Ketuanan Namrud dan Firaun



Kampu
ng Sakral, Melor. Dua lelaki berbangsa Kritis dicekup ketika menulis karya-karya perlawanan kepada pihak autoriti seperti "Tuan Bukan Tuhan"-sebuah novel yang cuba diabadikan sebagai kitab pemberontakan kepada segelintir masyarakat berbangsa Namrud dan Firaun.

Kejadian sekitar pukul lima petang itu, merupakan tragedi yang paling menggemparkan penduduk di daerah tersebut. Pihak polis bertindak ganas dan memukul pundak leher kedua lelaki tersebut menggunakan sebatang kayu serta memaksa kedua lelaki itu untuk memakan risalah-risalah lama yang diremukkan bikinan bangsa Namrud dan Firaun.

Satu akta telah digubal dan akan terpakai kepada semua penduduk kampung Sakral iaitu; Akta 1(b) - Berbeza daripada ketuanan bangsa Namrud dan Firaun, akan direjam dan dibogelkan lalu diarak mengelilingi kampung Sakral. Semenjak akta itu diwarta, papan-papan tanda jalanan sarat dengan slogan "Berbeza Membawa Padah".

(i)

"Jep, kau baca buku apa sekarang?"

"Aku baca buku History of God tulisan Karen Armstrong. Dua hari lepas aku baru selesai baca Astaghfirullah ! Islam Jangan Dijual tulisan Eko Prasetyo"

Balas Jep slamba. Anak muda yang baru bergraduasi daripada sebuah institusi pengajian tinggi di kota. Tinggi, rambut ikal dan gemar memakai baju hitam.

"Kau?"

"Aku takutlah Jep. Kau tahu kan, buku-buku kita ni semuanya bercanggah dengan pindaan baru Akta 1(b) tu"

"Aku peduli apa. Weh, takkan kau suka hidup dalam kekangan begini?" Dengus marah Jep.

Alif cuba memaksa berani dan tenang. Rakan kepada Jep ini sentiasa gopoh. Agak obses dengan slogan "Berbeza Membawa Padah" yang sudah mula diaplikasikan dalam silibus pendidikan Bahasa Melayu di sekolah-sekolah tempatan.

(ii)

Sewaktu di gerai makan, Buletin Sarap telah menayangkan temu bual dengan salah seorang Lelaki daripada Kampung Baculion, berkaitan sokongan padunya terhadap kegiatan polis negeri memberkas masyarakat yang masih berdegil untuk melawan ketuanan bangsa Namrud dan Firaun yang sudah berkurun diamalkan.

Kempen-kempen seperti "Belia Benci Berbeza", "Katakan Tidak Kepada Kritis", dan "Bersatu Teguh, Berbeza Bodoh" dilancarkan disetiap ceruk daerah. Edaran risalah-risalah yang memuat naik fasal-fasal ketuanan Namrud dan Firaun digerilakan.

Pertubuhan-pertubuhan melahirkan pejuang gagasan Namrud dan Firaun mengisi ruang aktivitas dan suasana bermasyarakat. Persatuan Firaun Bersatu (PFB) dan Kelab Taat Patuh (KTP) menjadi pertubuhan arus perdana di Kampung Sakral.

"Alif, kau setuju tak kalau kita buat pertubuhan yang lebih radikal dan melawan?"

"Contoh?" Alif bingkas bertanya.

"Persatuan Pahlawan Sesat (PPS). Fokus utama kita adalah menghidupkan semula nilai perlawanan kepada budaya bobrok yang menjadi sekte masyarakat kita. Kita buat bedah buku, diskusi idea-idea sarjana, beraktivis membela kaum miskin kota dan desa" Jelas Jep.

(iii)

"Tok tok tok"

"Siapa?"

"Kami, Jabatan Agama Namrud wal Firaun (JANAM)"

"Ada apa encik?" Soal Jep setelah pintu dikuak.

