Archive for July 2015

Jangan Bakar Buku!

Menyedari akan kesedaran memberi pencerahan, masing-masing watak aktivis samaada daripada makmal dakwah, kemanusiaan dan sebagainya mengambil pendekatan mesra dan kurang agressif agar idea dapat dikembangkan ditengah komuniti yang diasak dengan kepulan kejahilan samaada yang tidak dirancang mahupun yang dikonspirasikan demi kejayaan pembonekaan ke atas akal-akal insan agar mandum dan suisnya termati. Dalam kepelabagaian tersebut, ada yang mengambil pendekatan menulis, merembes liur dikepala mikrofon, galak dengan bahasa badan dipentas wacana dan banyak lagi. Masing-masing mewarnai langit ilmiah (baca : metod dakwah)

Tidak ketinggalan, dalam perbendaharaan dan disiplin yang diterap oleh ulama silam juga persis kaedah itu. Mereka getir mengharung onak duri dan padang pasir, agar karya, idea, gagasan serta mazhab mereka boleh dipasarkan dalam kepelbagaian warna kelas pemikiran dalam menyumbang kepada peningkatan modal insan dizaman mereka. Imam As Syaf'i misalnya selain dengan timbunan rak karya, tidak kurang tidak ada membuat salah satu kitab yang menunjukkan perselisihannya dengan gurunya sendiri Imam Malik. (Ikhtilaf Malik wa Syaf'i rujuk Fiqh Mazhab As Syafi'e).

Orientasi ini sekaligus memberikan satu formulasi membenarkan kata-kata Syeikh Abdullah bin Bayyah (ulama mutaakhirin),

"Kalau tidak setuju jangan bakar buku. Lawanlah hujah dengan hujah"

Ini prinsip untuk merincikan interaksi yang sepatutnya berlegar dalam dunia edukasi dan intlektual. Pena dan lembaran akan terus galak menyalak, tiada akta yang mampu mematikan sendi berkarya. Namun menjadi mudarat ke atas keseronokan ini adalah apabila ada wujud topeng yang tidak setuju lantas tuduh melulu, menjatuh-jatuh, serta menghantu.

Balas, bingkas !

Kritikan ke atas teks juga deras memeras zaman Syeikh Nashirudin Al Albani bersama Sheikh Ramadhan Al Buthi (Semoga Allah merahmati kedua sarjana ini). Pertempuran mereka ke atas teks, hujah lawan hujah menjadikan langit pendidikan ketika itu tidak mendung sehingga penuntut ilmu menjadi rentung kerana terpaksa mengikut satu acuan bentung !

Jangan pernah takut berbeza. Bahkan jangan memaksa untuk sama warna, dan cara. Tuhan ketika berdialog dengan malaikat yang mempertikai penciptaan manusia sebagai khalifah, bingkas lunak Allah datangkan hujah yang tanak,

قَالَ إِنِّي أَعْلَمُ مَا لَا تَعْلَمُونَ
Tuhan berfirman : "Aku tahu apa yang kalian tidak mengetahuinya" (Baqarah)

Semoga kita beroleh kefahaman, dan tidak menjadi pengecam kepada teman yang bangun dari malam kelam meraba cahaya robbaniyyah. Suluhkan sedikit cahaya, jangan matikan kerana cahaya itu milik Tuhan Esa !

Abd Halim


Thursday 30 July 2015
Posted by Rijal Ilmu

Pemimpin Kudus Tiada Kudis


Dalam sejarah pentadbiran syar'iyyah para wira Khulafa' Rasyidin, semisalnya Amirul Mu'minin Umar Al Khattab, dan yang lainnya, telah melalui satu dinasti pemerintahan yang mencabar. Diperselisihi sudah menjadi asam garam interaksi antara pemimpin dan rakyat. Sayyidina Umar bahkan pernah langsung ditegur oleh Salman Al Farisi ketika berkhutbah kerana mempertikaikan pembahagian kain daripada Yaman yang menurut pemerhatian Salman Al Farisi seakan-akan korup dan tidak adil. Namun, interaksi Umar ketika itu, tidaklah dengan ber'name tag kan golongan autoritis terus memagar besikan Salman Al Farisi, walhal memberikan penerangan yang jelas.


