Showing posts with label Sekolah. Show all posts
Sekolah atau Kandang?
![]() |
| Kongkongan |
Meyakini akan kemajuan sesebuah tamadun dan bangsa manusia adalah melalui pendidikan yang deras dan bebas daripada kongkongan, maka sudah menjadi sinonim perkataan "sekolah" ataupun "madrasah" sebagai salah satu badan atau entiti yang mengambil peranan untuk menggagaskan pendidikan kepada anak watan berdasarkan fasa-fasa yang telah disusun atur oleh pihak berkepentingan. Malaysia adalah antara negara yang sering dicanang sebagai negara yang rancak bersaing di persada pendidikan. Namun apakah ini benar?
Sekolah, sebagai alat ataupun medium arus perdana yang menyediakan fasiliti pendidikan secara formal dan memiliki sistem peperiksaan sebagai metod untuk memantau tanda aras pencapaian para pelajar. Pendisiplinan ini wajar dipuji dalam beberapa sudut. Namun, halnya berbeza apabila hari ini, pada konteks massa modenisasi ini, maka menjadi satu kemestian untuk semua pihak merenung semula kedudukan sekolah kepada anak-anak muda khususnya samaada masih berfungsi sebagai teratak menceduk ilmu ataupun kandang yang menyediakan ruang kepada kerbau-kerbau setelah berpagian mencari makanan di ladang?
"Guru bukan dewa, murid bukan kerbau". Slogan ini saya temui pada lembaran buku yang pernah dibaca dan ianya memiliki sisipandang yang wajar dianggukkan. Peranan guru adalah sebagai pemudah cara kepada pelajar untuk memahami naskah dan silibus pengajian dan bukannya sebagai malaikat ataupun dewa yang tidak boleh disanggahi apatah lagi dipersoalkan. Memahami bahawa tunjang kepada sebuah kefahaman adalah setelah lunasnya persoalan. Maka budaya bertanya bahkan mempertikai bukan suatu sindiket yang perlu ditangani secara radikal melainkan ianya sebuah fitrah manusia yang menuntut kepada sebuah kepastian dan kefahaman. Murid bukan kerbau pada analoginya membawa kita kepada sebuah mesej bahawa, para pelajar bukanlah kerbau yang hanya wajib taat dan patuh atas tiket adab dan sahsiah sehingga memandumkan fungsi akal untuk berfikir dan kritis (semak dan timbang) ke atas teks yang dipelajari. Beralasankan adab dan akhlak, maka budaya debat, dan mempersoalkan dibunuh dan ditanam di tanah yang paling dalam.
Peranan sekolah telah beransur mati, dan tidak mendapat kesegaran apabila ianya hanya berfungsi sebagai pengisi masa. Pelajar menjadi bongkok di pagi hari, menggalas beg yang berkilo berat kerana diwajibkan membawa buku teks yang kekadang tidak pun diselak dalam kelas namun hanya kerana untuk "memujahadahkan" pelajar kononnya. Mata yang layu, bahu yang kendur, perut yang berkeroncong, bergegas tanpa perut di alas, kerana takut dikenakan tindakan disiplin yang tidak memberi kesan panjang bahkan melahirkan lebih ramai pelajar yang memberontak dengan sistem sekolah.
Pelajar tidak didedahkan dengan persoalan-persoalan seputar kehidupan semisal "Apa hikmah belajar?", "Apa fungsi ilmu ini dan ini kepada masyarakat?", "Bagaimana ia berfungsi?", dan antara soalan yang saya kira perlu didasari setiap pagi hari pelajar dengan mengingatkan mereka memo penting iaitu "Untuk apa kalian hidup?". Soalan-soalan ini sebagai nilai tambah selain daripada hanya menyembah kertas-kertas lusuh buku teks yang bertahun lama ditinggalkan di setor sekolah.
Akhirnya, perkara sebatas ini sekiranya tidak dibendung, maka ia akan mengabsahkan lagi kekandangan sekolah. Fasiliti pendidikan dan pengajian yang mampu melahirkan watan yang berdaya saing, petah berhujah, berfikiran kritis dan kritikal, berani mencabar diri akan bungkam dan akhirnya mati menyembah bumi. Strata masyarakat, lebih-lebih lagi masyarakat struktural iaitu para penguasa, golongan elitas, autoriti dan dewa dewi negara seharusnya merumuskan semula peranan sekolah agar ia tidak berfungsi sebagai kandang menternak kerbau, tapi sebagai sekolah yang melahirkan graduasi insaniah yang cemerlang. Pemberdayaan ilmu, menghidupkan ruh cabar mencabar dalam gelanggang ilmiah, kritis ke atas teks, dan pelbagai aneka lagi rumus yang boleh dijadikan pemangkin kepada pengekalan fungsi sekolah tanpa membingaikannya sebagai kandang menternak kerbau.
Sekolah; Penyembahan atau Pencerahan ?
Perkataan “SEKOLAH” berasal daripada Bahasa Greek σχολεῖον
– scholeion yang membawa maksud sebuah bangunan atau tempat yang berfungsi
untuk memberikan pendidikan kepada pelajar, yang merujuk sesiapa yang belajar
di situ. Struktur sekolah moden mungkin dilengkapi dengan kemudahan teknologi
maklumat (IT) atau sekadar bilik darjah sahaja.[i]
Menurut Pusat Rujukan Persuratan Melayu Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) sekolah
ialah satu tempat proses pembelajaran dan pengajaran berlangsung[ii].
