Showing posts with label Artikel. Show all posts

Surat Untuk Adik


Ke hadapan Adikku, yang dikasihi.

Sudah lama berkecamuk onar di dada untuk menulis surat ini sebagai tinta pertama yang menjadi bekal kepada adik dalam penjelajahan meneroka sebuah makna kehidupan. Abang yakin, belasan tahun yang berderet melingkari ruang hidup sudah sedikit memadai untuk melihat dengan waras kepelbagaian dan kerencaman selok belok kehidupan. Surat ini adalah susulan rasa peduli dan kasih agar perjalanan adik tidak bertakung di kantung yang lembik, malahan mampu memanifestasikan sebuah penemuan. Penemuan? Ya, menemukan sebuah kebenaran yang didahagakan oleh seluruh ruh dan jasad di dunia.

Adik,

Masa mudamu ini, masa emas yang nilainya tinggi. Mahar perjuanganmu diusia ini sukar dicagar dengan berlian yang berlonggok dipeti. Sedetik jarum masa merangkak ke hadapan, tidak mungkin ianya berganjak semula kebelakang. Justeru, abang berpesan, sinopsis hidupmu ini jangan kau biarkan mencangkung memperhambakan kebendaan dan keseronokan yang memberi kepuasan singkat. Bukan permit usiamu ini sekali bertandang untuk diisi dengan aktiviti sampah sebegitu. Maka, posisikan dirimu sebagai anak muda yang beda dari kebanyakannya. Mulalah biasakan diri berdiri dibawah terik mentari, tanpa sentiasa mengharap awan mengatapi.

Adik,

Abang beriman dengan perintah baca. Maka buku lebih berharga dari seisi dunia. Abang tidak melihat cambuk dan cemeti hanya senjata ampu melawan raksa durja. Melainkan buku yang melakar saku minda, dan mengarah jiwa mengobor mujahadah, sebagai senjata utama untuk menghalang musuh yang sentiasa mengotorkan bumi dengan darah dan air mata. Maka, berdampinglah dikau dengan buku. Janganlah hanya memilih tulisan Al Banna, Fathiyakan, Sayyid Qutb. Ya, mereka sarjana yang tidak kurang jasanya. Namun, dunia ini terlalu rumit untuk dicerna dalam zaman yang penuh kepalsuan. Selaklah jutaan buku. Kenalilah siapa yang bakal kau isytihar sebagai musuh sebelum leher mereka kau kelar satu persatu. Adillah adikku !

Adik,

Kau pernah ikrar jujur di hadapan wajah abangmu ini bahawa kau wakafkan jiwa dan usiamu untuk menjejak makna kebenaran yang menjadi rebutan para bangsawan, fakir dan strata manusia di dunia. Maka abang melihat, kebenaran yang kau cari hakikatnya milik Tuhan. Janganlah kau pacak jasad dalam zon "pasti benar" sehingga kau melihat insan sekelilingmu tiada potensi untuk mendapat rahmat dan keampunan. Kritislah (semak dan timbang) ke atas kronologi hidupmu. Letakkan dirimu dalam posisi mengkaji. Mazhab, jemaah yang kau anuti hari ini tiada jaminan benar daripada Tuhan dan nabi. Gelisahlah. Daripada gelisah kau menemui kebenaran. Poin abang, janganlah kau sentiasa merasa benar.

Adik,

Lunaskan benakmu, dengan jawapan yang sarat berkaitan tujuan penciptaanmu oleh Tuhan di dunia ini. Tidak cukup ala kadar, mengikut-ikut sosok yang kau kagumi. Mereka sendiri bakal dihisab oleh Tuhan yang maha kuasa. Tidak cukup kau hafaz dalil penciptaanmu sebagai khalifah, untuk beribadah lalu diratib setiap saat di halaqah-halaqah tanpa kau mengerti mesej tersirat yang cuba Tuhanmu sampaikan. Lalu, kau hidup dengan mencetak hierarki kehidupan manusia lain yang kau kagumi tanpa mendesak akalmu untuk berkisar menyelongkar makna mesej Tuhanmu. Seperti yang abang katakan diatas, kau terlalu selesa. Keluar dari gelanggang itu. Jangan siram api yang marak di dadamu. Tiup ia sehingga memenuhi balang jiwamu. Arahkan ia sebagai kompas pencarian tujuan penciptaanmu.

Adik,

Akhir sekali, sebagai abang yang mencicipi picisan pengalaman yang lebih berbanding adik, ingin mengingatkan pesanan-pesanan ini sebagai alat berguna sepanjang perjalanan meneroka kehidupan yang ranjaunya kaya dengan onak dan tribulasi. Terpulang andai tidak menerima pesan ini. Sememangnya, pesan ini untuk semua lensa mata yang menekuni ketika ini. Atas dasar saudara dan tiket "berpesan pada kebenaran dan kesabaran" maka abang ragut pena, dan meliarkannya dengan tinta massa untuk disemadi dalam hati dan jiwa kepemudaanmu.

