ii].

Berdasarkan definisi dan asal daripada perkataan sekolah itu sendiri jelas menunjukkan bahawa sekolah merupakan satu lembaga yang memang dirancang khusus untuk pengajaran murid di bawah pengawasan dan penyeliaan guru.  Setiap negara mempunyai model dan pelaksanaan Sistem Pendidikan yang tersendiri.  Jika kita melihat kepada peranan sekolah di Malaysia pada dasarnya ialah berpandukan kepada Akta Pendidikan 1996 (pindaan 2002) yang mewajibkan semua warganegara Malaysia untuk belajar di sekolah secara formal . Hal ini berdasarkan Surat Pekeliling Ikhtisas Bil 14/2001: Pendidikan Wajib mengikut seksyen 29A (2)[iii].  Selain itu peranan sekolah juga berteraskan kepada Falsafah Pendidikan Kebangsaan iaitu Pendidikan di Malaysia adalah suatu usaha berterusan ke arah memperkembangkan lagi potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu untuk mewujudkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani berdasarkan kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan. Usaha ini adalah bagi melahirkan rakyat Malaysia yang berilmu pengetahuan, berketerampilan, berakhlak mulia, bertanggungjawab dan berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri, serta memberi sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran keluarga, masyarakat dan negara.

Hitam putih peranan sekolah di Malaysia menunjukkan satu teori yang sangat baik.  Namun realitinya jika kita lihat pada dewasa ini peranan sekolah bukan lagi sebagai satu tempat pencerahan dan penyampaian maklumat segar kepada pelajar. Tapi kita lihat kini sekolah sebagai tempat doktrinisasi minda pelajar.  Pelajar dan guru terpaksa melaksanakan Pengajaran dan Pembelajaran (P&P) semata-mata untuk menghabiskan sukatan mata pelajaran dan untuk memastikan pelajar LULUS dan CEMERLANG di dalam peperiksaan sama ada di peringkat sekolah mahupun peperiksaan awam.  Pelajar Malaysia kini seakan-akan dipaksa untuk menyembah teks dan skema pemarkahan kerana pendidikan kita yang berorentasikan peperiksaan. Kesan daripada perkara ini akhirnya pelajar Malaysia menjadi pelajar yang hanya menjadi penghafal dan malas untuk berfikir yang menjadikan otak mereka usang serta kering kontang.  Perkara ini sangat berbeza dengan teori yang ideal di dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan.

Keputusan Programme for International Student Assessment (Pisa) dan Trends in International Mathematics and Science Study (TIMSS) yang menunjukkan pencapaian Malayasia yang berada di tangga ke 52 daripada 65 negara yang menyertai peperiksaan ini pada tahun 2012[iv]. Kebolehan pelajar-pelajar cemerlang di Malaysia tidak sampai 50% yang mempunyai perkembangaan diri yang holistik.  Hal ini berlaku disebabkan tumpuan sekolah sebagai satu tempat penyembahan teks yang memaksa pelajar untuk mengehadkan idea dan minda mereka untuk berfikir dan mempersoalkan sesuatu. Tambahan pula ia menunjukkan sekolah di Malaysia menghasilkan pelajar yang kurang berfikir dan hanya menghafal fakta semata. 
Sejak kebelakangan ini sahaja pihak yang bertanggungjawab mula sedar bahawa sekolah sepatutnya dijadikan sebagai satu tempat pencerahan ilmu pengetahuan mula mengubah beberapa perkara dalam bidang pendidikan di Malaysia.  Contohnya dengan pengenalan soalan-soalan High Order Thingking Skils (HOTS) iaitu penambah baikan bagi soalan-soalan Kemahiran Berfikir Kreatif dan Kritis (KBKK) yang memerlukan pelajar membuat analisis dan berfikir untuk mencari jawapan .   Namun begitu disebabkan corak peperiksaan itu masih tidak diubah kemahiran insaniah pelajar masih dilihat terkapai-kapai.  Marilah sama-sama kita menilai kembali adakah sekolah di Malaysia ini satu tempat PENYEMBAHAN atau satu pusat PENCERAHAN?





[i] https://ms.wikipedia.org/wiki/Sekolah
[ii] http://prpm.dbp.gov.my/Search.aspx?k=sekolah
[iii] Kamarudin Hj. Husin, Siti Hajar Hj. Abdul Aziz. 2003.  Pedagogi:Asas Pendidikan Kuala Lumpur: Kumpulan Budiman Sdn Bhd
[iv] http://www.themalaysianinsider.com/malaysia/article/muhyiddin-shocked-by-local-students-poor-scores-in-global-tests
Friday, 16 October 2015
Posted by Rijal Ilmu

Politikus, Wakil Rakyat atau Wakil Tuhan?

Hari ini, dunia bersesak dengan rumpunan manusia samaada yang berkepentingan dan tidak berkepentingan dengan figura-figura yang pelbagai. Ada yang berbaju peladang berterik di tengah sawah, ada yang berkemeja dihidangkan pendingin hawa yang setia, ada yang meraga baju di Raja tapi nasi yang dijamah hak milik jelata. Inilah realiti rumpunan manusia yang terbit dalam dunia moden hari ini. Sistem hidup hari ini, selain lebat dibahaskan isu keberagamaan, tidak kurang tidak, isu ahli politik (baca: politikus) menjadi rencah lincah dalam hal negara dan politik pemerintahan.


Dalam sistem demokrasi yang sedia maklum diimani di Malaysia hari ini, telah memberi ruang dan peluang kepada pemuka-pemuka politik untuk meragakan baju besi membela rakyat jelata dengan rembesan manifesto-manifesto sakti dan kalam-kalam keramat sebagai slogan yang perlu disorak bersama rakyat kepada keparat. Tidak kurang tidak, politikus yang menggunakan ramuan agama, bermuarakan lidah Nabi saw untuk menjamin buntutnya dan kelompoknya statik di atas kerusi kepercayaan rakyat. Pendustaan sebegini, telah mencacatkan fitrah agama sebagai pemelihara kepada benteng mengukuh takhta.

Politikus sebagai wakil rakyat adalah satu elemen penting dalam sistem demokrasi. Mereka mewakili kerongkong para proletar, buruh tertindas,gelandangan kebuluran, peniaga yang dirantai cukai, pengguna digula-gula. Namun, halnya berbeza apabila politikus yang mencampuri hal agama ataupun menjadikan agama bahan campuran dalam kertas-kertas manifestonya. Politikus semisal ini, akan menganiaya sistem demokrasi yang sepatutnya menempatkan mereka sebagai wakil rakyat kepada wakil Tuhan. Bias dan buas dalam hal agama. Bersifat argumentatif apabila berleter dalam hal agama dengan berhiaskan belon-belon kepentingan.