"Kamu ditahan, dibawah akta 1(b) kerana berbeza dengan kami dan ketuanan Namrud dan Firaun"

Rumah Jep digeledah, buku-buku di raknya dibakar. Telefon bimbitnya dirampas. Diheret kasar dan ditangannya diikat dengan kain serban salah seorang ahli JANAM tadi.

(iv)

"Siapa lagi yang terlibat dalam kegiatan ini selain kamu?"

"Tak ada cik. Hanya saya seorang" jawab Jep yang sedang disoal siasat dibilik pengadilan JANAM.

"Jangan berbohong! Encik Azman, tolong lancarkan kempen "Jep seorang Liberalis" dilaman muka buku. Supaya semua masyarakat akan benci dengannya" arah Encik Farid kepada Azman, salah seorang orang kanan JANAM yang bertanggungjawab dalam menyebar fitnah dan celaan di media sosial.

"Kenapa kamu sanggup begini?" Soal Jep yang sudah mula marak api marah.

"Kerana kami tidak boleh digugat. Kami mesti sentiasa dianggap suci dan tidak diboleh disentuh"

"Tapi kamu bukan Tuhan, kamu hanya Tuan !" Balas kasar Jep.

"Ah ! Jangan banyak tanya. Sebentar lagi, kami akan sumbatkan kamu ke dalam penjara. Mati kamu disitu!" balas garang Encik Farid, Pegawai Lajnah Perhubungan JANAM.

(v)

Semenjak peristiwa pemenjaraan Jep. Alif dan beberapa komrad dalam Persatuan Pahlawan Sesat (PPS) bertekad melancarkan pemberontakan  kepada agamawan JANAM dan penguasa yang bertuhankan ketuanan Namrud dan Firaun sejak turun temurun.

-Akan banyak lagi buku-buku baru diterbitkan sebagai signal pemberontakan. Kumpulan wacana akan dilebarkan sayapnya sehingga ke ceruk desa.

Tiada lagi takut atas nama adab dan akhlak bagi sebuah penyelewengan yang jelas. Projek-projek pembodohan yang menjadi taboo dalam masyarakat ini akan menemui ajalnya.

Kebetulan Alif adalah graduan Ijazah M.A Pengajian Islam, dia mula menampal papan-papan tanda di sepanjang jalan kampung sakral dengan slogan daripada Tuhan;

"Sekiranya Tuhan mengekehendaki, nescaya Dia menjadikan kamu semua beriman. Namun adakah kamu akan memaksa orang untuk beriman?"

Abd Halim
Monday 4 April 2016
Posted by Unknown

Review Buku: Lalu Aku Hidup Sebagai Apa?



“Kalau hidup sekadar hidup, babi di hutan juga hidup, kalau kerja sekadar kerja, kera di hutan juga bekerja”
-Buya Hamka-

Bait-bait sajak Buya Hamka yang memacak hati kian menjadi sebutan. Buya HAMKA atau nama sebenar Haji Abdul Malik Karim Amrullah (1908-1981) merupakan seorang tokoh pembaharuan Nusantara yang telah menulis beratus-ratus karya.Beliau juga merupakan seorang ulama,budayawan,ahli politik,pemimpin gerakan Islam, pemimpin masyarakat dan pelbagai gelaran yang diberi olehnya namun beliau lebih rela digelar sebagai seorang pengarang. Sejarahnya di Nusantara banyak direkodkan setelah pidatonya di Panjang Padang menarik perhatian ramai. Kemudian beliau dipilih menjadi “Hoofdedacteur” atau kepala pengarang kepada majalah Khatibul Ummah. Bermula daripada saat itu HAMKA telah giat menerobos ke dalam kancah penulisan yang juga menjadi salah satu medium untuknya berdakwah dan memancarkan ideologi Islam. Selepas daripada itu, maka terpalit ribuan pena di atas kertas dan dibukukan menjadi ribuan majalah.