Sekian.

Yang Benar,
Abd Halim
Saturday, 21 November 2015
Posted by Unknown

Sekolah atau Kandang?


Kongkongan
Meyakini akan kemajuan sesebuah tamadun dan bangsa manusia adalah melalui pendidikan yang deras dan bebas daripada kongkongan, maka sudah menjadi sinonim perkataan "sekolah" ataupun "madrasah" sebagai salah satu badan atau entiti yang mengambil peranan untuk menggagaskan pendidikan kepada anak watan berdasarkan fasa-fasa yang telah disusun atur oleh pihak berkepentingan. Malaysia adalah antara negara yang sering dicanang sebagai negara yang rancak bersaing di persada pendidikan. Namun apakah ini benar?

Sekolah, sebagai alat ataupun medium arus perdana yang menyediakan fasiliti pendidikan secara formal dan memiliki sistem peperiksaan sebagai metod untuk memantau tanda aras pencapaian para pelajar. Pendisiplinan ini wajar dipuji dalam beberapa sudut. Namun, halnya berbeza apabila hari ini, pada konteks massa modenisasi ini, maka menjadi satu kemestian untuk semua pihak merenung semula kedudukan sekolah kepada anak-anak muda khususnya samaada masih berfungsi sebagai teratak menceduk ilmu ataupun kandang yang menyediakan ruang kepada kerbau-kerbau setelah berpagian mencari makanan di ladang?

"Guru bukan dewa, murid bukan kerbau". Slogan ini saya temui pada lembaran buku yang pernah dibaca dan ianya memiliki sisipandang yang wajar dianggukkan. Peranan guru adalah sebagai pemudah cara kepada pelajar untuk memahami naskah dan silibus pengajian dan bukannya sebagai malaikat ataupun dewa yang tidak boleh disanggahi apatah lagi dipersoalkan. Memahami bahawa tunjang kepada sebuah kefahaman adalah setelah lunasnya persoalan. Maka budaya bertanya bahkan mempertikai bukan suatu sindiket yang perlu ditangani secara radikal melainkan ianya sebuah fitrah manusia yang menuntut kepada sebuah kepastian dan kefahaman. Murid bukan kerbau pada analoginya membawa kita kepada sebuah mesej bahawa, para pelajar bukanlah kerbau yang hanya wajib taat dan patuh atas tiket adab dan sahsiah sehingga memandumkan fungsi akal untuk berfikir dan kritis (semak dan timbang) ke atas teks yang dipelajari. Beralasankan adab dan akhlak, maka budaya debat, dan mempersoalkan dibunuh dan ditanam di tanah yang paling dalam.

Peranan sekolah telah beransur mati, dan tidak mendapat kesegaran apabila ianya hanya berfungsi sebagai pengisi masa. Pelajar menjadi bongkok di pagi hari, menggalas beg yang berkilo berat kerana diwajibkan membawa buku teks yang kekadang tidak pun diselak dalam kelas namun hanya kerana untuk "memujahadahkan" pelajar kononnya. Mata yang layu, bahu yang kendur, perut yang berkeroncong, bergegas tanpa perut di alas, kerana takut dikenakan tindakan disiplin yang tidak memberi kesan panjang bahkan melahirkan lebih ramai pelajar yang memberontak dengan sistem sekolah.

Pelajar tidak didedahkan dengan persoalan-persoalan seputar kehidupan semisal "Apa hikmah belajar?", "Apa fungsi ilmu ini dan ini kepada masyarakat?", "Bagaimana ia berfungsi?", dan antara soalan yang saya kira perlu didasari setiap pagi hari pelajar dengan mengingatkan mereka memo penting iaitu "Untuk apa kalian hidup?". Soalan-soalan ini sebagai nilai tambah selain daripada hanya menyembah kertas-kertas lusuh buku teks yang bertahun lama ditinggalkan di setor sekolah.

Akhirnya, perkara sebatas ini sekiranya tidak dibendung, maka ia akan mengabsahkan lagi kekandangan sekolah. Fasiliti pendidikan dan pengajian yang mampu melahirkan watan yang berdaya saing, petah berhujah, berfikiran kritis dan kritikal, berani mencabar diri akan bungkam dan akhirnya mati menyembah bumi. Strata masyarakat, lebih-lebih lagi masyarakat struktural iaitu para penguasa, golongan elitas, autoriti dan dewa dewi negara seharusnya merumuskan semula peranan sekolah agar ia tidak berfungsi sebagai kandang menternak kerbau, tapi sebagai sekolah yang melahirkan graduasi insaniah yang cemerlang. Pemberdayaan ilmu, menghidupkan ruh cabar mencabar dalam gelanggang ilmiah, kritis ke atas teks, dan pelbagai aneka lagi rumus yang boleh dijadikan pemangkin kepada pengekalan fungsi sekolah tanpa membingaikannya sebagai kandang menternak kerbau.