Menentukan hukum seputar isu lakonan liar di atas ranjang, kepada isu "cina babi" (walaupun lebih kepada perkauman, namun yang berbaju merah ala tentera itu majoritinya Melayu-Islam). Tidak kurang, sebahagian politikus dalam aliran konservatif yang meragakan baju-baju masyhur agama. Berfatwa berdasarkan meja politik dengan bengis dan garang menjentik-jentik. Mereka lebih lancang, menetapkan keislaman seseorang itu seandainya tidak berdiri sekaki dengan parti politik mereka. Campurtangan mereka yang melampau-lampau dalam hal agama ini, telah mewajahkan politik seakan agama. Apa-apa yang ditutur oleh politikus tidak kira yang berkemeja atau berjubah, wajib dianggukkan kerana mereka mewakili suara Tuhan. Persepsi ini perlukan solusi.

Politikus yang cermat, mereka tidak akan melebatkan isu agama dengan menggelutinya mengikut kepentingan partinya, tapi bercakap atas kapasiti rakyat yang bajunya tidak berlogokan mana-mana kelompok. Lidah yang seharusnya menjadi mandat rakyat, bersuara atas kapasiti rakyat dan tidak meluncur lebih sehingga mengatur jadual hidup agama rakyat, harus buat ini dan jangan buat itu. Sokong kami masuk syurga, sokong mereka masuk neraka. Wacana segar, dengan penglibatan politikus-politikus Malaysia seharusnya ligat agar tiada berlaku pertempuran kesumat dan syok sendiri dalam kalangan mereka (baca: wakil rakyat)


Abd Halim

Thursday, 1 October 2015
Posted by Rijal Ilmu

"Cina Babi" : Menteri Rasis Halalkan

"Tidak ada apa-apa kesalahan dengan perkataan Cina Babi yang dilemparkan peserta terhadap beberapa pihak media pada perhimpunan "baju merah" kata salah seorang penganjur, Datuk Jamal Md Yunos sambil menambah perkataan Babi bukan satu penghinaan kerana orang cina memakan daging babi," rujuk www.themalaysianinsider.com/bahasa/article/cina-babi-bukan-penghinaan-kaum-kata-penganjur-himpunan-baju-merah
     
Realiti hari ini, isu perkauman telah menjadi modal besar memendungkan perpaduan masyarakat bernegara. Lebih-lebih lagi Malaysia, yang sedia maklum dihuni oleh pluraliti bangsa dan agama. Hanyasanya perpaduan yang luhur mampu membentuk infrastruktur harmoni dalam kalangan masyarakat. Sesuai dengan konsep kontrak-sosial (baca: demokrasi), meraih kesamarataan semua golongan. Namun berbeza hari halnya dengan hari ini di Malaysia, sebuah negara yang mencanangkan figura perpaduan rakyat dan kesepakatan strata bangsa dan negara telah banyak merakamkan aksi dan ritual yang menyentuh sensitiviti perkauman bangsa.
     
Namun babak-babak ini bukan lagi asing kerana mendapat mandat dan restu oleh pak-pak menteri. Mereka sendiri telah membunuh nilai-nilai perpaduan yang ditanam pada teks-teks pendidikan negara. Kelakuan sumbang ini menjadi bertambah janggal apabila ia didokong oleh mereka yang dianggap berpendidikan dan terlibat langsung dalam kepimpinan negara. Perpaduan dan kesepakatan yang deras dileterkan di media arus perdana hanya menghiasa poin manifesto demi mengekalkan kedudukan ditakhta. Rakyat dibentuk dengan sentimen-sentimen kebencian dan permusuhan perkauman.
   
Falsafah "Bangsa Asing"
   
Tarbiah warisan yang kekal berlegar dalam dunia pendidikan di negara ini telah mensurah sebuah falsafah "Bangsa Asing". Sebuah gelaran yang biasanya disandar kepada kaum minoriti dalam negara. Para pelajar di bangku sekolah akan berpencak pena mengguna falsafah ini pada karangan peperiksaan berjela-jela, para mahasiswa akan rancak meratib kalimah ini dalam wacana-wacana. Namun, hal yang sama, ia telah membentuk dua peringkat kelas sosial komuniti masyarakat. "Bangsa Asing" yang terus diratib pada lidah yang digeluti dalam suasana masyarakat majmuk ini lama-kelamaam meletakkan kaum minoriti sebagai rendah dan wajar diperlekehkan. Islam telah membawa formula jelas,


يَا أَيُّهَا النَّاسُ إِنَّا خَلَقْنَاكُمْ مِنْ ذَكَرٍ وَأُنْثَىٰ وَجَعَلْنَاكُمْ شُعُوبًا وَقَبَائِلَ لِتَعَارَفُوا
   
Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain).
     
Seruan yang bersifat umum kepada seluruh manusia ini telah menjadi sebuah rumus penting dalam peradaban manusia. Isu perkauman yang rancak seputar konteks politik harus dibanteras sedari peringkat akar umbi. Api perkauman ini sukar dipadamkan apabila sindiket ini sendiri dihalalkan oleh para menteri. Rakyat perlu cerah dan terbuka. Cermat mendepani provokasi yang dibayangi political-mileage, agar perpaduan kekal dalam negara yang memiliki masyarakat majmuk ini.
    
Abd Halim

Saturday, 19 September 2015
Posted by Rijal Ilmu

Surah Al-Lahab : Antara Projek Islah dan Ifsad


Islam yang kemas dengan tatanan disetiap tobaqoh (peringkat) ajaran bersifat kolektif dan komprehensif ini telah menjadi pentas utama untuk penganutnya menggeluti serba serbi kehidupan. Tiada satu pun daripada episod kehidupan ini terlepas daripada perbahasan daripada teks-teks Islam samada teks warisan ataupun yang meluncur mengikut masa. Ringkasnya, Islam terbit sebagai "solving problem" kepada setiap permasalahan umat manusia. Tidak kurang tidak, Islam yang memiliki naskah agung iaitu Al Quran yang juga salah satu maqasid (tujuan) penurunannya adalah sebagai Al Akbar wa Al Qasas (Khabar dan kisah kaum terdahulu) telah merakamkan pelbagai kisah yang boleh menjadi iktibar ataupun peringatan tegas kepada semua strata manusia.