Asalnya buku ini merupakan terbitan Komuniti Jejak Tarbiah yang menjadikan visi memasharakatkan buku dan ilmu sebagai tujuan utama. Buku ini merupakan himpunan artikel anak muda daripada Komuniti Jejak Tarbiah yang ditulis untuk mengambil inspirasi dari kehidupan Buya Hamka. Mereka memetik bait-bait sajak dan tulisan-tulisan HAMKA untuk dikenang dan dijadikan sebagai pengajaran kepada orang umum mahupun anak muda khususnya. Beliau mengajarkan kepada anak muda untuk terus berani dan tetap tunduk merendah diri di bawah langit walau kaki melangkah jauh mengelilingi dunia. HAMKA telah menulis dalam pelbagai genre dan cabang antaranya autobiografi,biografi,falsafah,keilmuan islam,adat dan kemasyarakatan,kisah perjalanan(travelog) dan banyak lagi. Betapa komitmennya seorang tokoh kelahiran Indonesia ini sehinggakan karya-karyanya laris di setiap pelosok dunia.

Apabila tujuan kebenaran dijadikan umpan beraksi, maka terhasilnya seorang manusia yang jiwanya ketagih menjadi harapan pertiwi.

Asnawi
Monday 14 March 2016
Posted by Unknown

Dewa Sakti


Puisi: Dewa Sakti

Dewa-dewa itu
Cakapan Arab dan Urdu
Kalau geleng disareng
Kalau angguk terus kantuk

Mereka bukan guruh yang digerun
Tapi tikus-tikus terpegun
Pesona loya dalil dibalun
Bait-bait tahi gigi ditekun

Kalau persoal digelar bebal
Kalau pertikai dijeling bangkai
Kalau beda dijerit; bedebah !
Kalau diam disuap ulam

Tikus-tikus takut melutut
Membiar otak ditetak-tetak
Disusun rapi ditepi perigi
Jangan menimbah sendiri
Timbah dari dewa sakti
Sakti yang bertangan berkaki
Geleng disareng
Angguk terus kantuk
Beda; kau bedebah !
Keluar kau dari sorga
Binaan kami sedari merdeka

Abd Halim
Friday 12 February 2016
Posted by Rijal Ilmu

PUISI: PENAREK BECHA

Puisi - Penarek Becha

Di kota
Penarek becha 
Terpinga lihat dunia
Ternganga
Manusia-manusia
Serupa sampah
Moral sudah tidak ada

Papan tanda
Larang itu larang ini
Tetap sama seperti
Muda-mudi dikembiri
Oleh penjahat
Kalangan aparat
Bangsat !

Hari ini - sejarah berani
Lelaki jahat 
Pergi
Tinggalkan parti
Mungkin konspirasi
Penarek Becha tidak mengerti
Yang dia sedari
Sepatu terpijak duri

Lalu sawah hijau
Subur
Namun, sedikit kabur
Oleh jadong
Si jahat bodoh sombong
Yang menyingkir
Kerana hanya beza
Penarek becha 
Terus nganga
Nganga

Terus memulai hari
Bosan
Dengan gelagat 
Aparat
Beragama atau tidak
Seperti sama
Penarek becha tetap teraniaya
Keringat tidak terbela
Meraka terus telagah
Ikut aku !
Jangan dia !
Pergi mati kalian, 
Semua
Teriak penarek becha

Abd Halim

Friday 8 January 2016
Posted by Unknown

Review Buku Tajuk: Diari Ekonomi Penulis/Penerbit: The Positive World

Diari Ekonomi


Buku ini mulanya tidak menarik aroma gila untuk diratah. Muka hadapannya sahaja sudah ditempel perkataan "Ekonomi", topik yang membosankan dan kompleks untuk dicerna. Namun, berbeza halnya setelah diselak satu persatu halamannya. Pendekatan berupa cerpen dalam menggarap topik akademik merangsang aku untuk melupakan semput dan buruan masa untuk menghabiskannya.