Zaman beralih, dan corak politik oleh politikus-politikus samaada lokal atau global telah melalui kelas-kelas tersendiri. Ada yang demokratik, ada yang sekular, ada yang nasionalis, ada yang konservatif, progresif dan lainnya. Tidak kurang tidak, sosok-sosok pejuang politik akal untuk menterjmah dangkal pun ramai. Teringat kata Ibn Khaldun didalam Muqaddimah,

"Politik ini, apabila diurus tadbir dengan golongan akal, maka jadilah ia siyasah 'aqliyyah (politik akal). Adapun seandainya ia diurus tadbir oleh golongan ahli dalam wahyu, maka jadilah ia siyasah naqliyyah (politik naqli)"

Sejauh mana satu-satu legasi politik itu bertahan dalam komuniti tamadun masyarakat adalah dengan sejauh mana keterbukaan pemimpin kepada rakyatnya. Interaksi dua hala tanpa meng'akta kan kebebesan bersuara sebagai jenayah.

Pemimpin yang berkudis tidak perlu dikudus kan. Menjadi politikus desa ataupun kota, maka tiada siaran akses yang menjadi syarat untuk tidak dikritik. Jatuh naik, ianya bergantung kepada seni dan kejaguhannya bermain dengan polemik yang timbul tanpa menambahkan lagi api provokasi.

Lidah-lidah pengkudus pemimpin seharusnya bermuhasabah. Selayaknya Allah ta'ala yang dikuduskan. Jangan disembunyi kudis pemimpin lalu dikudus diatas pelamin.

Semoga kebenaran berpihak kepada Islam totalnya.

Abd Halim





*Adaptasi daripada isu pengguguran Tan Sri Muhyiddin Yassin selaku Timbalan Perdana Menteri Malaysia dengan digantikan kepada Zahid Hamidi yang merupakan Menteri Dalam Negeri sebelumnya. Pengguguran secara drastik akibat sokongan Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam beberapa statementnya ke atas Tun Dr.Mahathir

Tuesday 28 July 2015
Posted by Rijal Ilmu

Takut Kurang 'Customer'


Ketika agama terpancar dilayar, lensa mata manusia lirik menjentik. Raja melentik, hamba dipatik. Berlomba berniaga, untungkan Tuhan, tiada kurang mengangkat belang.

Iman atau ramai ?

Agama diinklusifkan kepada segerombolan insan. Siapa tiada disisi mereka, manual dipelaminkan dengan keingkaran. Saat Nabi saw, dalam kem pembinaan insan, tiada wahyu mendayu-dayu, perintah agar mengumpul sendi anggota, agar agama nampak megah, ramai-ramai tibai raksa dunia. Namun firman pesan sayuan, agar tanam keimanan, walau berlegar jangkar keingkaran.

Kepesatan pengkelasan insan dalam mengenal Tuhan, telah mengukir wilayah fikir yang kadang menghantuk dan mengantuk. Namun, disambut baik oleh komuniti insan kerana disandingkan ia dengan nama Tuhan.

Manipulasi itu, kadang telah mengasosiasikan satu perniagaan dalam mengenal Tuhan, iaitu mengumpul "customer" melanggan fahaman.



Peniaga-peniaga ini akan risau, hati kacau, malap gemilau, apabila "customer" lari kerana letih jiwa dikendiri. Cemburu dengan pemasaran yang lebih gemerlapan, mulalah menghantukan, memokkan demi memasang semula premis yang terhakis tertepis.

Firman Allah taala,


يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا كُونُوا قَوَّامِينَ لِلَّهِ شُهَدَاءَ بِالْقِسْطِ ۖ وَلَا يَجْرِمَنَّكُمْ شَنَآنُ قَوْمٍ عَلَىٰ أَلَّا تَعْدِلُوا ۚ اعْدِلُوا هُوَ أَقْرَبُ لِلتَّقْوَىٰ ۖ وَاتَّقُوا اللَّهَ ۚ إِنَّ اللَّهَ خَبِيرٌ بِمَا تَعْمَلُونَ

Wahai orang-orang yang beriman, hendaklah kamu semua sentiasa menjadi orang-orang yang menegakkan keadilan kerana Allah, lagi menerangkan kebenaran; dan jangan sekali-kali kebencian kamu terhadap sesuatu kaum itu mendorong kamu kepada tidak melakukan keadilan. Hendaklah kamu berlaku adil (kepada sesiapa jua) kerana sikap adil itu lebih hampir kepada taqwa. Dan bertaqwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui dengan mendalam akan apa yang kamu lakukan.