Lima ayat makkiyyah yang disurahkan dengan nama salah seorang bapa saudara Nabi saw, iaitu Abu Lahab atau nama sebenarnya 'Abd Uzza ini telah menampakkan pertembungan antara haq dan bathil serta projek Islah (pembaikan) dan projek Ifsad (kerosakan). Law of nature (sunnatullah) dalam kehidupan, kebanyakan entiti ciptaan Tuhan adalah berpasang-pasangan misalnya siang dan malam, lelaki dan perempuan, matahari dan bulan, benar dan salah serta Islah dan Ifsad.

Muhammad saw, Tokoh Islah

Ditengah kemelut rencam umat Islam hari ini, menularnya fahaman-fahaman skeptisan yang melampau-lampau, tidak kurangnya suara-suara yang bengis dan sinis daripada umat Islam mendepani hal ini. Tanpa berkesudahan, air mata dan darah menjadi cagaran utama dalam pasaran pertembungan yang seharusnya didamaikan dengan hikmah ini.

 وَأَنْذِرْ عَشِيرَتَكَ الْأَقْرَبِينَ
Dan berilah peringatan serta amaran kepada kaum kerabatmu yang dekat.

Wahyu yang tegas ini, telah mendorong Nabi saw melaksanakan projek Islah (pembaikan) dan mau'izoh (peringatan) kepada sekalian insan. Tampil meragakan wahyu pada lisan, memberitahu komuniti yang tidak bertuhan dan pencabar tuhan, bahawa ada satu ancaman besar yang sedang menanti mereka. Watak Abu Lahab yang 'rebel' telah memaksa satu projek Ifsad (kerosakan) terbit meledak bagi menghalang tunas-tunas yang dilafaz Nabi saw, tuntas membenih dan mengakar. Pelbagai metod mencantas, namun semuanya punah akibat ancaman Tuhan ke atasnya,

ِ تَبَّتْ يَدَا أَبِي لَهَبٍ وَتَبَّ
Binasalah kedua-dua tangan Abu lahab, dan binasalah ia bersama!

Penentangan demi penentangan telah mencemarkan langit dakwah Nabi ketika itu walau pada hakikatnya, usaha murni Nabi saw sedang dicermati oleh Tuhan maha mengetahui. Hari ini, babak-babak semisal ini telah bertunas dan mula membenih dalam komuniti serba moden ini. Dalam kalangan pejuang ifsad tidak lagi menzahirkan keingkaran, akan tetapi lebih selesa bertopeng keimanan dan ketaatan. Perlahan-lahan, mengkusutkan nilai agama sehingga kelihatan cacamarba oleh penganalisa kebenaran diluar sana.

Mendamaikan pertembungan yang ligat lebat ini, adalah infiniti. Melainkan, mendepaninya dengan hikmah dan lambakan argumen bagi melandaikan islah agar tidak mampu lagi diruntuhkan oleh institusi ifsad yang terancang. Projek Islah harus lebih bersifat membumi dan mesra pluraliti. Tidak bengis dengan kefasadan secara melampau, namun merancakkan lagi wacana ilmiah bagi meruntuhkannya dengan segala macam hujah agar tiada lagi ia tertarik dipasaran kehidupan umat manusia.

Abd Halim


Wednesday, 16 September 2015
Posted by Rijal Ilmu

Mimbar "Mistik" : Satu Kritikan Daripada Anak Desa


Hari ini, berduyun-duyun sebahagian besar insan yang ingin menyatakan hal-hal kebenaran bagi mendepani kebathilan terancang yang semakin menunjukkan belang. Tidak kurang tidak, ramai juga yang mempromosikan nilai kebathilan atas tiket kebenaran. Ini merupakan law of nature (sunnatullah) yang akan terus berlegar dalam dunia kehidupan. Persoalannya, samaada kita memilih untuk bergayut pada tali kebenaran atau mendakap erat palsunya kebathilan. Tampar pipi, sedarkan diri !

"Wahai orang yang lena ! Bangkitlah beri peringatan. Besarkanlah Tuhanmu" (Al Mudassir, 1-3)

Namun, realiti hari ini banyak mempamerkan penafian ke atas kebenaran. Golongan autoriti dan elitis yang sebahagiannya merasakan diri sebagai "wakil Tuhan" akan terus berleter hal yang tidak boleh dipersoalkan sama sekali. Golongan ini sentiasa popular di pentas-pentas dan mimbar-mimbar umat Islam. Mereka yang bergilir-gilir untuk memastikan tiada silsilah lain yang boleh tampil kehadapan kerana khuatir, konotasi bicara berbeza. Sedia maklum juga, umat Islam akan mengadakan himpunan aman dan damai disetiap hari jumaat. Di kota mahupun desa, speaker yang menenggek di kubah-kubah masjid akan menyaringkan seruan perintah dan larangan Tuhan serta bercerita serba serbi soal kehidupan yang mampu melahirkan lebih ramai lagi insan yang beriman.

"Wahai orang beriman ! Apabila telah diseru untuk melaksanakan solat jumaat, maka segeralah kamu mengingat Allah dan tinggalkanlah jual beli" (Al Jumu'ah, 9)

Mimbar "Mistik"

Himpunan yang berlangsung seminggu sekali itu seharusnya mensajikan telinga dan jiwa umat Islam berkaitan hal-hal yang berlegar dalam kehidupan seharian tanpa mengetepikan perintah larangan Tuhan yang dinaskahkan dalam karya agung umat Islam Al Quran dan As Sunnah. Namun, mimbar-mimbar yang mulia ini, menjadi episod mistik walaupun diluar masjid ketika itu matahari memekik terik. Hal ini kerana, petugas-petugas berautoriti yang berdiri dengan wajah berseri di mimbar kerap kali membicarakan hal yang memaksa umat Islam ternganga dan terkebil kerana teks yang dirembeskan tidak mencapai kemampuan akal dan jiwa. Ada yang bercerita babak pergolakan kumpulan-kumpulan mereka berkaitan isu Baiah (sumpah setia).