Buku yang ditulis oleh empat anak muda (Muhammad Amir Lutfi, Shazmie, Muhammad Arham, dan Mohamed Nazmie) pelajar Ekonomi daripada negara-negara luar seperti Jordan, Jepun, dan London ini telah membuka tirai-tirai ekonomi yang selama ini teorinya hanya terpuruk di ceruk-ceruk kertas kuliah di kampus-kampus tanah air.

Diari yang berupa pengalaman langsung daripada empat anak muda yang masing-masing kelahiran 1993 ini, cuba membawa teori ekonomi dengan approach yang ringan dan membumi.

Istilah-istilah seperti Defisit, Oppurtinity-Vost, Carcity, Elasticity, Inelastic-item, Paradox of Value, dan lain-lain lagi sedikit sebanyak telah membentuk gambaran awal ke atas subjek ekonomi.

Menarik dalam buku ini, turut digarap berkaitan cinta, kemanusiaan (ketika Arham dibawa oleh Uncle Salim menyantuni Homeless yang berjajaran di ceruk kota dan lorong malam London yang merupakan bandar utama bagi UK), mengenang jasa ibubapa, setiakawan, dan banyak lagi nilai. Tips-tips menjana pendapatan sebagai mahasiswa/pelajar juga dinaqol dalam tinta yang mudah difahami sehingga menggerakkan hati untuk memulakannya sebagai rutin selepas ini sebagai pelajar.

Masing-masing daripada penulis, memiliki latar belakang keluarga masing-masing. Ada yang susah, dan ada yang senang. Namun, mereka semua sama, bermatlamat ingin menjadi anak yang berguna kepada keluarga dan nusa. Mengubah landskap ekonomi yang rancu di negara ketika ini dengan memberi jalan keluar melalui aksara-aksara akademik.

Abd Halim
Posted by Unknown

Pergi, Kami Suci



Tandang ditendang
Riak berang dan garang
Kami suci, Kami suci
Kamu pergi jangan kotori
Kami yang dimaksud Muhammad Nabi
Kami suci, Kami suci

Solat, Silat, Sekalipun mirip Jebat
Kalau bukan dengan kami
Kalian kotor daripada babi
Kami suci, Kami suci
Kamu pergi menjauh lari
Jangan berisik menyondol sini
Kami suci, Kami suci

Berpencak ditanah kami kerap
Kami redah jalan turap
Asal aksi, kami berpanji
Kami suci, Kami suci
Kamu itu liar, bebal dan corot
Futur ditangga pertama sorot

Lihat kami, ramai senja ini
Ini tanda kami bersyurga
Punya sorak dari ceruk buana
Kami suci, Kami suci
Kamu hanya mampu jelir lidah
Sudah tiada meratib nama
Adapun ratib ghibah

Rambut kusut, kaki tak bersepatu
Jangan dengan kami beradu
Kamu kotor, Kamu kotor
Kami suci, Kami suci
Kami pahlawan abad ini
Semua sabda menuju kami
Kami suci, Kami suci

Abd Halim

Sunday 3 January 2016
Posted by Unknown

Benarlah Sabda Voltaire !



Kopi hitam likat pekat disua ke mulut. Cafe C, lebih mempir dengan kolej kediaman. Perut yang membusung kekenyangan, lebih mudah dilabuhkan. Mendung. Hari itu hari yang malang. Kasut Converse kulit berharga dua ratus ringgit Malaysia hilang tanpa dihalau ketika solat di surau Al Amin, tugasan yang tidak siap akibat lelap memaksa Puan Maria (pensyarah Ekonomi) menengking dan menghalaunya keluar dewan kuliah, kekasihnya Rosalinda, tidak membalas teks sejak dua puluh dua jam. Entah selingkuh atau tidak, monolog bodoh melingkar organ otaknya.