Abd Halim
Friday, 20 November 2015
Posted by Unknown

Antara Ritual dan Maqasid

Islam adalah agama yang mewajibkan hubungan baik antara manusia dengan Tuhan (hablum minallah) dan hubungan baik antara manusia dengan manusia (hablum minannas). Islam turut menyediakan ritual-ritual dengan bantuan wahyu yang sakral dan konkrit untuk difahami. Ritual-ritual ini sebagai mekanisma untuk menjalinkan hubungan baik antara manusia dengan Tuhan. Sejarah membuktikan, pertarungan dengan Tuhan adalah perkara yang sia-sia. Bahkan menafikan kewujudan Tuhan adalah satu kejanggalan kerana ianya mampu diabsahkan hanya dengan bantuan akal sekalipun tiada risalah nubuwwah dan anbiya yang diutuskan. Naluri sedia ada dalam diri manusia itu adalah bertuhan. Ini antara pendapat sebahagian besar Teolog (Ahli Teologi) Islam semisal Harun Nasution.

Malaysia, antara benua yang kaya dan sarat dengan polemik, isu, sentimen berkaitan hal keberagamaan. Malaysia sebuah negara yang dicanang sebagai negara Islam ini telah diviralkan sebuah ritual yang agak asing namun bukanlah perkara baru kepada Malysia, di dalam sebuah portal akhbar tempatan.

KUALA TERENGGANU: Tindakan pelajar dan guru sebuah sekolah agama dari bandar raya ini mengadakan bacaan yasin dan solat hajat di tepi Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2), semalam boleh mengundang bahaya. Rujuk www.bharian.com.my/node/93693?m=1

Ritual ini telah dipromisikan oleh sebuah sekolah agama yang mengkalugkan Islam sebagai pelengkap nama. Sedia maklum, entiti-entiti Islam di dunia ini bukanlah mewakili Islam 100% dan bertindak sebagai entiti yang menyambung mandat Tuhan. Agama yang anjal ini sentiasa terdedah kepada penafsiran yang beraneka. Lalu, selagi mana penafsiran itu dilakukan oleh manusia biasa, maka ianya sentiasa terdedah kepada silap dan salah. Walaupun diakui, bahawa entiti-entiti Islam ini menguasai disiplin ilmu dalam bertutur dalam hal agama, namun itu bukan prasyarat untuk mereka bersifat sakral dan sifar salah dalam berbicara dan berijtihad.

Ritual di atas dalam simbolik kepada kedangkalan dalam memahami maqasid syariah dan ritual agama yang sedia ada. Di samping kedangkalan melihat agama dalam ruangan yang sempit. Bahaya yang mengundang itu adalah tegahan besar agama dan bercanggah dengan maqasid (tujuan) syariah yang salahsatunya adalah agama turun untuk menjaga nyawa. Seperti kisah seorang sahabat, Amru bin al-Ass yang memahami ayat Quran;

"Janganlah kamu membunuh diri sendiri, sesungguhnya Allah amat menyayangimu"

Dengan tafsiran sendiri apabila dikhabarkan dalam sebuah hadis riwayat Abu Daud bahawa Amru bin al-Ass bertindak untuk tidak mandi junub akibat kesejukan yang dirasakannya mampu mendatangkan mudarat. Bahkan menggantikan dengan tayamum lantas mengimami solat. Sesampai berita ini kepada Nabi saw, maka Nabi saw taqrir dan tidak memarahi Amru kerana caranya memahami dalil tadi bahawa kesejukan = memudaratkan diri = membunuh diri.

Asal agama adalah mudah dan terbina atas golden-rule yang telah dimaterai oleh Tuhan dalam risalah agung. Apabila umat Islam berinteraksi dengan Islam dalam juzu' (bahagian) tertentu, maka Islam dilihat tempang bukan akibat Islam itu memang tempang, tapi akibat mereka yang meragakan baju Islam itu sendiri.

Abd Halim
Monday, 2 November 2015
Posted by Rijal Ilmu

Visitors

Followers

Labels

Komrad Otak Usang©. Powered by Blogger.

Webmaster

Tentang Kami

Otak Usang adalah perkumpulan aktivis non-partisan yang akan mengkritik dan merumus ide malar segar untuk agama dan dunia dengan revolusi ilmu.

- Copyright © Otak Usang -Metrominimalist- Powered by Blogger - Designed by Johanes Djogan -