Apa ini semua? Apa mungkin Pak Dolah yang berkebun, Mak Timah yang berniaga durian ditepi jalan dan Kak Sarah yang menyidai pakaian dijemuran sebagai suri rumah mampu memahaminya? Mimbar akan mendung dan bungkam apabila membicarakan hal yang bersangkut paut kepentingan dan kedudukan di dunia. Tidak termasuk membicarakan soal kebobrokan, kezaliman para anasir seputar isu manusiawi umat Islam agar penjelasan fakta dapat merungkai sindiket yang merupakan larangan Tuhan ini. Sabda Nabi saw,

"Akan sentiasa ada dalam kalangan umatku yang menzahirkan haq (kebenaran), tiada yang mampu memudaratkan mereka sehingga datangnya ketentuan Allah"

Tidak kurang, pengampu kepada para penguasa yang memonopoli pentas mimbar demi menengakkan benang yang basah. Sanggup menyogok firman dan sabda demi mengukuhkan takhta kuasa. Apa ini yang Tuhan dan Rasul anjurkan ? Berkata benarlah sekalipun pahit

"Jangan kalian mencampurkan yang haq dan bathil. Jangan pula menyembunyikan yang haq sedang kalian mengetahuinya"

Abd Halim
Friday, 11 September 2015
Posted by Rijal Ilmu

Cabaran Bertuhan: Satu Penilaian Berdasarkan Perspektif Zaman

Realiti yang terpampang dilayar kehidupan tamadun manusia kini melalui episod cacamarba dan porak poranda dalam hal semisal ketuhanan dan kemanusiaan. Terbitnya pluraliti yang akhirnya menjadi racun perpaduan akibat tidak cekap mendepani dan menguruskan. Sindiket puakism, kelompokism dengan melampau-lampau sehingga membunuh disiplin dalam muamalah sesama insan telah merakam babak dan derita sepanjang garis masa zaman ini. Tidak kurang lebat, golongan pencabar Tuhan yang kebanyakannya dihuni oleh ahlul ahwa' (golongan hawa nafsu) yang bertauhidkan rasional tanpa dorongan wahyu sehingga institusi mereka ini pesat di negara-negara dominan dunia kerana bantuan syaitan dalam ritual serta sistem taghut yang menghakis kemanusiaan dan manusiawi. Pergolakan ini telah melahirkan zuriat-zuriat peragu kebenaran daripada madrasah keberagamaan ini sendiri. Mereka termakan momokan musuh dan tiupan bisik gemersik syaitan daripada terus bergayut pada tali-tali kebenaran.

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا ادْخُلُوا فِي السِّلْمِ كَافَّةً وَلَا تَتَّبِعُوا خُطُوَاتِ الشَّيْطَانِ ۚ إِنَّهُ لَكُمْ عَدُوٌّ مُبِينٌ

Wahai orang-orang yang beriman! Masuklah kamu ke dalam Ugama Islam (dengan mematuhi) segala hukum-hukumnya; dan janganlah kamu menurut jejak langkah Syaitan; sesungguhnya Syaitan itu musuh bagi kamu yang terang nyata.

وَاعْتَصِمُوا بِحَبْلِ اللَّهِ جَمِيعًا وَلَا تَفَرَّقُوا ۚ

Berpegang teguhlah dengan tali-tali Allah (yakni Islam) dan janganlah berpecah belah

Ribut cabaran bertuhan yang bebuah hasil daripada pertembungan dan perbezaan dalam kalangan manusia sedari awal lagi telah disabdakan oleh Nabi saw dalam hadis riwayat Abu Daud dan Tirmidzi,

"Barangsiapa yang hidup setelahku dan melihat perselisihan yang banyak bahkan hendaklah kalian berpegang pada sunnahku dan sunnah para khulafa' ar rasyidin dan yang mendapat hidayah setelah itu"

Mendepani hal ini dengan ilmu dan keilmuwan adalah ubat mujarab untuk merawat ragu dan bertindak sebagai "protection" daripada serangan dan momokan musuh Tuhan dan iktiqod keberagamaan. Konsep ilmu yang kian rapuh lumpuh dalam falsafah hidup manusia telah memendungkan keyakinan serta memberi ruang luas daripada anasir buas berleter menegakkan benang yang basah. Ramai daripada insan kini lebih selesa untuk mencorak zamannya dengan tekaan dan andaian yang berlaku pada masa hadapan. Mitos ini menguburkan ketuanan ilmu serta melahirkan tamadun masyarakat yang pincang serta tidak berani berdepan dengan realiti lalu mereka memaksa untuk menerima apa yang dilihatnya ramai yang terima tanpa ilmu dan faham yang jelas. Ringkasnya, ikut-ikutan. Firman Allah taala,

وَلَا تَقْفُ مَا لَيْسَ لَكَ بِهِ عِلْم

Janganlah engkau mengikuti apa yang engkau tidak mempunyai pengetahuan mengenainya

Justeru menjadi insan yang teguh dengan identiti bertuhan hendaklah mempersiapkan diri dengan jutaan naskah yang menyumbang modal kefahaman lantas mengenyangkan benak sehingga tiada lagi ragu dan goyah soal momokan daripada musuh Tuhan untuk bertapak di dasar minda dan jiwa.

Sepanjang analisa ringkas, pelbagai teori bertuhan yang pernah dihadam samaada lantunan pandangan daripada lidah dan pena orientalis mahupun sarjana agama sendiri. Namun setakat ini, satu teologi yang unik oleh Hassan Hanafi telah mewujudkan premis faham dan pengetahuan ke atas insan. Teologi (teori ketuhanan) Hassan Hanafi ini lebih membumi, praktikal dan dinamik. Tidak larut dengan perbahasan watak dan peribadi Tuhan. Teologi ini sejenis etika tauhidik yang bermatlamat untuk melahirkan kaum muslimin yang professional, generasi insaniah yang menumpaskan kezaliman, mengejar ketertinggalan, membasmi kemiskinan dan kemunduran. (Menurut Hilman Fikri Azman dalam pendahuluan kertas kerjanya yang bertajuk Pemikiran Teologi Hassan Hanafi : Perspektif Teologi Antroposentrik sebagai Langkah Pembumian Teologi Islam)

Insan yang ingin mengekalkan identiti keberagamaan bertuhan dan bertahan hendaklah berani mencabar dogma serta tidak membiar diri dikongkong. Bangkit mendedahkan kesasulan, kelemahan, dan kebobrokan dalam pendedahan fakta hari ini yang semakin liar dan buas. Golongan elit samaada daripada institusi agama mahupun penguasa wilayah, perlu mendengar cadangan rakyat marginal dan orang awam demi mencapai kesejahteraan dan keutuhan iktiqod bertuhan dan keberagamaan. Penguasa ataupun ahli politik yang mempremiskan hal agama dan ketuhanan demi political-mileage mesti dilawan dalam gelanggang ilmiah dan saluran yang meraih sistem Negara/wilayah.