Syahrul, ahli jawatankuasa (ajk) dalam Kelab Doraemon. Seorang yang aktif dan proaktif mencanang idea-idea baru demi mengukuhkan kelabnya dan mengumpul seramai mungkin ahli daripada seluruh fakulti yang ada di kampusnya, Universiti Sakralian. Sering bertarung dalam merebut ahli kelab terbanyak dengan kelab saingannya, Kelab Shin Chan. Zaman berzaman, aksi dan ritual itu terus rancak. Bagi mereka, ahli ramai itu tanda bersyurga.

"Takpayah bagi muka sangat Kelab Doraemon tu. Habis semua ahli kita satu persatu dia tarik. Dia bagi makan percuma Dorayaki sebagai penariklah konon. Puiikk !"

"Hmmmm"

Pendek. Jawapan tanpa aksara. Hanya mengemam mulut, menguncup bibir. Saleh, teman kepada Rodi yang juga Majlis Tertinggi Kelab Shin Chan. Mesyuarat Kelab Shin Chan siang itu hangat daripada terik mentari yang menyengat.

"Tapi, aku rasa, kita tidak perlu fikir sangat isu ahli ditarik oleh Kelab Doraemon. Perkara penting, kita kena mempelbagai mekanisma untuk menarik seberapa ramai ahli"

Pandangan yang berlegar dibenak, dimuntahkan. Habis gamam semua ahli jawatankuasa yang pada asalnya sebulat suara ingin melancarkan kempen Anti-Kelab Doraemon. Tamparan yang maha pedas akibat lontaran pendapat yang berbeza.

"Yang kau ni, dah kenapa Saleh? Kalau ahli kita terus berkurang, kau fikir kita tak malukah?"

"Bukan macam tu. Maksud aku..."

"Maksud apa lagi ?!"

Kalimah diputus. Terburai serangkap penjelasan yang mahu diungkapkan. Saleh tunduk. Dia mula rasa rimas dengan sikap ahli jawatankuasa kelabnya itu yang mula keras dan tidak menerima pendapat sesama ahli.

***

"Yang kau pegi bantah tadi tu apasal? Kau macam tak tau, ghairah diorang tu nak hapuskan Kelab Doraemon bukan main kepalang lagi"

Soal teman Saleh, Roy. Di hadapan kaca tv yang menyalak bercerita soal balak di negeri Kelamintun, mereka melabuh punggung di sofa yang lusuh. Masing-masing memegang secangkir nescafe 3 in 1 untuk diteguk perlahan-lahan. Biskut Cream Crackers yang tersidai di atas meja bakal diratah dengan santun.

"Aku tak tahan Roy. Aku tak nampak memboikot Kelab Doraemon itu sebagai solusi. Lebih-lebih lagi, kita dipaksa untuk memburuk-burukkan Kelab Doraemon kepada ahli supaya mereka tak pergi. Ini perjuangan kotor !"

"Perjuangan kotor?"

"Ya. Patutnya kita bersaing dari sudut mekanisma yang bervariasi. Kenapa perlu rasa tergugat dengan Kelab Doraemon?"

"Aku pun nampak macam tu, Saleh. Tapi apa boleh buat. Aku takut nak bantah, nanti tak pasal-pasal, aku yang kena pulau"

Kelu Roy. Percubaan demi percubaan telah pernah dilakukan untuk mengubah masalah dalaman Kelab Shin Chan. Namun layanan yang sama sering diberikan. Diboikot, dipulaukan, dipandang sinis dan bermacam lagi. Lebih-lebih lagi, kehilangan kawan. Mereka masih merasa, hidup berkawan lebih penting berbanding hidup bertuhan.

"Bodoh ! Bacul !"

Terpacul kalimah amarah daripada muut Saleh. Air yang ingin diteguk terpaksa ditangguhkan dan dibiarkan bersemayam di atas meja. Biskut masih belum digundah. Mata sekali sekala menjeling ke jam dinding yang berhabuk. Tepat jam sebelas malam.