Semoga kita diampuni Tuhan

Abd Halim
Wednesday 22 July 2015
Posted by Rijal Ilmu

Islam Tiada Warna


Zaman fatroh yang lekang, jiwa kontang, golongan kelas bawahan membuntut jadi pak turut. Tiada surat layang, khuatir diganyang. Dalam zaman rundum tamadun hidup manusia ini, ramai yang ingkar daripada yang taat.

Dikesibukan jiwa mencabar Tuhan, mengeksperimenkan iktiqod yang mengenakkan, datang Muhammad bin Abdullah (sallallahu alaihi wasallam) menanam benih yang taat, generasi tauhid dan team lover (Allah cinta mereka, mereka cinta Allah)

Ketika sebahagian orientalis mentahqiq sejarah Islam, mereka cuba menjentik jejentik perkauman, warna, perjuangan kelompok dalam sirah pembaharuan oleh Nabi saw. Namun, usaha itu lekat pekat dicelah pelikat.

Nabi saw membawa warna ?



Di zaman penindasan dan penganjingan, keparat memijak rakyat. Kabilah menyisih golongan bawah. Berpecah dan berdarjat. Gagasan syaddid ini menari dipentas hidup umat ketika itu. Namun tiadalah Nabi saw timbul ditengah asakan pertembungan dengan berdiri dikhemah kabilah, tidak juga dikhemah golongan bawah, melainkan Nabi berdiri ditengah tanpa warna. Hingga semua selesa, fall in love (kata Steelheart) dengan Islam kerana membawa keserataan insan.

Segala puji bagi Allah, indahnya ketokohan Nabi saw.

Abd Halim
Tuesday 21 July 2015
Posted by Rijal Ilmu

Hidayah, Kerja Tuhan!


Siri pertarungan pemikiran telah menggantikan babak perang darah dan airmata. Pertempuran kali ini telah mengorbankan "mata-mata" pemerhati samaada yang sudah mencebur kem ketenteraan ini ataupun yang baru mengazam niat bersama menjadi pelatih dalam kem ini.

Siri-siri penyembelihan oleh sebahagian besar kuantiti telah menidakkan hak sebahagian kecil kuantiti. Sewaktu dikampus (kampus Halim), senior yang jaguh dalam pertempuran ini dalam masa yang sama, paling tenat disengat berpesan dengan jelaan abjad Firman Tuhan,


وَإِنْ تُطِعْ أَكْثَرَ مَنْ فِي الْأَرْضِ يُضِلُّوكَ عَنْ سَبِيلِ اللَّهِ ۚ إِنْ يَتَّبِعُونَ إِلَّا الظَّنَّ وَإِنْ هُمْ إِلَّا يَخْرُصُونَ
Dan jika engkau menurut kebanyakan orang yang ada di muka bumi, nescaya mereka akan menyesatkanmu dari jalan Allah; tiadalah yang mereka turut melainkan sangkaan semata-mata, dan mereka tidak lain hanyalah berdusta.


Merenung alam yang bersilih, menganyam jari seputar memorikan gambaran tempur yang gempar ini. Kadang merasa pelik, kenapa Tuhan tidak mencipta Hidayah sahaja, dan tidak kesesatan ?

Benak khayal ku(Halim) terjawab tatkala teringat hadis Nabi saw yang diriwayatkan imam Bahaqi, ketika Nabi membacakan Khutbatul Hajja kepada seorang bomoh yang akhirnya terpegun dan senyap dari membalun,



"Barangsiapa yang Allah berikannya Hidayah, maka tiada siapa boleh menyesatkannya, barangsiapa yang Allah sesatkannya, maka tiada siapa mampu memberikannya Hidayah.."

Semoga kita diletak diatas puncak, bukan dijalan yang nampak ramai namun hampir retak.

Abd Halim


Posted by Rijal Ilmu

Visitors

Followers

Labels

Komrad Otak Usang©. Powered by Blogger.

Webmaster

Tentang Kami

Otak Usang adalah perkumpulan aktivis non-partisan yang akan mengkritik dan merumus ide malar segar untuk agama dan dunia dengan revolusi ilmu.

- Copyright © Otak Usang -Metrominimalist- Powered by Blogger - Designed by Johanes Djogan -