"Kita sedang diasuh mendakap kepalsuan" petikan puisi Sasterawan Negara A. Samad Said dalam antologi "Di Atas Padang Sejarah"

Penilaian ringkas ini adalah adaptasi daripada gelagat ligat sebahagian insan yang adakalanya rimas bertuhan, tidak kurang yang melampau dalam hal bertuhan sehingga tidak berpadah-padah dalam hal ibadah bahkan berpesta membuat tokok tambah dalam hal taufiqiyyah (akidah dan ibadah). Berkata syeikh Muhammad Abduh, Islam itu terhijab oleh orang Islam itu sendiri. Semoga identiti bertuhan terus berkekalan didalam raga dan rasa insan.

Abd Halim

Wednesday, 2 September 2015
Posted by Rijal Ilmu

Dunia Ini Kepunyaan Anak Muda



"Anak-anak muda yang gagah berani, kamu ke jalan raya, kamu membuat sejarah, kamu adalah sejarah nusa dan bangsa, dan dunia ini akhirnya milik kamu" (Hishamudin Rais)

Bermacam siri kerencaman dan kerosakan dalam garismasa tamadun manusia samaada ianya menenggek dalam urusan politik mahupun di strata komuniti masyarakat. Wilayah yang gelap ini akan terus malap apabila hamasah anak muda yang dirukunkan Hassan Al-Banna tidak dikerah. Kediktatoran dalam kalangan 'orang besar' di sesebuah wilayah membungkam kerongkong anak muda daripada merembes segala macam aksara kerana berbaur kecaman kepada takhta dan singgahsana mereka.

Kediktatoran dalam kalangan masyarakat juga tidak kurang pesatnya. Mereka yang tampil dengan wajah ketokohan mengaku bahawa benar hanya pada poket seluar mereka. Tiada yang berhak mendefiniskan kebenaran melainkan mereka. Diktator ini lebih merbahaya dan kronik kerana ia membentuk satu mazhab 'paksa' serta individualistik. Semua yang di tidak berdiri sekaki akan fatal tidak layak menyandang jenama 'Islam Benar' hanya kerana berlainan metodologi, warna, dan mazhab rasional.

"Seolah-olah, segala macam nas dan argumensi agama dituju khas kepada kelompok mereka"

Kebobrokan dalam wilayah ini telah menterampilkan imej kemunduran dan sindiket pembodohan ke atas rakyat marginal agar hanya duduk di sofa rumah melayan sinetron dari pagi ke senja. Projek pembisuan lidah ini akan menjamin kuasa mereka dalam kontrak sosial serta melonggokkan koleksi wang yang jatuh ke dalam stor istana mereka. Mentauhidkan sokongan dengan menghalalkan segala macam cara untuk keberlangsungan kuasa wilayah persis perjuangan Niccolo Machiavelli (ends justify the means). Ini pembodohan yang yang terancang dalam naskah juang kelompok pengampu dunia.

Desakan agar anak muda ligat bergiat dalam kancah revolusi dan intelektual bagi melunaskan suara-suara terbungkam, dan jasad ditanam disebalik jeriji besi. Gencatan ini perlu dipikul oleh seluruhnya dengan membawa satu agenda pembaikan dan pembersihan. Ya, di mana ada islah disitu ada ifsad. Soalnya siapa kita dalam kisah caca marba ini?

Intelektual manifesto juang anak muda

Menurut Prof. Syed Hussien Alatas, golongan intelektual itu adalah orang yang memusatkan diri untuk memikirkan idea dan masalah dengan menggunakan kemampuan akliahnya. Anak muda serupa ini akan mengerah idea segar mencantas prinsip dan dasar jelas 'orang besar' yang memonopoli fakta kepada auta. Demi menjaga maslahah 'ammah (umum) yang merupakan definisi bagi keadilan menurut Dr. Abd Aziz Khayyat. Adil, konsepsi besar daripada nilai Islam yang wajib dipikul oleh seluruh pentauhid Tuhan yang satu.

Berkata Gus Dur,
"Tuhan itu tidak perlu dibela, kerana Dia maha segalanya. Adililah mereka yang tidak terbela."

Suara ini perlu dipekik, anak muda jurubicara. Andai kontrak sosial (baca : demokrasi) dalam wilayah dicabuli, kita turun ke jalan raya. Biar raksa tirani tahu, siapa pemerintah dan yang diperintah. Warisan tentera Abrahah dan ideologi Firaun yang  menindas, perlu dibalun agar tidak deras dalam arus peninggalan sejarah. Jangan wariskan wilayah yang rosak kepada pahlawan mendatang.

Catatan sehari sebelum BERSIH 4.0, penulis menyeru anak muda seluruh Malaysia turun bersama.

Abd Halim
Thursday, 27 August 2015
Posted by Rijal Ilmu

Demi Satu Kedamaian

Islam adalah agama kedamaian. Sifatnya yang lunak memujuk jiwa manusia menerusi corong-corong pesan. Aksara-aksara yang Tuhan firmankan tidak hanya berbicara darah dan perperangan tetapi dihiasi juga dengan lambakan pujukan Tuhan untuk mereka yang mahu berfikir (for people who think). Mendasar ke dalam, Islam telah mencorak komuniti hidup yang pluraliti dengan perisa argumensi daripada Tuhan. Islam meraih tidak menyisih sebagaimana yang berlaku kini, golongan atas awan (baca : majoriti) membunuh infrastruktur penting dalam manusiawi iaitu "hormat dan raih" kepada golongan membumi (baca : minoriti)

Damai yang berada di starata tertinggi ialah seorang insan berdamai dengan Tuhan. Bukan kerana pertarungan yang pernah berlanjutan, tetapi memenuhi tuntutan muamalah insan dengan Tuhan. Ini hakikat. Pertarungan dengan Tuhan hanya menyebabkan fatal dan hina hidup manusia.