***

Perpustakaan Romawi, Universiti Sakralian. Perpustakaan yang kaya dengan buku-buku Malaysiana dan kajian para sarjana semisal Harun Nasution, Hassan Hanafi, Hamzah Fansuri, Usman Awang, Soe Hok Gie, Kant, Rene Descartes, Hegel, Dr. Mahathir, Najib Rajak, dan ramai lagi. Rak rapi dan redha membiarkan buku-buku bertenggek tanpa upah. Seperti biasa, manusia setia di perpustakaan itu hanyalah Puan Saloma, penjaga perpustakaan. Selebihnya hanya buku-buku yang sepi. Tidak berlidah tidak bergigi. Sunyi.

Kadang-kadang bersesak juga. Namun hanya bingit dengan bualan kosong. Buku dibiar ternganga tanpa dibaca. Ya ! Mereka risau menjadi pandai. Kerana memelihara kebodohan itu sebuah keseronokan.

"Saleh, kau tengok ne"

Barangsiapa yang ingin mengetahui siapa yang menguasai dirinya, maka lihatlah siapa yang takut untuknya dikritik - Sabda Voltaire.

"Aku lama dah perati quote daripada voltaire ne. Kau faham tak apa yang aku cuba sampaikan?"

Dibalas angguk. Dengan kening terjungkit. Sebelum menjawab tanya, Saleh meliarkan mata dan kepala ke sekeliling. Risau-risau mereka dihalau seandainya suara melebihi had piawaian perpustakaan.

"Aku faham. Voltaire nak bagitau yang kau dan aku sebenarnya dikuasai. Dengan makna kata, dibodohi !"

"Tapi, Kelab Shin Chan kan masih memperjuangkan industi kekartunan. Aku masih percaya" ujar Roy keliru.

"Roy, Kelab Doraemon, Kelab Kluangman, Kelab Naruto, Kelab One Piece, Kelab Kiteretsu pun memperjuangkan industri kekartunan. Kenapa kau tak pegi sana?"

"Sebab kau dipaksa dan dihasut bahawa hanya Kelab Shin Chan yang memperjuangkan industri kekartunan. Selain daripadanya wajib dijauhi. Bahkan kalau berbeza, perlu dimusuhi" sambung bertubi Saleh.

Angguk. Tertunduk. Roy mula membiarkan benaknya hanyut memikir. Dalam lebih kurang 2 minit tunduk ala-ala tafakkur, Roy mengangkat wajahnya dengan iringan senyum sinis. Memacul bisik halus di hadapan wajah temannya Saleh;

"Benarlah sabda Voltaire !"

"Ha ha ha" mereka bergelak sakan lalu ditembak dengan senapang M16 oleh pengawal keselamatan perpustakaan. Habis berhamburan usus otak. Yang hanya tinggal sebuah keyakinan; Aku anti-pembodohan.

Abd Halim
Sunday 27 December 2015
Posted by Unknown

Tuhan Orang Miskin



Tuhan
Kami ini miskin
Bukan kerana Engkau lupa
Tapi diasak tapi dianiaya

Tuhan
Obat kami disekat
Leher kami dijerat
Saku kami disejat

Tuhan
Mereka menepek dahi kami
Lidah dikelar diberi anjing
Pundak kami dikencing-kencing

Tuhan
Kami adu pada yang berkitab
Sabar syukur kami disuap
Mereka tempel segala turap

Tuhan
Kami bungkam
Kami diam kami gamam

Politikus datang bawa bungkus
Lepas gambar mereka lolos
Mereka ini sampah
Melempias serakah
Pada kami yang miskin kedana

Abd Halim
Thursday 10 December 2015
Posted by Unknown

Visitors

Followers

Labels

Komrad Otak Usang©. Powered by Blogger.

Webmaster

Tentang Kami

Otak Usang adalah perkumpulan aktivis non-partisan yang akan mengkritik dan merumus ide malar segar untuk agama dan dunia dengan revolusi ilmu.

- Copyright © Otak Usang -Metrominimalist- Powered by Blogger - Designed by Johanes Djogan -