Berdasarkan definisi dan asal daripada perkataan sekolah
itu sendiri jelas menunjukkan bahawa sekolah merupakan satu lembaga yang memang
dirancang khusus untuk pengajaran murid di bawah pengawasan dan penyeliaan
guru. Setiap negara mempunyai model dan
pelaksanaan Sistem Pendidikan yang tersendiri.
Jika kita melihat kepada peranan sekolah di Malaysia pada dasarnya ialah
berpandukan kepada Akta Pendidikan 1996 (pindaan 2002) yang mewajibkan semua
warganegara Malaysia untuk belajar di sekolah secara formal . Hal ini
berdasarkan Surat Pekeliling Ikhtisas Bil 14/2001: Pendidikan Wajib mengikut
seksyen 29A (2)[iii]. Selain itu peranan sekolah juga berteraskan
kepada Falsafah Pendidikan Kebangsaan iaitu Pendidikan di Malaysia adalah suatu
usaha berterusan ke arah memperkembangkan lagi potensi individu secara
menyeluruh dan bersepadu untuk mewujudkan insan yang seimbang dan harmonis dari
segi intelek, rohani, emosi dan jasmani berdasarkan kepercayaan dan kepatuhan
kepada Tuhan. Usaha ini adalah bagi melahirkan rakyat Malaysia yang berilmu
pengetahuan, berketerampilan, berakhlak mulia, bertanggungjawab dan berkeupayaan
mencapai kesejahteraan diri, serta memberi sumbangan terhadap keharmonian dan
kemakmuran keluarga, masyarakat dan negara.
Hitam putih peranan sekolah di Malaysia menunjukkan satu
teori yang sangat baik. Namun realitinya
jika kita lihat pada dewasa ini peranan sekolah bukan lagi sebagai satu tempat pencerahan
dan penyampaian maklumat segar kepada pelajar. Tapi kita lihat kini sekolah
sebagai tempat doktrinisasi minda pelajar.
Pelajar dan guru terpaksa melaksanakan Pengajaran dan Pembelajaran
(P&P) semata-mata untuk menghabiskan sukatan mata pelajaran dan untuk
memastikan pelajar LULUS dan CEMERLANG di dalam peperiksaan sama ada di
peringkat sekolah mahupun peperiksaan awam.
Pelajar Malaysia kini seakan-akan dipaksa untuk menyembah teks dan skema
pemarkahan kerana pendidikan kita yang berorentasikan peperiksaan. Kesan
daripada perkara ini akhirnya pelajar Malaysia menjadi pelajar yang hanya
menjadi penghafal dan malas untuk berfikir yang menjadikan otak mereka usang
serta kering kontang. Perkara ini sangat
berbeza dengan teori yang ideal di dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan.
Keputusan Programme
for International Student Assessment (Pisa)
dan Trends in International Mathematics
and Science Study (TIMSS) yang menunjukkan pencapaian Malayasia yang berada
di tangga ke 52 daripada 65 negara yang menyertai peperiksaan ini pada tahun
2012[iv].
Kebolehan pelajar-pelajar cemerlang di Malaysia tidak sampai 50% yang mempunyai
perkembangaan diri yang holistik. Hal
ini berlaku disebabkan tumpuan sekolah sebagai satu tempat penyembahan teks
yang memaksa pelajar untuk mengehadkan idea dan minda mereka untuk berfikir dan
mempersoalkan sesuatu. Tambahan pula ia menunjukkan sekolah di Malaysia
menghasilkan pelajar yang kurang berfikir dan hanya menghafal fakta semata.
Sejak kebelakangan ini sahaja pihak yang bertanggungjawab
mula sedar bahawa sekolah sepatutnya dijadikan sebagai satu tempat pencerahan
ilmu pengetahuan mula mengubah beberapa perkara dalam bidang pendidikan di
Malaysia. Contohnya dengan pengenalan
soalan-soalan High Order Thingking Skils (HOTS) iaitu penambah baikan bagi
soalan-soalan Kemahiran Berfikir Kreatif dan Kritis (KBKK) yang memerlukan
pelajar membuat analisis dan berfikir untuk mencari jawapan . Namun begitu disebabkan corak peperiksaan
itu masih tidak diubah kemahiran insaniah pelajar masih dilihat
terkapai-kapai. Marilah sama-sama kita
menilai kembali adakah sekolah di Malaysia ini satu tempat PENYEMBAHAN atau
satu pusat PENCERAHAN?
[i] https://ms.wikipedia.org/wiki/Sekolah
[ii] http://prpm.dbp.gov.my/Search.aspx?k=sekolah
[iii] Kamarudin
Hj. Husin, Siti Hajar Hj. Abdul Aziz. 2003.
Pedagogi:Asas Pendidikan Kuala Lumpur: Kumpulan Budiman Sdn Bhd
[iv] http://www.themalaysianinsider.com/malaysia/article/muhyiddin-shocked-by-local-students-poor-scores-in-global-tests