Kebangkitan demi kedamaian

Berdasarkan lensa sejarah yang deras menaskahkan nama-nama revolusioner yang pernah memimpin batalion-batalion kebangkitan samaada dengan senjata ataupun pena. Reaksi mereka meninggalkan aura perjuangan menyingkir militer pengongkong samaada pada sistem kelolaan negara ataupun pembelengguan jiwa. Anak jati Argentina, Che Guevara (anggot gerila) bertempur menentang imperialis korup, kapitalis iblis, dan para pengkhianat sehingga sosok ini dikhabarkan menjadi mendiang tatkala didalam tahanan Bolivia akibat ditembak. Demikian perjuangan Che Guevara.

Saya mengambil sudut pandang yang asing ketika membedah watak-watak seperti Jose Rizal si pahlawan universal menentang kolonial Sepanyol sambil menggagaskan Nasionalisme di Filipina satu ketika dahulu. Mereka ini bertempur demi mengevaluasikan satu kedamaian. Menumpah keringat, idea dan darah demi satu kedamaian dan keamanan. Tidak sanggup melihat dunia dan tanah air didiami oleh algojo-algojo yang gelojoh serta rakus berahi. Walau sebahagian melihat kebangkitan mereka ini sebagai satu gerakan ekstrimis, jauh disudut hati sebenarnya mereka mengimpikan kedamaian.

Bak kata Boestamam (Angkatan Pemuda Insaf) dalam slogan mereka melawan penjajah, "Merdeka dengan darah". Namun konteks kita di nusantara khususnya di Malaysia begitu juga negara-negara demokrasi yang memuat naik banyak ideologi, pena dan karya mampu membantu melunaskan pertarungan demi satu kedamaian kerana kebenaran itu adalah hujjah.

Firman Allah ta'ala

وَلَا تَلْبِسُوا الْحَقَّ بِالْبَاطِلِ وَتَكْتُمُوا الْحَقَّ وَأَنْتُمْ تَعْلَمُونَ

Dan janganlah kamu campur adukkan yang benar itu dengan yang salah, dan kamu sembunyikan yang benar itu pula padahal kamu semua mengetahuinya.



Abd Halim
Monday, 17 August 2015
Posted by Rijal Ilmu

Hamka, Mendepani Pembodohan

Pergelutan antara kaum muslim dalam dunia yang terdedah dengan fakta caca marba dan tokoh yang lahoba mengumpul ummah yang tidak berani bertanya sudah menjadi biasa dan fatalnya apabila lebih ramai yang dogma kerana menganggap ianya "law of nature" tanpa mengambil satu inisiatif yang bersifat komprehensif untuk menanganinya. Ramai dalam kalangan tokoh mahupun pendewa agama yang lebih selesa bertembung dalam urusan yang tiada menguntungkan.

Tuhan merakamkan pembodohan berupa penindasan ke atas rakyat marginal oleh Firaun,

فَاسْتَخَفَّ قَوْمَهُ فَأَطَاعُوهُ ۚ إِنَّهُمْ كَانُوا قَوْمًا فَاسِقِينَ

(Dengan yang demikian), maka Firaun memperbodohkan kaumnya, lalu mereka mematuhinya; sesungguhnya mereka itu adalah kaum yang fasik - derhaka

(Az-Zukhruf, 54)

Sebahagian mufassir yang didatangkan ayat ini berkata bahawa "merendah-rendahkan" disitu membawa makna mmbodohi. Watak yang menjadi benteng penyelamat insan ketika itu ialah Nabi Musa a.s yang mendepani manusia pencabar Tuhan itu dengan aksara-aksara wahyu dan strategi yang teknikal.

Hamka (Prof. Dr. Hj. Abdul Malik Karim Amrullah) si reaksioner dan revolusioner pembaharuan dan pembaikan ditengah kepulan pembodohan telah mencetak watak yang telah pernah dirakam Tuhan dalam jelaan firman.

Jagoan ini, membentuk premis fikir yang teguh sehingga dikahabarkan, beliau tidak larut dalam pertembungan dalam hal furu' agama. Karakternya yang tegas ini lebih gemar untuk tidak membesarkan hal remeh. Bahkan, dalam pertengkaran antara jenama "Kaum Tua-Kaum Muda" yang ditekap cekap dizamannya, pernah disoal kepadanya,

"Kaum apakah kamu diantara dua ini?"

"Kaum yang menuntut kebenaran" jawab Hamka. Lebih selesa dia untuk membentuk muhadoroh yang merdeka dan memerdekakan jiwa yang telah lama dikongkong sebelum delegasi wataknya terbit dalam layar perjuangan Indonesia ketika itu. Melawan adat jahiliyyah yang melampau, melawan peraturan pemerintah (baca : Belanda) yang bobrok ketika itu, dan menggunakan kudrat anugerah empunya Iradat untuk menyokong gerakan Muhammadiyyah untuk mendepani pergerakan pemerintah yang despotik dan diktator.

Dalam bukunya "Ayahku", Hamka telah melalui pelbagai fasa dalam perjuangannya mempromosikan nilai Islam mirip dengan yang pernah diniagakan oleh tokoh reformis Syaikh Muhammad Abduh dan Sayyid Rashid Ridha (semoga Tuhan mengampuni mereka) yang lebih senior dalam sinopsis perjuangan pembaharuan didunia.

Pembodohan yang terancang

Setelah ku selak karyanya itu, aku menemui bab selepas Perjuangan Baru iaitu Guru Ordonansi. Iaitu satu peraturan yang dikenakan dalam sistem pendidikan di zamannya dengan meletakkan satu guideline bahawa guru yang beragama Islam tidak dibenarkan mengajar hal agamanya melainkan meminta keizinan terlebih dahulu daripada pemerintah (baca : Belanda). Peraturan yang dinaskahkan pada tahun 1905 ini telah mendapat kecaman ayah Hamka dan tokoh reformis ketika itu termasuk Muhammadiyyah di dalam kongres mereka dengan mendesak pihak Belanda menarik balik peraturan ini dan memadamkannya daripada tatakelola pendidikan ketika itu.

Menyedari akan pembantutan ke atas penyiaran agama secara meluas, mereka mendapani hal ini dengan berani dan menengking suara pembaharuan. Teringat Hamka akan kata-kata ayahnya ketika peraturan ini bermaharajalela,

"Tidak, kita tidak boleh meninggalkan daerah ini. Kita wajib berjuang menolaknya dengan segala jalan yang sah. Biar cuma tinggal tulang dada kita sahaja. Dimana masanya lagi berjihad dijalan Allah, kalau bukan sekarang"

Menjadi lebih malang, apabila dirakamkan oleh Hamka dalam karyanya itu bahawa terdepat segerombolan (baca : sekumpulan) ulama daripada Kaum Tua dan Kaum Muda yang menganggukkan peraturan itu. Ketika khabar ini sampai kepada ayah Hamka, berkata lagi dia,

"Saya tidak takut ! Biar orang kiri dan kanan telah jatuh, kita tetap teguh"

Malaysia, perlukan projek pembaikan

Menyedari akan sejarah yang mengukir kuntuman berani ini, kita seharusnya mematikan segala bentuk pembodohan yang ditanam samaada dalam kalangan orientalis yang pernah singgah menjajah minda dan merombak tsaqofah.Dalam kalangan ahli agama yang mempromosi satu sistem "ikut dan diam" sehingga agama menjadi satu misteri dan terbentuklah boneka pendiam padahal bila ditanya "kau beriman?" Dengan bangga menjawab "Ya".


Mengiktiraf pluraliti pandangan dan mengelokkan sikap berinteraksi dengan perbezaan harus dicermati dan dihadam. Hal ini demi menjamin kehormonian hidup bertuhan dan kesatuan melawan kezaliman yang masih riang menari dipentas penderitaan ummat. Bangunlah, bukan lagi masanya ini duduk diranjang, kaki dibentang, termenung diam menanti redha.

Abd Halim
Friday, 14 August 2015
Posted by Rijal Ilmu

Superman To Be


Watak wira dikarang penuh hebat, seperti khayalan menjadi kenyataan.

Teringat aku (Asnawi) waktu kecilku, memilih hero idaman (Superman) supaya boleh terbang menembusi awan. Rupanya semua itu mustahil kerana menentang Hukum Graviti yang dicipta Newton. Aku mula tertawa dengan kebodohan sendiri. Yang ku lihat rupanya cuma ilusi.

Namun karakter hebat yang dicipta animasi barat punyai jiwa persis pahlawan, maju walau berseorangan, lawan jatuhkan kebatilan. Kalaulah ada namanya Hero zaman kehancuran, yang dilihat muncul menyanjung yang Haq dan menundukkan yang mungkar seperti  firman Yang Esa, ketika adil diletakkan bersebelahan dengan syahadah,

شَهِدَ اللَّهُ أَنَّهُ لَا إِلَٰهَ إِلَّا هُوَ وَالْمَلَائِكَةُ وَأُولُو الْعِلْمِ قَائِمًا بِالْقِسْطِ ۚ لَا إِلَٰهَ إِلَّا هُوَ الْعَزِيزُ الْحَكِيمُ

Allah menerangkan, bahawasanya tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia, Yang sentiasa mentadbirkan (seluruh alam) dengan keadilan, dan malaikat-malaikat serta orang-orang yang berilmu; tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia; Yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.

(Ali Imran, 18)

Tapi minda berputar kembali, menanya soalan ke hati, adakah lagi, ke mana dia pergi ? Idea bermain terbang terbang di kepala hingga mendatangkan satu prasangka. Mungkin dia sengaja menyembunyi diri menunggu waktu untuk beraksi. Mungkin juga sudah ada tapi tidak kelihatan kepahlawanan kerana sering dijenakakan si kawan. Mungkin mungkin dan mungkin.

Agama, kaitan misi juang Superman

Ramai jiwa insan perlu dimerdekakan supaya tidak menjadi orang ikut-ikutan. Apalah gunanya agama kalau tidak difaham dan diamalkan. Sungguh orang yang benar , memang sukar diramal. Jiwanya kental menjunjung perintah Raja Segala Raja. Betullah, yang benar itu mahal .

Dalam kesibukan dunia dengan isu gempar yang dibualkan, aku yakin ada orang diam dan bekerja, walau dikatakan sampah keparat, disahutnya juga seruan Tuhan,

وَلْتَكُنْ مِنْكُمْ أُمَّةٌ يَدْعُونَ إِلَى الْخَيْرِ وَيَأْمُرُونَ بِالْمَعْرُوفِ وَيَنْهَوْنَ عَنِ الْمُنْكَرِ ۚ وَأُولَٰئِكَ هُمُ الْمُفْلِحُونَ

Dan hendaklah ada di antara kamu satu puak yang menyeru (berdakwah) kepada kebajikan, dan menyuruh berbuat segala perkara yang baik, serta melarang daripada segala yang salah (buruk dan keji). Dan mereka yang bersifat demikian ialah orang-orang yang berjaya.

(Ali Imran, 104)

Tapi sejauh mana, itukah wira yang dinantikan? Sukar untuk dibicarakan.

Ingatlah, kita bukan haiwan yang tiada akal untuk menyangkal. Merdekakan akalmu, perbetul akhlakmu, asah keberanianmu, orak langkahmu, bukan hanya mengata tapi tidak berbuat apa. "Dont wait for the justice, but do the justice"

Berharap pada pahlawan, lama mendapat jawapan, kenapa tidak membina pada hati yang kelaparan. Jadilah orang yang menggapai keredhaan, yang patuh pada Maha Kuasa . Siapa tahu kamu yang diucapkan.

Asnawi
Thursday, 13 August 2015
Posted by Rijal Ilmu

Pemberani yang Berkata Benar


Hakikat kehidupan bertuhan, insan tiada lari daripada perbalahan,perselisihan, perpecahan, dan pendustaan. Namun, kejadian makhluk yang terancang dan penuh rinci oleh Tuhan Agung ini sangat normatif dan langsung memberikan satu impak dalam citra kehidupan seisi alam.

Pernah didalam ribut, malam itu rundum, wajahku mula mendung letih mengayuh sendi menguliti kasih dengan teman-temanku sehari-hari, aku bayang seputar kejadian berkaitan malaikat si makhluk taat, dan manusia penumpah darah. Kenapa tidak sahaja Tuhan jadikan malaikat si makhluk taat yang tadbir muka bumi, kenapa mesti manusia si penumpah darah. Rupanya, andai ku dikukuh tatkala terbit dua frasa yang selalu dibentuk kerana rimanya menarik iaitu fikir dan zikir. Memakmurkan bumi tidak cukup dengan berzikir namun seni berfikir dan mencipta tatacara dan tatakelola dalam tamadun manusia itu amat perlu. Aku kenyang setelah ku kerja keraskan akal menerima tanpa bergantung harap dengan teori dewa agama.

Namun, dalam legasi ini, manusia terdedah dengan banyak elemen yang dibenci Tuhan. Penindasan, pembodohan, korupsi, penafian hak, dan sebagainya. Maka ditengah kepulan sifat-sifat keparat ini perlunya watak Pemberani yang berkata benar galak dan tegar merembeskan hormon kepahlawanannya. Watak ini membawa satu misi keadilan dan projek kebijaksanaan melepaskan manusia daripada ketirisan dalam sosial dan renjatan akal.

Firman Allah,

وَلَا تَلْبِسُوا الْحَقَّ بِالْبَاطِلِ وَتَكْتُمُوا الْحَقَّ وَأَنْتُمْ تَعْلَمُونَ

Dan janganlah kamu campur adukkan yang benar itu dengan yang salah, dan kamu sembunyikan yang benar itu pula padahal kamu semua mengetahuinya.


Firman Allah :

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا كُونُوا قَوَّامِينَ لِلَّهِ شُهَدَاءَ بِالْقِسْطِ ۖ وَلَا يَجْرِمَنَّكُمْ شَنَآنُ قَوْمٍ عَلَىٰ أَلَّا تَعْدِلُوا ۚ اعْدِلُوا هُوَ أَقْرَبُ لِلتَّقْوَىٰ ۖ وَاتَّقُوا اللَّهَ ۚ إِنَّ اللَّهَ خَبِيرٌ بِمَا تَعْمَلُونَ

Wahai orang-orang yang beriman, hendaklah kamu semua sentiasa menjadi orang-orang yang menegakkan keadilan kerana Allah, lagi menerangkan kebenaran; dan jangan sekali-kali kebencian kamu terhadap sesuatu kaum itu mendorong kamu kepada tidak melakukan keadilan. Hendaklah kamu berlaku adil (kepada sesiapa jua) kerana sikap adil itu lebih hampir kepada taqwa. Dan bertaqwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui dengan mendalam akan apa yang kamu lakukan.


Firman Allah,

شَهِدَ اللَّهُ أَنَّهُ لَا إِلَٰهَ إِلَّا هُوَ وَالْمَلَائِكَةُ وَأُولُو الْعِلْمِ قَائِمًا بِالْقِسْطِ ۚ لَا إِلَٰهَ إِلَّا هُوَ الْعَزِيزُ الْحَكِيمُ

Allah menerangkan (kepada sekalian makhlukNya dengan dalil-dalil dan bukti), bahawasanya tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia, Yang sentiasa mentadbirkan (seluruh alam) dengan keadilan, dan malaikat-malaikat serta orang-orang yang berilmu (mengakui dan menegaskan juga yang demikian); tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia; Yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.


Demikian, tiada perlu dikhuatiri. Tujuan penciptaan manusia ke atas muka bumi bukanlah untuk memastikan persepsi semua insan sentiasa menyebelahi diri. Ada puji ada keji. Bercakaplah. Nilai kebebasan itu mahal dan bukan sakral. Ianya memerdekakan jiwa dengan salutan firman dan sabda. Bukan semua orang benci, Tuhan turut benci.

Abd Halim
Saturday, 8 August 2015
Posted by Rijal Ilmu

Menteri, Jangan Letak Tuhan Tepi

Gatal tangan membalun kedangkalan. Pantas kuhayun sendi jari, membelek suka duka manusia laman ini, terkebil mata ku serentak terpinga melihat satu perkongsian yang memaparkan kenyataan seorang menteri di Malaysia,

"Isu adegan pegang tangan berpelukan tidak perlu dibesarkan kerana tidak mengundang ke arah maksiat" Rujuk www.mstar.com.my/hiburan/berita-hiburan/2015/07/31/azalina-tegur-lpf/

Bukan sifat kesarjanaan membunuh ketokohan. Letih juga mahu menghukum wataknya. Cuma apa yang mampu dianalisa, Tuhan sudah diketepi demi menjagi reputasi menteri. Kenyataan yang dangkal ini dirembeskan demi memagari industri perfileman yang rancak menayangkan aksi diranjang. Demi menjaga kestabilan industri tersebut tanpa ganggu gugat, sanggup lidah tidak bertulang memandumkan akal yang Tuhan bekalkan sehingga mengeluarkan pandangan kelas bawah yang saya kira adik sekolah yang berkasut bata, baju putih berteman tali leher boleh ketawa terbahak tergolek membacanya.

Menurutnya lagi, "kita tak boleh berfikiran sempit, kalau semua tak boleh takkan nak bercakap dengan bantal" kepada mStar Online.

Dalam sejarah ketamadunan manusia samada yang menggeluti peradaban Islam oleh sarjana-sarjana yang berjasa, jatuh naik sesebuah kerajaan bukan semata metod tadbirnya yang cemerkap, pengendalinya tidak berhemah, korup dan tiris sini sana bahkan ketika Tuhan diketepikan padahal mereka yang menyalak bersyahadah saat berada dalam lingkaran keingkaran. Kerajaan Saba' misalannya, yang dikahabarkan sebagai negeri yang penghuninya taat pada fasa awalnya, nikmat berduyun oleh Tuhan sehari-harian. Namun, Allah patahkan ribut kenikmatan, saat mereka beralih kepada berhala pembodohan dengan meletak tepi Risalah Nabi, korup dengan janji kepada Illahi.

Firaun misalannya, satu kerajaan dan penguasa yang terkenal dengan keingkarannya. Kedangkalannya dan gopoh gapahnya dalam mengekalkan kerusi kekuasaan, dengan sanggup membuat kenyataan, bahawa dia Tuhan ! Sehingga kini, namanya dicela didalam sejarah.

Begitu halnya hari ini, yang berkuasa ligat berijtihad walau tiada pembalut (baca : tudung) dikepala. Mereka sebahagiannya membunuh nilai Islam, padahal mereka mengaku memerintah dalam keadaan Aslam. Semoga kita diampuni oleh Allah, dan negeri ini dipelihara daripada penguasa yang korup bukan hanya pada terup tapi juga Tuhan dunia Dia redup.

Abd Halim
Saturday, 1 August 2015
Posted by Rijal Ilmu

Visitors

Followers

Labels

Komrad Otak Usang©. Powered by Blogger.

Webmaster

Tentang Kami

Otak Usang adalah perkumpulan aktivis non-partisan yang akan mengkritik dan merumus ide malar segar untuk agama dan dunia dengan revolusi ilmu.

- Copyright © Otak Usang -Metrominimalist- Powered by Blogger - Designed by Johanes Djogan -